Gamble Rafizi: Dari “Calon Berprofil Tinggi” PKR Ke Tawaran Terbuka Parti BERSAMA

Kudos kepada Parti BERSAMA kerana membuka tawaran pencalonan kepada semua lapisan rakyat. Dari sudut demokrasi, langkah ini kelihatan segar, terbuka dan seolah-olah mahu memecahkan monopoli politik lama yang sering berlegar dalam lingkungan orang parti, orang kabel dan orang yang sudah lama menunggu giliran dalam hierarki politik kepartian.

Namun, langkah ini juga mengingatkan kita kepada satu eksperimen politik yang pernah dibuat oleh PKR pada PRU15 lalu. Ketika itu, PKR memperkenalkan kumpulan yang disebut sebagai “calon berprofil tinggi” — terdiri daripada golongan profesional, agamawan, aktivis dan anak muda yang bukan semestinya ahli politik sepenuh masa atau datang daripada struktur akar umbi parti.

Tidak silap, inisiatif ini turut dikaitkan dengan Rafizi Ramli dan Nik Nazmi. Rafizi ketika itu berhujah bahawa langkah membawa masuk calon luar politik arus perdana diperlukan kerana wujudnya public cynicism terhadap parti politik. Maksudnya, pengundi dikatakan sudah bosan dengan orang politik biasa, lalu calon yang lebih segar, profesional dan berwibawa kononnya mampu menjadi tarikan baharu.

Rafizi sendiri mengakui strategi itu satu gamble, atau perjudian politik. Tetapi beliau yakin pengundi kali ini akan melihat calon lebih utama daripada parti. Maka tujuh orang calon “berprofil tinggi” pun diketengahkan oleh PKR dan Pakatan Harapan. Mereka mengisi kuota calon PKR, walaupun tidak dinafikan wujud bantahan akar umbi di beberapa kerusi terlibat. Bagi orang parti yang sudah lama bekerja di kawasan, tiba-tiba kerusi diberi kepada calon luar tentunya bukan perkara kecil.

Tetapi apa kesudahannya?

Jufitri Joha tewas di P137 Rembau kepada Mohamad Hasan daripada BN. Nik Omar Nik Abdul Aziz pula tewas di P073 Pasir Salak kepada Jamaludin Yahya daripada PN. Di P081 Jerantut, Hassan Basri Awang Mat Dahan tewas kepada Ir Ts Khairil Nizam Khirudin daripada PN. Manakala di P125 Putrajaya, Dr Noraishah Mydin Abd Aziz tewas kepada Dr Radzi Jidin daripada PN.

Fathin Amelina Fazlie, seorang mahasiswi universiti tewas di P003 Arau kepada Shahidan Kassim daripada PN. Saipolyazan Mat Yusop pula tewas di P093 Sungai Besar kepada Muslimin Yahaya daripada PN. Dan akhir sekali, Zainal Azman Abu Seman pula tewas di N13 Kuala Sepetang kepada Ahmad Man daripada PN, walaupun beliau ketika itu disebut-sebut sebagai calon Menteri Besar Perak daripada PH.

Kesimpulannya mudah: tidak ada seorang pun daripada tujuh calon “berprofil tinggi” itu menang. Semuanya kalah. Gamble PKR, atau lebih tepat gamble Rafizi, tidak menjadi.

Mungkin public cynicism yang disebut-sebut itu tidaklah sebesar yang disangka. Atau mungkin pengundi memang marah kepada parti politik, tetapi apabila sampai hari mengundi, mereka tetap memilih berdasarkan lambang, parti, sentimen nasional dan gelombang politik semasa. Dalam pilihan raya, calon yang hebat di atas kertas belum tentu mampu menewaskan kekuatan jentera, emosi pengundi dan kesetiaan kepada parti.

Sebab itu langkah Parti BERSAMA membuka tawaran calon secara terbuka perlu dilihat dengan realistik. Ia mungkin nampak demokratik dan moden, tetapi ia juga satu lagi perjudian politik oleh Rafizi. Bezanya kali ini, beliau bukan lagi bereksperimen dari dalam PKR tetapi melalui parti baharu yang masih perlu membuktikan kekuatan akar umbi, struktur jentera dan daya tahan politiknya.

Harapan kita moga kali ini gamble Rafizi dan Parti BERSAMA lebih bernasib baik. Jangan pula sampai senasib dengan eksperimen “calon berprofil tinggi” PKR dahulu. Atau lebih teruk, jangan jadi seperti MUDA dalam PRN Johor — banyak bising, banyak idealisme, tetapi akhirnya busuk-busuk pun cuma menang satu kerusi mudah.

Komen