Apabila berhadapan dengan kuasa-kuasa besar, bahasa diplomatik adalah amat penting untuk memastikan hubungan harmoni dikekalkan. Saya yakin Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai mantan Perdana Menteri yang banyak pengalaman politik tentunya cerdik, pandai dan bijaksana. Tentu beliau faham apa yang dimaksudkan dengan bahasa diplomatik, terutamanya apabila kita berhadapan dengan Amerika Syarikat dan China – yang kedua-duanya hadir di rantau Asia Tenggara termasuk Laut China Selatan.
Sayangnya, Muhyiddin yang kini mengepalai gerombolan pembangkang Perikatan Nasional hanya berani bermain politik kotor. Demi secebis undi, beliau telah memperjudikan keselamatan negara, memalukan nama baik Malaysia, melakukan sabotaj ke atas hubungan dua hala antara negara kita dan China, serta menjejaskan usaha ASEAN untuk mengekalkan keamanan rantau ini.
Muhyiddin telah mengutuk kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen yang menjelaskan isu tuntutan bertindih dengan China di Laut China Selatan. Apa yang Muhyiddin lakukan ialah memutarbelitkan kenyataan Datuk Seri Anwar dalam usaha Perikatan Nasional memburukkan imej Perdana Menteri. Sedangkan apa yang diburukkan dan dihina oleh Muhyiddin ialah kedaulatan Malaysia.
Lebih buruk lagi perangai Muhyiddin ialah hanya berani mengeluarkan kenyataan dalam Facebook tetapi bacul untuk berhadapan dengan Perdana Menteri di Parlimen. Malah, Muhyiddin antara Ahli Parlimen yang kerap ponteng Parlimen.
Saya tidak tahu sama ada Muhyiddin bodoh atau pura-pura bodoh kerana sebagai bekas Perdana Menteri beliau sepatutnya tahu bahawa dalam perihal hubungan antarabangsa, ia melibatkan urus tadbir, pertemuan, dan timbang tara untuk menyelesaikan, atau setidak-tidaknya mengendurkan ketegangan dalam sesuatu isu, termasuk tuntutan bertindih di Laut China Selatan.
Pada tahun 2022, Menteri Luar yang dilantik daripada partinyanya sendiri telah bersetuju dengan Perjanjian Pembangunan Bersama atau Joint Development Agreement, bagi pembangunan bersama wilayah Laut China Selatan. Malah, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang dipimpinnya telah mencapai kata sepakat dengan kerajaan China, hasil daripada rundingan bersama. Kenapa ketika itu Muhyiddin tidak mengutuk dirinya sebagai cuai atau menggadai maruah dan kedaulatan Malaysia?
Tidak cukup dengan itu, pada zaman Barisan Nasional pada tahun 2013, ketika Muhyiddin menjadi Timbalan Perdana Menteri, beliau tidak berani mengutuk Dato’ Seri Najib Razak apabila mantan Perdana Menteri itu bersetuju berunding dengan Beijing yang turut mengemukakan tuntutan terhadap Laut Cina Selatan.
Dalam hubungan antarabangsa, rundingan demi rundingan adalah tindakan yang penting, sebahagian daripada proses urus tadbir negara dan serantau dalam menegakkan keamanan dan menjaga kedaulatan negara.
Sikap lidah bercabang pemimpin Perikatan Nasional ini bahaya untuk keselamatan, kedaualatan dan maruah negara. Apabila kerajaan Malaysia pimpinan Datuk Seri Anwar bersedia untuk berunding, apakah Muhyiddin mahu Malaysia bersikap biadab dengan maki-hamun atau mahu mengugut kuasa besar? Lupakah Muhyiddin dengan pendirian dan keputusannya sewaktu beliau sendiri menjadi Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri? Apakah kerana gila kuasa, maruah dan kedaulatan negara mahu digadaikannya?
Kita bangga dengan kemerdekaan kita, sama ada Merdeka 1957 atau Malaysia 1963, kerana ia dicapai melalui rundingan tanpa pertumpahan darah. Inilah kekuatan kita sebagai negara pendamai. Dan usaha inilah yang akan kita teruskan. Kita tidak mahu menjadi Pak Kaduk yang menang sorak kampung tergadai semata-mata gila mahu menang pilihan raya.
Kalau boleh bersahabat, mengapa perlu bermusuh. Inilah pegangan Kerajaan Perpaduan.
Howard Lee adalah Ahli Parlimen Ipoh Timor (PO64). Beliau juga ialah ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP selain menjadi ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Perhubungan Antarabangsa dan Perdagangan Antarabangsa, Majlis Perundingan Luar Negeri dan ahli Lembaga Eksekutif Perak Investment Management Centre. Howard juga merupakan mantan Ketua Pemuda Sosialis DAP serta mantan Presiden Kesatuan Pemuda Sosialis Antarabangsa (IUSY).