BANTUAN AWAL PERSEKOLAHAN

Salah satu salah faham pasca Belanjawan 2024 adalah tentang kononnya tiada Bantuan Awal Persekolahan (BAP) diperuntukkan untuk tahun 2024 kepada ibu bapa yang mempunyai anak bersekolah.

Maka ramailah ibu bapa yang kecewa dengan kerana menyangka tiada BAP untuk meringankan beban kewangan mereka dalam menyediakan kelengkapan persekolahan anak.

Yang sebenarnya, Kerajaan Perpaduan tidak pernah mengabaikan keperluan BAP kepada rakyat setiap kali belanjawan dibentangkan.

Untuk Belanjawan 2024, jumlah keseluruhan peruntukan BAP adalah berjumlah RM788,130,000 yang bakal memberi manfaat kepada 5,254,200 orang murid.

Peruntukan ini jauh lebih tinggi berbanding ketika Belanjawan 2023 yang hanya berjumlah RM450,000,000.

BAP mula diperkenalkan oleh kerajaan pada tahun 2012 dengan matlamat untuk membantu meringankan beban kewangan ibu bapa yang mempunyai anak bersekolah.

Kadar BAP pada permulaannya ialah RM100 untuk setiap murid dan ia hanya diberikan kepada keluarga dengan Isi Rumah Kasar RM3,000 dan ke bawah.

Namun pada tahun 2023, kadar BAP telah dinaikkan ke RM150 untuk setiap murid dan ia diberikan secara sejagat kepada semua tanpa mengira Isi Rumah Kasar.

Kadar BAP sebanyak RM150 tentu sekali tidak mencukupi untuk menampung keseluruhan kos persekolahan setiap murid, tetapi sedikit sebanyak ia masih dapat membantu meringankan beban ibu bapa.

Tidak mustahil jika keadaan kewangan negara lebih baik, kadar BAP boleh dipertingkatkan lagi di masa hadapan demi memastikan setiap anak Malaysia tidak berdepan kesukaran dalam menjejakkan kaki ke sekolah.

Komen