MAKLUMAN PRODUK KOSMETIK YANG DIKESAN MENGANDUNGI RACUN BERJADUAL

Produk kosmetik timbang kilo memang murah dan mudah tular, tetapi konsumer perlu sentiasa berwaspada dengan produk sebegini.

Acapkali kita berdepan insiden produk kosmetik timbang kilo yang sebenarnya mengandungi racun atau tidak mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk selamat digunakan.

Terbaru, KKM melalui Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) telah memaklumkan lima produk kosmetik timbang kilo yang dikesan mengandungi racun berjadual.

Antara racun berjadual yang terkandung dalam produk kosmetik timbang kilo terbabit adalah Merkuri, Asid Azelaik, Hydroquinone, Tretinoin dan Betamethasone 17-Valerate yang boleh mendatangkan kesan sampingan kepada pengguna.

Terpaling bahaya ialah Merkuri yang sememangnya dilarang dalam produk kosmetik kerana ia boleh diserap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf, selain mengganggu perkembangan otak kanak-kanak yang masih kecil atau belum dilahirkan.

Jangan kerana si ibu mahu kelihatan cantik sentiasa hinggakan anak yang masih kecil atau dalam kandungan didedahkan kepada risiko bahan beracun berjadual yang memudaratkan.

Notifikasi produk kosmetik timbang kilo terlibat telah dibatalkan oleh Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, KKM dan ia tidak lagi dibenarkan untuk dijual di Malaysia.

Sebarang penjualan dan pengedaran produk kosmetik timbang kilo terbabit adalah melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Para konsumer yang menggunakan produk kosmetik timbang kilo terbabit dinasihatkan untuk segera menghentikan penggunaannya dan dapatkan nasihat ahli profesional kesihatan jika terdapat kesan sampingan.

Sila semak status notifikasi sesuatu produk kosmetik di laman sesawang http://npra.gov.my atau melalui aplikasi ‘NPRA Product Status’ yang boleh dimuat turun di Google Play Store.

Komen