JS-SEZ: Bila Onn Hafiz Seperti Budak Yang Tersandung

Isu Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura atau JS-SEZ akhirnya mendedahkan satu perkara yang lebih besar daripada sekadar pelancaran pelan induk. Ia mendedahkan bagaimana seorang Menteri Besar boleh tersilap membaca isu strategik, lalu menjadikannya modal politik murahan ketika negara sedang mengurus kerjasama ekonomi rentas sempadan yang rumit dan bernilai tinggi.

Kesilapan itu mengakibatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak lagi menegur Datuk Onn Hafiz Ghazi secara lembut. Sebaliknya Perdana Menteri menempelak beliau kerana mempolitikkan JS-SEZ, sebuah projek besar yang bukan sahaja melibatkan Johor dan Putrajaya, tetapi juga Singapura. Teguran Anwar bahawa tindakan itu “tidak kena dan tidak cerdik” bukan sekadar satu sindiran biasa. Ia adalah tamparan terbuka kepada gaya politik Onn Hafiz yang mahu kelihatan sebagai jaguh jantan Johor, tetapi akhirnya memperlihatkan kelemahan memahami diplomasi antarabangsa dan ekonomi rentas sempadan.

Lebih pedih, Anwar turut membangkitkan soal tidak berterima kasih. Ini kerana Johor bukan negeri yang dipinggirkan oleh Kerajaan Persekutuan. Sebaliknya, JS-SEZ sendiri ialah bukti bahawa Kerajaan Persekutuan memberikan tumpuan besar kepada pembangunan negeri Johor. Maka apabila Onn Hafiz menggunakan isu ini seolah-olah Putrajaya menjadi penghalang kepada kemajuan Johor, beliau bukan sahaja tidak berlaku adil, malah kelihatan cuba menunggang hasil kerja bersama untuk keuntungan politik sendiri.

Penjelasan panjang Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir kemudian meruntuhkan naratif yang cuba dibina Onn Hafiz. JS-SEZ tidak pernah tertangguh. Malah, data yang ada menunjukkan perkembangan yang kuat. Pada 2025, JS-SEZ mencatat RM76.98 bilion pelaburan diluluskan, dengan 57 peratus daripada jumlah kumulatif itu sudah berada pada peringkat pelaksanaan. Bagi suku pertama 2026 pula, tambahan RM54.9 bilion pelaburan diluluskan. Dari Januari hingga Mei 2026, Invest Malaysia Facilitation Centre Johor menguruskan 285 pertanyaan berkenaan pelaburan dengan potensi terkumpul RM74.12 bilion.

Data ini menunjukkan peningkatan ekonomi Johor yang sedak rancak membangun. Sangat luar biasa apabila baru beberapa hari sudah, Onn Hafiz sendiri bangga dengan pertumbuhan KDNK negeri mencecah 8% tetapi lupa bahawa ia juga hasil usaha sama Kerajaan Persekutuan di Putrajaya.

Realitinya ini semua bukan angka sebuah projek yang terbengkalai. Ia bukan gambaran sebuah pelan pembangunan yang mati di atas meja birokrasi. Sebaliknya ia adalah bukti bahawa JS-SEZ sedang bergerak, sedang dijual kepada pelabur dan sedang dibina keyakinannya melalui saluran kerajaan yang betul. Delegasi dari Itali, Perancis, Jerman, negara-negara Nordic, Taiwan, Kanada dan wakil diplomatik daripada 35 negara di Singapura turut terlibat dalam sesi libat urus. Dalam bahasa mudah, kerja sedang berjalan. Yang bising kini hanyalah mainan politik oleh seorang pemimpin negeri yang nampak seperti kebudak-budakan.

Di sinilah respons Onn Hafiz menjadi lebih bermasalah. Selepas beliau sendiri memulakan serangan dengan membangkitkan isu pelan induk JS-SEZ, beliau kemudian tampil seolah-olah menjadi mangsa apabila ditegur di khalayak oleh Perdana Menteri. Beliau menyanggah Anwar dan mendakwa kenyataan Perdana Menteri tidak tepat serta mengelirukan rakyat dan pelabur. Beliau juga berhujah bahawa Pelan Induk JS-SEZ ialah dokumen Kerajaan Malaysia dan tidak memerlukan kelulusan Singapura.

Masalahnya, hujah sebegini mungkin sedap untuk penyokong politik, tetapi lemah dari sudut pengurusan komunikasi strategik. JS-SEZ bukan risalah kempen. Ia bukan dokumen dalaman parti. Ia ialah projek ekonomi rentas sempadan yang menuntut persefahaman, penyelarasan dasar, keyakinan pelabur, pengurusan imej bersama dan hubungan diplomatik yang teliti antara Malaysia dengan Singapura. Walaupun dokumen pelan induk itu berada di bawah bidang kuasa Malaysia, konteks pelaksanaannya tetap berkait rapat dengan Singapura.

Apa yang sedang diusahakan melalui JS-SEZ tidak berbeza dengan beberapa pelan pembangunan ekonomi rentas sempadan lain yang telah dilaksanakan. Sebagai contoh Brunei Darussalam–Indonesia–Malaysia–Philippines East ASEAN Growth Area (BIMP-EAGA) atau Indonesia-Malaysia-Thailand Growth Triangle (IMT-GT). Kesemua pelan pembangunan ekonomi ini adalah bersifat rentas sempadan dan setiap tindakan atau pengumuman kerajaan tidak boleh dibuat secara unilateral tanpa mengambil kira kesan diplomatik.

Sebab itu dokumen JS-SEZ tidak boleh dilayan seperti bahan kempen yang terdesak. Ia perlu diurus dengan tertib. Setiap kenyataan, setiap isyarat politik dan setiap persepsi kelewatan boleh memberi kesan kepada pasaran, pelabur dan rakan strategik. Inilah perkara yang Onn Hafiz gagal faham, atau lebih buruk, faham tetapi sengaja diketepikan demi mencipta naratif kempen.

Sikap inilah yang membuatkan beliau kelihatan kebudak-budakan. Seorang pemimpin negeri yang matang tidak akan menekan projek strategik melalui sindiran politik terbuka. Seorang pemimpin yang faham ekonomi tidak akan mencipta persepsi krisis hanya kerana mahu kelihatan garang di hadapan penyokong. Seorang pemimpin yang cekap komunikasi tidak akan menyerang dahulu, kemudian merajuk apabila ditegur dan play victim.

Kesimpulannya, Onn Hafiz tersilap langkah. Beliau mahu menggambarkan dirinya sebagai pembela Johor, tetapi yang terserlah ialah seorang ahli politik yang terlalu ghairah mencari modal kempen sehingga sanggup mempertaruhkan persepsi terhadap projek ekonomi penting negeri sendiri. JS-SEZ memerlukan kebijaksanaan, kesabaran dan disiplin diplomatik. Malangnya dalam episod ini, Onn Hafiz menawarkan sebaliknya: politik anak kecil, komunikasi lemah dan ego yang lebih besar daripada kematangan.

Komen