Antara Minyak-Minyak Rambut Popular

MEMPUNYAI rambut yang berkilat, berminyak, terpacak atau belah tengah merupakan suatu kebanggaan untuk semua lelaki pada ketika itu. Rambut yang berketerampilan tinggi sememangnya mendatangkan keyakinan yang juga tinggi. Walaupun tidak banyak idea potongan rambut yang digayakan pada ketika itu, minyak rambut menjadi salah satu barang wajib pada setiap lelaki yang tahu makna gaya.

Antara minyak rambut yang popular adalah:

1) Bon

  • Sejenis minyak rambut yang berwarna perang kehitaman dan melekit seperti minyak gris.
  • Dijual di dalam bekas bulat berwarna merah dan hitam.
  • Selain dipakai di rambut, ia juga sering diselet ke dagu dan bawah hidung oleh kanak-kanak yang terhegeh teringin memiliki janggut dan misai.

2) Poken

  • Sejenis minyak rambut yang berwarna hijau.
  • Dijual di dalam bekas aluminium dengan hiasan gambar seorang perempuan memakai bikini.
  • Mempunyai bau lavender yang kuat.
  • Mempunyai tagline pada bekas yang tertulis ‘Membuatkan anda segak sepanjang hari’.

3) Tancho

  • Sejenis minyak rambut dari sayuran asli yang berwarna hijau.
  • Dijual di dalam bekas berwarna hijau dan putih.
  • Mempunyai bau berangin yang kuat.
  • Seperti Bon, ia juga sering diselet ke dagu dan bawah hidung oleh kanak-kanak yang mahu memiliki janggut dan misai.

4) Minyak rambut RM1

  • Sejenis minyak rambut jenis gel.
  • Dijual di dalam tiub lutsinar pada harga RM1.
  • Mempunyai warna yang pelbagai iaitu merah, biru, kuning, hijau dan jernih.
  • Minyak rambut ini mempunyai kadar kerasan rambut yang tinggi tetapi rambut tidak boleh disentuh apabila sudah mengeras.
  • Jika terkena air atau berpeluh, gel akan mengalir turun ke muka dan mendatangkan rasa melekit.

5) Minyak rambut Zam-Zam

  • Sejenis minyak rambut yang banyak dipakai oleh wanita dan kanak-kanak. Ianya di dalam bentuk cecair.
  • Dijual di dalam kotak berwarna merah dan hijau. Terdapat gambar seorang wanita sedang memegang rambut.
  • Cecair di dalamnya berwarna hijau cerah dan dimasukkan di dalam bekas berwarna jernih.
  • Banyak digunakan oleh orang India.

6) Minyak rambut komersil

  • Antara minyak rambut krim berjenama yang boleh dijumpai di mana-mana kedai. Ianya juga turut dikeluarkan di dalam bentuk gel.
  • Antara jenama minyak rambut komersil yang popular adalah Brisk, Code 10 dan Brylcream.

Sesetengah orang tua di kampung atau pedalaman gemar melumur minyak zaitun pada rambut anak-anak bagi menggantikan minyak rambut. Rambut yang dilumur dengan minyak zaitun dipercayai akan menjadi lebat, kuat dan hitam. Oleh kerana baunya yang sangat kuat, old-school dan nampak tidak bergaya, ianya tidak mendapat sambutan oleh anak-anak muda.

Rasanya, kalau buang nama zaitun pada minyak itu mungkin budak-budak nak pakai sikit la.


Tulisan Amirul Bozu ini ada di dalam Tora Datang Lagi.

Komen