Tahun ini Malaysia yang kita cintai akan menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-67 tahun. Imbas kembali sewaktu rombongan Tunku Abdul Rahman ke London untuk perundingan kemerdekaan, beliau mendapat restu dan doa daripada pelbagai kaum di Malaya pada waktu itu. Matlamatnya hanya satu – semoga Malaya mencapai kemerdekaan yang membolehkan ia ditadbir oleh bangsanya sendiri yang terdiri daripada pelbagai kaum. Bahkan rombongan Tunku Abdul Rahman juga disertai wakil-wakil dari parti-parti gabungan Parti Perikatan yang pada masa itu mewakili kaum-kaum di dalam Malaya.
Wakil-wakil tersebut termasuklah Tun V.T Sambanthan yang merupakan Presiden MIC pada ketika itu.
Selepas hampir 67 tahun peristiwa kemerdekaan negara ini, sepatutnya rakyat di dalam negara ini semakin harmoni, bersama-sama mengembleng tenaga dan usaha untuk memajukan negara ini. Saling sayang menyayangi dan mendukung aspirasi antara satu sama lain demi Malaysia yang harmoni. Saya percaya sebenarnya rakyat di dalam negara ini boleh hidup tanpa melihat warna kulit dan perbezaan tradisi. Bahkan tradisi yang berbeza antara satu sama lain sepatutnya memupuk lebih rasa empati dan hormat menghormati antara satu sama lain serta mewujudkan persefahaman yang utuh.
Namun sayang sekali buat rakyat di negara ini kerana ahli-ahli politik di dalam negara ini suka menggunakan sentimen perkauman dan sentimen agama untuk meraih kuasa. Ini sekaligus telah meranapkan keharmonian bahkan menyemai kebencian di kalangan rakyat negara ini. Saya suka mengulangi kata-kata Saudara Steven Sim Chee Keong, Menteri Sumber Manusia pada ketika ini yang acap kali mengulangi frasa ini ketika beliau berucap atau memberikan komentar mengenai perpaduan dalam negara ; “orang politik sepatutnya menjadi jambatan yang menghubungkan keharmonian antara rakyat”.
Namun amat menyedihkan apabila baru-baru ini, bekas Perdana Menteri Malaysia, yang bukan sahaja sekali menjadi perdana menteri bahkan sudah dua kali menjadi perdana menteri mengeluarkan satu kenyataan yang biadab terhadap masyarakat India di dalam negara kita.
Saya ingin bertanya kepada semua, apakah lagi bukti yang perlu ditunjukkan oleh kaum bukan Bumiputera di dalam negara ini untuk membuktikan ketaatan dan kasih sayang mereka kepada ibu pertiwi ini?
Kita mungkin terlupa akan jasa mendiang Detektif Koperal R. Sanghadevan daripada Cawangan Khas PDRM pada tahun 2000. Mendiang antara pahlawan negara yang gugur ketika menjalankan tugas sewaktu kemerdekaan negara diancam oleh kumpulan pelampau Al Maunah di Bukit Jenalik, Perak. Kita juga mungkin terlupa bagaimana Datuk Nicol Ann David mengharumkan nama negara di persada dunia dengan pencapaian beliau dalam sukan skuasy. Mungkin ada antara kita juga lupa atau tidak tahu mengenai kisah Cikgu Samuel Isaiah, rakyat Malaysia pertama yang memenangi anugerah TRT World Citizen Educator Award dan juga pernah menjadi 10 finalis Anugerah Hadiah Guru Global 2020.
Figura-figura ini adalah contoh daripada puluhan lagi rakyat Malaysia dari keturunan India yang cemerlang di dalam bidang yang mereka ceburi dan mengharumkan nama negara di mata dunia. Adakah ini masih tidak membuktikan ketaatan kaum India terhadap negara ini? Jika bahasa yang dituturkan di rumah mereka menjadi pengukur kepada ketaatan mereka seperti yang disebutkan oleh bekas perdana menteri Malaysia yang ke-4 dan ke-7, maaf terlalu ramai Melayu elit kini yang tidak menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa utama dalam kehidupan mereka bahkan ada yang tidak tahu langsung bertutur bahasa Melayu. Dan saya kira cucu-cucu kepada bekas perdana menteri ini juga kebanyakannya lebih selesa bertutur dalam bahasa Inggeris dalam kehidupan seharian mereka.
Dengan memetik perkara-perkara remeh untuk dijadikan peluru menyerang kaum India di dalam negara ini tidak melambangkan sifat seorang negarawan yang ada dalam diri beliau. Bahkan saya juga tertanya-tanya, apakah motif beliau yang tidak sudah mengapikan sentimen perkauman di dalam negara ini? Melayu, Cina dan India – semua tidak elok di mata beliau. Jadi kaum apa yang molek yang sempurna di mata beliau di dalam negara ini?
Jika niat beliau adalah untuk memberikan nasihat dan pandangan, ya saya yakin masyarakat kini terbuka dengan kritikan yang membina. Akan tetapi apa yang dinyatakan beliau bukanlah satu kritikan membina bahkan ia adalah satu serangan yang tidak sepatutnya dilancarkan oleh seorang yang pernah menjadi perdana menteri kepada negara ini.
Seakan tidak percaya kita pernah dipimpin oleh pemimpin ini satu masa dahulu.
Kata-kata seperti ini secara tidak langsung mencambah dan melahirkan pemikiran dan ideologi ekstremis di kalangan rakyat negara kita. Ia akan menyemai pemikiran dan sikap “superior” dengan idea bahawa kamu adalah kaum hina, aku dari kaum yang tertinggi. Ini akan meningkatkan jurang antara setiap kaum dalam negara dan menyuburkan rasisme di dalam negara ini.
Rasisme ini adalah barah yang membunuh keharmonian negara bahkan ia bakal menghancurkan negara. Kekacauan dan ketidakstabilan dalam negara mungkin tidak akan dirasai oleh mereka yang sudah berusia dinosaur ini kerana lumrah hidup mereka akan meninggalkan kita, namun kekacauan ini akan diwarisi oleh generasi seterusnya dan jika pemikiran generasi akan datang ini masih mempercayai dakyah sesat ini, maka keharmonian akan pupus dalam negara ini. Keharmonian hanyalah satu cerita dongeng yang akan diceritakan kepada anak cucu kita.
Jadi sebagai generasi baru yang bakal mewarisi apa sahaja yang ditinggalkan di dalam negara ini oleh si tua kutuk, adakah kita semua akan membenarkan anasir-anasir dan dakyah ini mengganggu gugat keharmonian dan rasa kasih sayang antara kita, bangsa Malaysia?
Dan saya suka merujuk kita semua sebagai satu bangsa Malaysia kerana kita semua adalah Malaysia. Saya bangsa Malaysia dari kaum Melayu. Anda mungkin bangsa Malaysia dari kaum India. Dia mungkin bangsa Malaysia dari kaum Cina. Kita semua bangsa Malaysia. Serangan perkauman adalah serangan kepada bangsa Malaysia.
Maka saya bersolidariti dengan bangsa Malaysia, bangsa saya.
Pernah berkhidmat sebagai pegawai khas parlimen dan dasar kini menceburi bidang korporat. Extrovert. Memasak adalah terapi dan masih single.