YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengadakan lawatan negara ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada 5 Oktober 2023 dalam usaha untuk memperkukuh hubungan dua hala dan menarik pelaburan dari negara teluk itu.
Lawatan negara oleh PMX telah mendapat sambutan yang baik dari kerajaan UAE khususnya dari Presiden UAE, Sheikh Mohamed Bin Zyed Al Nahyan.
PMX juga berkesempatan bertemu Menteri Pelaburan UAE, Mohamed Hasan Al Suwaidi selain mengadakan mesyuarat meja bulat dengan kapten-kapten industri, melawat Masdar City dan menunaikan solat Jumaat di Sheikh Zayed Grand Mosque.
PMX juga menyaksikan termeterainya memorandum persefahaman antara MIDA dan Masdar untuk merintis jalan kepada Malaysia menceburi teknologi baharu yang mengutamakan karbon rendah, pembuatan hijau dan penyelesaian ekonomi sirkular.
Satu lagi hasil lawatan kerja ialah pengumuman kepimpinan baru Majlis Perniagaan Malaysia-UAE (MUBC) yang menamakan CEO Petronas dan Naib Presiden Kanan Mubadala Energy sebagai pengerusi bersama.
Sejurus pulang dari UAE, PMX mengumumkan bahawa Malaysia telah berjaya mendapatkan pelaburan komited bernilai RM40.6 bilion dari UAE dalam tempoh dua hari lawatan singkat.
Pelaburan-pelaburan dari UAE ini adalah dalam sektor-sektor tenaga boleh diperbaharui, aeroangkasa dan logistik.
Dari segi pelaburan, UAE adalah pelabur terbesar di Malaysia dari rantau Asia Barat dan kedua terbesar di kalangan negara OIC.
Kejayaan PMX menjana pelaburan komited RM40.6 bilion nyata berbeza dengan apa yang dicapai oleh mantan PM8 dalam lawatannya ke UAE pada Mac 2021.
Mantan PM8 sejurus pulang dari lawatannya hanya menjawab “the sky is the limit” apabila ditanya mengenai hasil lawatan beliau ke UAE.