Ramai dari kita mempunyai aplikasi pintar MySejahtera, tetapi tahukah anda MySejahtera kini mempunyai ciri baharu iaitu MyMinda?
MyMinda mula dilancarkan pada 22 Oktober 2023 sebagai satu inisiatif digital kerajaan untuk menyokong kesihatan mental rakyat.
Ia terdiri daripada tiga submodul yang membantu individu dalam penilaian kesihatan mental, penjagaan kesihatan mental kendiri dan akses kepada profesional kesihatan mental.
MyMinda memberikan pengguna akses kepada penilaian awal kesihatan mental, panduan penjagaan kesihatan mental diri, serta kemudahan untuk mencari dan berhubung dengan profesional kesihatan mental.
Pengguna hanya perlu membuka aplikasi MySejahtera dan akses ke ciri MyMinda pada bahagian yang telah ditetapkan dan ianya adalah percuma.
Semenjak dilancarkan, sejumlah 6,955 saringan kesihatan mental telah dibuat di MyMinda dalam tempoh dua minggu pertama.
Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa memaklumkan dari saringan kesihatan yang dibuat 2,820 berisiko kemurungan, 1,271 bergejala kemurungan dan 2,887 mengalami keresahan.
Namun apa yang lebih membimbangkan ialah sejumlah 1,315 individu yang disaring mempunyai kencederungan atau tingkah laku untuk membunuh diri.
Justeru adalah diharapkan mereka yang didapati mempunyai masalah kesihatan mental ini dapat memanfaatkan kemudahan yang ada pada MyMinda untuk segera mendapatkan rawatan dari profesional kesihatan mental.
Kementerian Kesihatan Malaysia juga turut menyediakan Talian Krisis Kesihatan Mental Kebangsaan iaitu talian HEAL 15555 agar pertolongan dapat dicapai hanya melalui satu panggilan.