Mencari Telos Mahasiswa

Mutakhir ini, Malaysia menyaksikan penghidupan semula penglibatan mahasiswa dalam kegiatan politik dan aktivisme. Hal ini, pada hemat saya, dapat kita jejak kembali kepada perhimpunan yang dianjurkan oleh beberapa buah pertubuhan mahasiswa di bawah pimpinan Himpunan Advokasi Rakyat Malaysia (HARAM) bagi menuntut reformasi institusi-institusi nasional demi membasmi sebarang unsur rasuah. Sejak itu, terdapat beberapa perkembangan dalam ruang perjuangan anak muda yang mengetengahkan satu aspek penting, yakni intelektualisme.

Berdasarkan pemahaman saya, beberapa kolektif seperti Liga Mahasiswa, Suara Mahasiswa, Mandiri, dan Federasi Pemuda Kebangsaan giat menjalankan aktiviti bagi mengembangkan wacana politik dalam kalangan anak muda. Sebagai contoh, Mandiri telah mengasaskan Rumah Mandiri sebagai ruang berdialog demi memberdayakan budaya berdiskusi mengenai topik-topik kritis dalam kalangan anak muda. Selain itu, Federasi Pemuda Kebangsaan telah menganjurkan program ‘Buku Jalanan’ di persekitaran Dataran Merdeka demi mengadakan perbualan intelektual, yang, menurut sumber media, telah diganggu oleh pihak penguasa.

Biarpun kebudayaan intelektual terang-terang digeruni oleh puak-puak berautoriti disebabkan peranannya dalam menyuburkan politik anak muda, bilangan mahasiswa yang melibatkan diri dalam perjuangan masih amat sedikit. Contohnya, lebih kurang 100 orang sahaja yang menghadiri protes anjuran Sekretariat Rakyat Benci Rasuah 2.0 baru-baru ini. Golongan tersebut boleh dikatakan kelompok minoriti dalam kalangan populasi negara. Hal ini bukanlah perkara yang aneh, bahkan tepat mencerminkan tahap kesedaran anak muda yang dibelenggu oleh iklim individualis pascamodenisme dalam dunia pengajian tinggi. Apakah yang saya maksudkan? Izinkan saya berkongsi sebuah anekdot daripada pengalaman saya sendiri yang menuntut pendidikan di sebuah universiti swasta.

Kebanyakan mahasiswa tidak bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu. Kuliah dihadiri demi menjaga bilangan kehadiran masing-masing semata, sampaikan ada yang berusaha menipu sistem dengan meminta rakan untuk log masuk aplikasi kehadiran bagi memenuhi syarat, biarpun bentuknya tidak kelihatan di dewan. Apabila saya menyoal mengenai sikap mereka terhadap keilmuan itu, tanpa segan silu mereka menyatakan ketiadaan minat untuk menggalas tugas mahasiswa. Realitinya, kebanyakan anak muda pada hari ini berada di institusi pengajian tinggi demi memperoleh sehelai sijil yang menjadi syarat kelayakan minimum kebanyakan pekerjaan. Kebergantungan kepada sistem ekonomi memaksa orang untuk memilih jalan hidup yang tak diinginkan, hingga sebuah aturan yang ditetapkan tidak dipatuhi mahupun dihormati.

Fenomena ini selari dengan konsep keterasingan (alienation) yang kerap dibincangkan oleh para sarjana Marxis. Seseorang yang hidup dalam ekonomi kapitalis terpaksa melakukan sesuatu perkara bukan atas kepentingan dan keinginannya sendiri, tetapi hanya untuk menerima gaji bagi meneruskan keberlangsungan hidup. Hal ini membataskan kebolehannya untuk memilih jalan hidupnya sendiri tanpa dipengaruhi kemahuan entiti lain yang mempunyai kekayaan dan kekuasaan lebih dalam menentukan masa depannya. Dengan itu, seseorang akhirnya terperangkap dalam suatu sistem yang mengekang kebebasannya, sampai terlahir kesedaran palsu (false consciousness) yang menodai niatnya sendiri. Mahasiswa berada di universiti bukan untuk menuntut ilmu, malah untuk mencapai syarat tertentu supaya situasi ekonomi dirinya pada masa depan terjamin.

Dalam Islam, kegiatan menuntut ilmu dianggap kefarduan. Hal ini sering disandarkan pada ayat al-Quran yang paling awal diwahyukan kepada nabi Muhammad SAW: iqra’. Bacalah. Tradisi keilmuan dipandang sebagai matlamat utama dalam kalangan pemikir Islam sepanjang tawarikh khilafah dan imamah. Namun demikian, ramai dalam kalangan ummah tidak peka akan kalimah-kalimah selebihnya yang terletak dalam ayat yang sama: bismi rabbikal ladhi khalaq. Dengan nama Tuhanmu yang menciptakan. Apakah berbeza maksud ayat tersebut apabila kita ambil kira bahagian ini? Sudah tentu. Bilamana kita menghayati firman Tuhan agar membaca dengan nama-Nya, kita bukan sekadar menuntut ilmu secara melulu. Malah, kita menuntut ilmu dengan nawaitu, supaya ilmu itu dimanfaatkan demi Tuhan semata. Seorang Muslim yang bertakwa, yang mendambakan keihsanan dalam agamanya, mengamalkan ilmunya ke arah menegakkan syiar Islam.

Seseorang yang mendambakan sesuatu akan memanfaatkan ilmunya dan membelanjakan hartanya ke arah mencapai kemahuan itu. Jadi, kalau akses kepada ilmu dan kewangan tidak menjadi masalah bagi seseorang, seperti sesetengah mahasiswa di universiti saya yang telah saya bincangkan tadi, maka kegagalannya untuk mencapai apa jua bentuk pencapaian terletak pada ketiadaan keinginan untuk melakukan apa-apa. Sejujurnya, mahasiswa pada hari ini bukannya tidak mengetahui keadaan politik dunia, lagi-lagi di negara kita. Maklumat mengenai khabar terkini sentiasa membanjiri skrin telefon pintar masing-masing. Cuma, belum ada lagi niat yang lahir dalam dirinya itu untuk bergerak supaya melakukan sesuatu bagi merubah situasi di sekelilingnya. Belum sampai lagi telos yang dapat membimbing seluruh jasad dan tenaganya untuk bergiat dalam membina masa depan diri dan negara. Persoalannya sekarang, di manakah dapat kita menemukan telos ini?

Tempat untuk kita mendapatkan semangat bagi menjalani sesuatu misi bermula dengan mengenali dan menerap dalam diri misi itu sendiri. Sesetengah orang mendambakan demokrasi liberal. Sesetengah orang yang lain mahu membangunkan republik sosialis. Ada pula yang ingin mendirikan kerajaan Islam di bawah pimpinan alim ulama. Apa-apa pun yang menjadi misi kita, itulah yang akan mendorong diri kita agar bertungkus-lumus dalam mencapai misi itu. Maka dengan itu, saranan saya kepada mahasiswa yang masih belum merasakan dirinya harus memegang tanggungjawab adalah untuk mencari apa yang didambakan dirinya.

Bagi mereka yang sudah menemukan hal tersebut, dan sekarang hanya berasa ketidakpuasan terhadap kapasiti kolektif masing-masing dalam menjayakan matlamatnya, saranan saya adalah untuk menghulur tangan anda kepada orang sekeliling. Bentukkan hubungan sesama insan. Ambil tahu tentang orang lain supaya mereka mengambil tahu tentang kamu. Bertukarlah pendapat dan pandangan, bukan sekadar untuk menambahkan ilmu pengetahuan, tetapi juga untuk memahami sikap masing-masing. Kepercayaan masing-masing. Moga-moga Tuhan membuka hati kita agar dapat menerima sesuatu kebenaran yang akan mengobarkan semangat untuk menjadi manusia yang giat lagi berhayat. Wallahu A’lam.

Komen