Dilema Survival PAS Di Selatan

Lanskap politik Melayu pasca-Pilihan Raya Umum ke-15 menyaksikan PAS menduduki takhta parti Melayu dengan blok Parlimen terbesar (43 kerusi). Namun, di sebalik angka mutlak itu, parti Islam tersebut sedang berhadapan dengan satu realiti yang pahit: mereka adalah gergasi yang terkurung dalam sangkar ideologi sendiri. Strategi penjenamaan politik berasaskan jubah dan retorik agama telah mencapai tahap tepu (market saturation), hanya mampu meraih sekitar 30 hingga 50 peratus sokongan. Untuk memecah tembok 70 peratus undi Melayu, terutamanya kelompok urban, profesional, dan modera; PAS sedar mereka memerlukan topeng baharu.

Isyarat kepanikan terkawal ini mula terpancar jelas di selatan tanah air menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor. Langkah Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang mengarahkan ahli parti mengundi calon UMNO-Barisan Nasional (BN) di kawasan yang tidak ditandingi Perikatan Nasional (PN) mendedahkan satu anomali moral yang besar. Di satu sudut, terdapat persepsi kegusaran kononnya wujud pakatan sulit bawah meja atau kebangkitan semula “Muafakat Nasional 2.0” ekoran formula 23 kerusi yang tidak bertembung antara BN dan PN. Namun, bedah siasat politik yang lebih objektif menunjukkan sebaliknya. Ia adalah manifestasi kecurangan geopolitik yang didorong oleh keterdesakan.

Dari segi taburan kerusi, PAS sebenarnya mengalami penyusutan pengaruh apabila hanya bertanding 11 kerusi berbanding 15 kerusi sebelum ini. Keputusan memberikan talian hayat secara unilateral kepada BN di 23 kerusi yang merangkumi 13 kubu tegar BN dan 10 kubu DAP bukanlah sekadar satu tanda kebaikan (goodwill). Ia adalah sebuah perjudian yang amat licik. PAS seolah-olah menghantar mesej tersirat kepada UMNO: “Kami serahkan Johor hari ini, demi konsesi politik di Negeri Sembilan atau PRU akan datang.”

Tindakan mengetepikan maruah BERSATU demi kelangsungan talian hayat luar ini membuktikan betapa rapuhnya nilai koalisi PN yang kononnya dibina atas dasar penyatuan ummah. BERSATU kini diletakkan dalam posisi canggung, sementara PAS menggunakan operator politik luar seperti Hamzah Zainuddin sebagai broker kuasa. Hamzah berfungsi sebagai jambatan untuk melakukan kerja-kerja taktikal yang terlalu ‘kotor’ untuk dilakukan oleh sebuah parti ulama secara terbuka, termasuk mendekati kepimpinan UMNO tanpa kelihatan hipokrit di mata akar umbi.

Bagi UMNO-BN pula, amnesia politik ini amat berbahaya. Menerima undi ihsan daripada rakan politik yang terkenal dengan tabiat “politik lalang” adalah satu pelaburan berisiko tinggi. Sejarah membuktikan PAS pernah bersama Pakatan Rakyat, kemudian memeluk UMNO dalam MN, sebelum menceraikannya demi PN. Sifat pragmatisme melampau PAS bermakna kesetiaan mereka hanyalah kepada angka pembentukan kuasa, bukannya pada rakan sekutu.

Akhirnya, PRN Johor bukan sekadar pentas memilih wakil rakyat, melainkan makmal eksperimen image laundering (penggubahan imej) terbesar PAS. Demi meloloskan diri daripada sangkar ideologi Utara dan Pantai Timur, mereka sanggup menyembunyikan wajah lebai di sebalik proksi moderat di Selatan. Persoalannya, sampai bila pengundi Melayu mahu terus membiarkan diri mereka menjadi bidak catur dalam monopoli kuasa yang sedang terdesak mencari identiti ini? Dan apakah nilai perpaduan dan kenegaraan yang sanggup dikorbankan bagi memenuhi cita-cita kuasa politik parti lebai yang semakin tamak ini?

Komen