Polemik tentang pelaksanaan identiti digital masih lagi berterusan dengan sesetengah pihak tidak bertanggungjawab cuba mencetuskan kebimbangan awam.
Isu ini juga dipolitikkan dan tuduhan tidak berasas dibuat kononnya identiti digital akan menyekat kebebasan individu dan memudahkan kerajaan untuk memantau pergerakan individu.
Perlu kita fahami, fungsi ID Digital Nasional (IDN) sebenarnya bukanlah untuk menyekat kebebasan atau mengawal kita semua.
Akan tetapi IDN digunakan sebagai satu identiti digital kepada setiap individu dalam era digitalisasi yang semakin pesat.
Fungsi IDN antaranya adalah memudahkan pengesahan identiti secara digital atau atas talian dengan selamat.
IDN juga menjadi tandatangan digital atau elektronik, yang digunakan untuk mengesahkan identiti dalam transaksi elektronik dan boleh dibuat dari jauh.
Seperkara lagi yang menjadi fungsi IDN adalah membantu dalam proses e-KYC, yakni versi digital kepada proses Know Your Customer (KYC).
Proses e-KYC ini dilakukan oleh organisasi untuk mengenal pasti pelanggan yang berurusan dengan mereka
Ternyata, IDN sebenarnya boleh membantu memudahkan urusan kita di masa hadapan selari dengan perkembangan dunia digital yang kita alami kini.
Ia bukanlah alat untuk mengawal atau menyekat kita semua, tetapi sebaliknya satu aplikasi yang selamat dan terlindung bagi mewujudkan identiti unik buat kita secara digital.