ADA satu watak penting dalam Pilihan Raya Negeri Melaka 2021 ini yang mungkin kurang disedari, khusus oleh orang luar Melaka. Pengaruhnya mungkin tidak sebesar Tun Dr Mahathir, atau Tun Daim Zainuddin, tetapi beliau mempunyai aura tersendiri. Watak tersebut ialah Tun Tan Sri Dato’ Seri Utama Mohd Khalil bin Yaakob yang merupakan Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Melaka keenam, atau lebih dikenali sebagai ‘Gabenor’.
Dengan deretan jawatan lampau dalam UMNO dan kerajaan (zaman Barisan Nasional), adalah sangat-sangat mencengangkan, Tun Khalil turun padang bersama-sama calon-calon Pakatan Harapan khusus dari Amanah sambil secara terbuka melakukan validasi untuk calon Ketua Menteri dari Pakatan Harapan iaitu Adly Zahari.
Untuk orang luar Melaka, atau dari generasi baru; nama beliau tidak begitu terdaftar dalam benak. Tun Khalil merupakan Gabenor di negeri Melaka selama kira-kira lima belas tahun sejak 4 Jun 2004 sehinggalah 4 Jun 2020, yang digantikan secara tergesa-gesa ketika pandemik Covid-19.
Memang, jika kita menyorot sejarah politik Tun Khalil, beliau adalah seorang UMNO. Tun Khalil adalah mantan Menteri Besar Pahang menggantikan Najib Abdul Razak sehingga 22 Mei 1999. Beliau pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Pahang di Bukit Ibam pada tahun 1978, sebelum bertanding di Parlimen Maran. Selain itu beliau juga adalah bekas Setiausaha Agung UMNO antara 25 Mei 1999 hingga 31 Mei 2004.
Keumnoan atau kebarisanasionalan Tun Khalil yang saya sebutkan di atas, maka dapat dikira melongokan apabila beliau sengaja memilih untuk tidak melakukan validasi untuk mana-mana calon baik dari Barisan Nasional mahupun Perikatan Nasional (calon Ketua Menteri dari Bersatu juga asal UMNO). Dan sebaliknya mengangkat Adly Zahari.
Tun Mohd Khalil misalnya muncul bersama-sama calon Pakatan Harapan di Balai Nelayan Tanjung Dahan, Kuala Linggi dan ikut terus menyertai kempen Pakatan Harapan (PH) apabila turut menyertai sesi bertemu dengan orang ramai di Kampung Tanjung Rimau Dalam, dan di kawasan DUN Gadek.
Tun Mohd. Khalil Yaakob bahkan menolak dakwaan Parti Islam Semalaysia bahawa Adly Zahari (seorang bekas pemimpin PAS di Melaka) adalah boneka kepada DAP. Dalam video yang tular dalam kalangan rakyat Melaka, bekas Gabenor Melaka itu bahkan memberi penghargaan besar buat Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Melaka itu dengan menyifatkannya selaku pemimpin pragmatik lagi praktikal. Pujian ini diberikan meskipun Adly hanya sempat menjadi Ketua Menteri selama 22 bulan sebelum digulingkan ekoran pengkhianatan parti Bersatu yang kini bersekongkol dengan UMNO dan PAS di peringkat pusat. Tun Khalil seolah-olah ingin membuat pesanan kepada pengundi Melaka: Jaga-jaga dengan UMNO atau Bersatu.
Dalam hal ini, Tun Khalil dipetik sebagai berkata;
“Secara diam-diam saya sebagai governor saya admire dia, tapi saya tak boleh campur tangan. Politik di belakang saudara Adly dan kali ini dia memimpin satu parti, organisasi. Yang saya rasa boleh membantu dia lah. Kenapa ada ayat yang mengatakan dia ini boneka kepada DAP? Being pragmatik dan praktikal, dia kenal DAP ini satu blok yang besar. Very unique di Malaysia ini, di mana saya pun tahu daripada dulu lagi very united. Dan dia sebagai Ketua Menteri, atau pun masa itu political leadership, political leader lah kita kata. Dia mesti survey di mana terdapat sokongan-sokongan yang kuat daripada jumlah pengamal yang ramai.”
Tun Khalil mungkin tidak bercakap hanya dari sudut pandang seorang politikus yang telah bersara, tetapi beliau sendiri adalah seorang pentadbir atau birokrat yang pernah menjadi diplomat dan berkhidmat dengan Kementerian Luar selama 13 tahun, antara lain di Itali, Maghribi, Singapura dan Indonesia. Maka perspektif ini adalah penilaian yang bukan calang-calang. Tun Khalil memberi petunjuk bahawa takkanlah rakyat Melaka memilih mereka yang sering berbalah dan berebutkan pasir berbanding Adly yang nampak dikasihi oleh beliau.
Justeru, pujian Tun Khalil, seorang kuat UMNO dan Barisan Nasional, yang pernah menggantikan Najib di Pahang, dan pernah berkhidmat sebagai penggerak UMNO di peringkat nasional sangatlah mengejutkan. Apatah lagi Tun Khalil kelihatan bukan hanya touch and go ketika turun padang berkempen untuk Pakatan Harapan ini. Memandangkan beliau turut berkunjung ke antara lain tempat tumpuan kempen di Asahan, Pengkalan Batu, Duyong, Ayer Molek, dan Telok Mas seraya bertemu dengan calon-calon PH.
Tun Khalil menamba;
“Semasa saya menjadi gabenor, ada empat ketua menteri (pernah berkhidmat di bawahnya), jadi dah lama, saya dah biasa. Sekarang saya ambil kesempatan semasa pilihan raya ini… saya dah melakukan (kegiatan) begini sejak lama dulu (sebelum menjadi gabenor).”
Sayugia diingatkan yang keberadaan Tun Khalil di Melaka selama 15 tahun agak berbekas dalam kalangan rakyat Melaka. Justeru tidaklah menghairankan apabila kehadiran beliau dengan gesit mendapat perhatian dan mencuri perbincangan di negeri Melaka. Sepanjang ‘pemerintahan’ beliau, Tun Khalil bukan hanya bersemayam dan memainkan peranan istiadat sahaja. Beliau sering berkunjung ke pasar dan kedai untuk membeli barangan keperluan tanpa iringan anggota pasukan keselamatan. Ini menjadikan beliau sering ditegur dan sempat beramah-mesra dengan orang ramai.
Watak beliau ini kekal segar dalam ingatan rakyat Melaka yang dengan segera terkesan oleh penggantian beliau yang mendadak setelah Melaka dirampas dari Pakatan Harapan pada tahun 2020.
Tumpuan Tun Khalil yang nampaknya memesrai calon-calon Pakatan Harapan di Dewan Undangan Negeri yang mempunyai ramai pengundi Melayu tentu sahaja boleh merubah lanskap politik, dalam erti kata lain ketaksuban pengundi Melayu terhadap UMNO (ataupun kaum pengkhianat dari Bersatu). Rayau dan jalar Tun Khalil ke kawasan-kawasan tumpuan pengundi Melayu ini memberi isyarat jelas bahawa ‘ada sesuatu yang tidak kena’ dengan kepimpinan Barisan Nasional dan Perikatan Nasional.
Tun Khalil selaku bekas Gabenor Melaka misalnya boleh sahaja duduk diam di rumah, setelah bersara, apatah lagi dalam keadaan yang tidak begitu sihat. Namun demikian, Tun Khalil nampaknya memilih mengharungi pandemik Covid-19 dan selamba berkempen (dengan cara beliau sendiri) untuk Ketua Menteri ‘kesayangan’ beliau iaitu Adly Zahari.
Apa yang ikut menarik ialah, Gabenor sekarang, Tun Ali Rustam tidak boleh melakukan seperti Tun Khalil. Malah, parti-parti UMNO dan Bersatu juga tidak boleh melarang Tun Khalil untuk bergerak (berkempen) kerana beliau mempunyai wibawa dan imunitinya sendiri.
Maka dengan itu, kecergasan tiba-tiba Tun Khalil ini bakal menjadi percakapan sehinggalah ke peti undi kelak. Pasti ia terpahat dalam retina mata pengundi. Watak Tun Mohd Khalil ini, yang muncul di saat akhir kempen (minggu kedua Pilihan Raya Negeri Melaka) bakal sangat menentukan undi-undi Melayu sedia ada. Hari ini, percakapan dalam kumpulan Whatssap ialah betapa rakyat Melaka tidak wajar mempersiakan ketokohan Adly memandangkan Tun Khalil sendiri meyakini beliau.
Bila Tun Khalil bersama-sama Pakatan Harapan, Melayu akan ikut serta.
Mohd Faizal Musa atau lebih dikenali sebagai Faisal Tehrani adalah Felo Penyelidik di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Penyelidik Bersekutu di sebuah tim penyelidikan di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard, Amerika Syarikat. Kajian beliau menganjur dari Sastera Bandingan sehingga Hak Asasi Manusia dengan penekanan terhadap kumpulan minoriti agama.