Baru-baru ini pengasas parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan kini cuba menjadi antara pengasas Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) cuba mengubah naratif politik Malaysia – sekali lagi. Apa yang diperkatakan oleh Tun Mahathir boleh kita semak dan perhalusinya semula. Beliau tidak menolak kemungkinan Malaysia mempunyai seorang wanita sebagai Perdana Menteri. Tentu sekali boleh. Masakan tidak, Pakatan Harapan pun telah melakar sejarah politik moden Malaysia apabila melantik wanita menjadi Timbalan Perdana Menteri. Mungkin kalau Pakatan Harapan masih lagi berkuasa sehingga satu atau dua penggal lagi, boleh jadi Datuk Seri Dr Wan Azizah akan menjadi Perdana Menteri wanita pertama di Malaysia.
Tapi bukan itu yang hendak dibincangkan hari ini. Yang galak untuk dipersoalkan ialah, mengapa Tun Mahathir memberi cadangan ini atau mengapakah beliau cuba mengolah minat rakyat Malaysia ke arah itu?
Tanpa kita sedar, Tun Mahathir sebenarnya cuba memberitahu rakyat Malaysia yang pernah mengundi Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu, bahawasanya Anwar Ibrahim masih belum lagi layak menjadi Perdana Menteri. Bagi beliau, jika Anwar tidak digagalkan untuk menjadi Perdana Menteri dengan mengkambing hitamkan tragedi Langkah Sheraton, beliau tentunya akan mencari idea lain.
Idea membingkai wanita menjadi Perdana Menteri pastinya tidak akan ditolak orang. Malah tidak keterlaluan untuk dikatakan, parti-parti dalam Pakatan Harapan (selain PKR) pasti akan seronok dengan idea ini. Jika Anwar tidak berjaya atau calon lain yang sedang diusahakan pun turut gagal, kita angkat wanita pula menjadi Perdana Menteri. Janji bukan Anwar!
Tidak perlu saya ulas pendapat Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mengenai idea ini. Jika mereka terbuang dan kemudian dikutip menyertai pasukan Tun Mahathir dalam kerajaannya di kemudian hari, mereka boleh sahaja bersetuju dengan idea ini. PAS akan tetap menjadi PAS. Dalil-dalil baru pasti akan ada nanti.
Maka timbul persoalan mengapa tiba-tiba idea wanita menjadi Perdana Menteri mahu disumbat ke dalam mulut rakyat sedangkan Pakatan Harapan telah bersedia mahu menabalkan Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri? Ini bukan kehendak parti-parti komponen Pakatan Harapan sahaja, ini janji yang dipasarkan untuk meraih undi semasa PRU14 yang lalu. Ikrar ini dibuat dari Perlis hingga ke Johor, kemudian dari Sarawak ke Sabah. Hari ini rakyat Malaysia perlu diingatkan semula bagaimana penyokong Anwar dan Tun Mahathir terpaksa didamaikan untuk menghadapi PRU14. Kesemua sejarah lampau antara kedua tokoh ini ditelan mentah-mentah demi rakyat kata mereka.
Janji yang mengatakan selepas Tun Mahathir memegang tampuk pemerintahan di Putrajaya untuk suatu tempoh yang tidak ditentukan secara bertulis, beliau akan menyerahkannya kepada Anwar Ibrahim. Mengapa tidak beliau tunaikan? Bukankah ini janji yang menjadi syarat yang dimeterai dan yang mengikat parti-parti dalam Pakatan Harapan sebelum PRU14 yang lalu? Tidak pastilah kalau-kalau ada yang membuat janji yang lain di belakang pentas ceramah ketika itu atau mengusahakan sesuatu yang baru hari ini.
Apabila Tun Mahathir berulang kali menyebut yang beliau hanya meminta tempoh selama 6 bulan sahaja untuk menjadi Perdana Menteri (baca:semula) dan mendakwa Anwar Ibrahim ‘yang gila hendak menjadi Perdana Menteri itu’ yang menghalangnya berbuat demikian. Rakyat keliru, siapa yang gila hendak jadi Perdana Menteri sebenarnya?
Ketika beliau berkuasa dan bertindak meletak jawatan Perdana Menteri tanpa perbincangan dengan mana-mana pemimpin dari parti-parti komponen Pakatan Harapan, tidakkah rakyat Malaysia sedar masa untuk Tun Mahathir bersilat-mencatur politik Malaysia telah sampai penghujungnya.
Tak usahlah kita ungkit apa-apa kenyataan beliau di media yang berubah-ubah mengenai Anwar Ibrahim selepas kerajaan Pakatan Harapan tumbang dengan langkah licik di Hotel Sheraton. Jika semua kenyataan beliau mengenai Anwar Ibrahim kita bukukan, tentu kita akan dapati Tun Mahathir sebenarnya tidak pernah mempercayai Anwar Ibrahim walaupun sedikit.
Malah kenyataan demi kenyataan dari Tun Mahathir ketika itu telah cukup membuktikan betapa beliau sebenarnya tidak langsung menginginkan Anwar Ibrahim menggantikannya sebagai Perdana Menteri. Janji perubahan kuasa yang diikrarkan oleh pemimpin-pemimpin semasa di pentas ceramah dalam PRU14 hanyalah sembang kosong sahaja. Janji yang dijual dalam ceramah hanyalah untuk menyedapkan cerita. Ceramah untuk menang undi, bukan untuk tunai janji. Lalu, kita tertanya-tanya – adakah kita telah menipu rakyat dalam PRU14 yang lalu? Dan adakah kita masih membenarkan Tun Mahathir terus-menerus menipu kita sehingga hari ini?

Pengayuh basikal tegar, pencinta kucing dan penggemar nasi lemak sotong. Menetap di Sepang, membesar di Sepang dan bertugas sebagai Setiausaha Politik kepada Ahli Dewan Negeri Sungai Pelek yang juga di dalam Parlimen Sepang.