Bayangkan anda menetap di Singapura, tetapi tanpa sebarang kebebasan, kemudahan dan kemajuan yang boleh dinikmati di negara kota itu?
Anda tidak bebas keluar masuk, sebaliknya disekat pergerakan di semua laluan darat, laut dan udara dan ia juga meliputi pergerakan keluar masuk bahan keperluan asas seperti makanan, pakaian dan ubat-ubatan.
Dengan jumlah penduduk yang ramai dan keluasan yang terhad, anda terpaksa hidup dalam kepadatan yang tinggi dan lebih teruk lagi, dek kerana semua sekatan tadi mutu hidup merosot hingga 90% tidak mendapat bekalan air bersih, 70% hidup di bawah paras kemiskinan dan lebih 50% tidak mempunyai sebarang pekerjaan.
Bayangkan jika anda di Singapura dan hidup sebegitu rupa, maka sedarilah bahawa itulah realitinya yang berlaku di Genting Gaza, Palestin selama ini dan hari ini ia menjadi lebih teruk lagi susulan serangan rejim Zionis Israel.
Genting Gaza mempunyai keluasan dan populasi separuh dari Singapura serta kadar kepadatan penduduk yang hampir sama tetapi ia diberi jolokan sebagai world’s largest open air prison.
Ya, Genting Gaza adalah sebuah penjara yang dicipta oleh rejim Zionis Israel dengan tujuan untuk memudahkan mereka mengawal dan menindas rakyat Palestin kononnya atas hujah melindungi keselamatan negara haram Israel.
Hari ini selepas diserang mengejut oleh pejuang Hamas, rejim Zionis Israel membalas dendam dengan mengebom penjara terbesar di dunia itu secara membabi buta dan tanpa belas kasihan hingga mengorbankan nyawa rakyat Palestin.
Kerajaan Malaysia melalui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tegas dalam mengutuk tindakan terkutuk rejim Zionis Israel yang berlaku kejam dan menindas rakyat Palestin, serta menegur masyarakat antarabangsa yang mengambil tindakan berat sebelah terkait isu Palestin.
Rakyat Malaysia juga tanpa mengira latar belakang kaum, anutan agama ataupun fahaman politik seharusnya juga berganding bahu dan senada dalam menyatakan sokongan terhadap Palestin mengutuk tindakan kejam rejim Zionis Israel.
Mari bersama kita buktikan bahawa Malaysia sejak dari dulu hingga kini kekal bersolidaritas dengan perjuangan rakyat Palestin!