Dr. Dzulkefly Ahmad – Calon Timbalan Perdana Menteri Pakatan Harapan?

Nama Dr. Dzulkefly Ahmad mungkin jarang sekali disebut-sebut orang sebagai orang terpenting dalam politik Malaysia sehinggalah beliau dilantik menjadi Menteri. Biarpun beliau pernah tersenarai antara Menteri yang menunjukkan prestasi terbaik semasa pentabiran Kerajaan di bawah Pakatan Harapan, nama beliau masih tidak diangkat jauh selain hanya menjadi seorang Menteri.

Namun, tiada siapa boleh nafikan, menjadi seorang Menteri Kesihatan semasa pemerintahan Kerajaan Pakatan Harapan, menjadikan nama Dr. Dzulkefly Ahmad menonjol kerana beliau Menteri ‘yang buat kerja’ berbanding Menteri lain yang hanya pandai menjual nama dan memperdagangkan kuasa di balkoni hotel. Lihat sahaja ketika mana beliau mengetuai Kementerian Kesihatan untuk menguatkuasakan larangan merokok di semua premis makanan bermula 1 Januari 2019, Dr. Zulkefly kelihatannya tidak langsung teragak-agak, kekal dengan keputusannya malah turut meraikan mereka yang mahu mencabar keputusan larangan tersebut yang berhasrat membawanya ke mahkamah.

Malah sehingga ke saat akhir ketika Kerajaan Pakatan Harapan yang telah condong hampir nak rebah menyembah bumi, beliau telah menunjukkan jalan bagaimana untuk menurunkan jumlah kes positif Covid-19 dalam negara.

Dr. Dzulkefly Ahmad wajar dipertimbangkan sebagai calon Timbalan Perdana Menteri daripada Pakatan Harapan jika mereka kembali memerintah di Putrajaya. Beliau antara tokoh pemimpin dari Parti Amanah Negara (AMANAH) yang Islamis dan moderat di kalangan para ahli parlimen dalam Pakatan Harapan menjadikan beliau begitu disegani di dalam dan di luar gabungan tersebut. Sebagai seorang ahli parlimen yang mempunyai Ijazah Falsafah Kedoktoran (Ph.D) dalam bidang Toksikologi dari Imperial College, St. Mary’s Hospital Medical School, Universiti London UK, Dr. Dzulkefly Ahmad yang baru berusia 65 tahun paling layak untuk diberi perhatian sebagai calon Timbalan Perdana Menteri Pakatan Harapan.

Dr. Dzulkefly Ahmad kini adalah Pengarah Strategi Parti Amanah Negara dan pernah memimpin Pusat Penyelidikan Parti Islam SeMalaysia (PAS) dan telah menghasilkan buku Negara Berkebajikan ketika itu. Dr. Dzulkefly Ahmad juga menjadi sebahagian daripada pasukan yang membukukan Belanjawaan Alternatif pada tahun 2017 dan 2018 serta antara yang menghasilkan Buku Jingga ketika beliau dalam Pakatan Rakyat. Dr. Dzulkefly Ahmad boleh dianggap antara orang terpenting yang bertanggungjawab dalam penerbitan Buku Harapan yang menjadi manifesto pilihanraya Pakatan Harapan semasa Pilihan Raya Umum ke-14 tahun 2018 walaupun kemudiannya ada yang berpendapat ianya mustahil untuk direalisasikan.

Ketika ramai yang bercakap dan bercakaran persoalan siapakah calon Perdana Menteri jika Pakatan Harapan kembali memerintah di peringkat Persekutuan, ramai yang terlepas pandang akan kedudukan dan peri pentingnya siapakah calon Timbalan Perdana Menteri.

Anwar Ibrahim yang masih disebut-sebut dan diyakini dipilih menjadi calon Perdana Menteri memerlukan calon timbalannya untuk menambat hati rakyat Malaysia. Kemenangan Pakatan Harapan semasa PRU14 yang lalu bukan hanya atas faktor Tun Mahathir sebagai calon Perdana Menteri semata-mata. Nama Dr Wan Azizah sebagai calon Timbalan Perdana Menteri juga menjadi tarikan dan penyumbang terbesar kemenangan Pakatan Harapan ketika itu. Ia adalah kemenangan yang boleh ditentukan sebagaimana strategi Joe Biden menamakan Kamala Harris sebagai calon naib presiden. Kalaupun Pakatan Harapan masih belum cukup kuat untuk menang dalam PRU ke-15 dengan hanya menamakan Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri, sekurang-kurangnya menamakan Dr. Dzulkefly Ahmad sebagai calon Timbalan Perdana Menteri mungkin boleh menyumbang sokongan tambahan untuk mereka menang.

Gabungan Anwar-Dr. Dzulkefly belum tentu duo yang boleh menyelamatkan Malaysia dengan cabaran Covid-19 yang belum lagi tamat ini, atau adakah pasangan ini mempunyai mantera melawan kerajaan Perikatan Nasional, belum pernah teruji, namun gabungan ini pastinya menyatukan pembangkang, menyatukan Pakatan Harapan dan mampu melunakkan hubungan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan AMANAH.

Menamakan Dr. Dzulkefly Ahmad sebagai calon Timbalan Perdana Menteri mungkin kelihatan sesuatu yang radikal dan luar biasa, namun di saat politik Malaysia ketika ini yang boleh mengubah kawan menjadi lawan, maka tidak ada yang luar biasa akan idea ini. Malah ia mungkin amat bertepatan menyejukkan suhu politik Malaysia ketika ini.

Komen