Di Syawal ini, kasihan keluarga Mak Cik Kiah. Pelbagai pancaroba yang harus mereka tempuhi bersama.
Ketika dahulunya beliau sekeluarga dijanjikan dengan manfaat lebih RM8,600 menerusi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin (PRIHATIN), ternyata apa yang diterima jauh lebih rendah daripada itu. Mungkin beberapa terma dan syarat bantuan itu tidak begitu jelas sewaktu pengumumannya dibuat.
Misalannya, terdahulu Mak Cik Kiah pernah berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), jadi tercicirlah beliau daripada Bantuan Prihatin Nasional (BPN). Disebabkan mata pencarian beliau terputus, maka Mak Cik Kiah pun pergilah ke Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) untuk membuat rayuan, tetapi tiada jaminan bantuan itu akan diluluskan. Untuk buat pinjaman pun Mak Cik Kiah tak berani kerana sumber rezeki tak menentu. Bagaimana mahu membayar semula jika tiada pendapatan pun?
Menurut analogi Perdana Menteri (PM) juga, Mak Cik Kiah ini ada seorang sahaja anak yang mendapat pelepasan PTPTN. Tetapi mungkin PM terlupa pula kepada anak-anak lainnya. Ada yang terpaksa menerima potongan gaji, ada juga yang bercuti tanpa gaji kerana majikan tidak berupaya menampung kos upah pekerja. Dengan subsidi upah hanya sebanyak RM600, RM800 dan RM1,200 seorang, maka tidak hairanlah jika majikan memilh untuk memberhentikan pekerja kerana perolehan mereka tidak dapat menampung perbelanjaan ini.
Bukan itu sahaja, keluarga Mak Cik Kiah tempuhi masalah lain juga merangkumi kenaikan harga barangan seperti daging, ayam dan sayur yang melonjak menjelang perayaan Aidilfitri ini. Malah, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid pula sekadar mampu menasihatkan rakyat seperti Mak Cik Kiah supaya memilih kedai yang murah jika ingin mendapatkan bekalan makanan mentah itu. Kasihan sungguh.
Berhadapan dengan pelbagai ranjau menjelang awal Syawal ini masih bolehkah Mak Cik Kiah sekeluarga tersenyum merenungkan nasib mereka? Tentulah tidak.
Mak Cik Kiah Perlukan Sokongan Perundangan
Walaupun telah banyak bantuan dan pakej rangsangan diumumkan, langkah Kerajaan masih belum menyeluruh untuk melindungi perusahaan industri kecil sederhana (IKS) seperti yang diusahakan oleh Mak Cik Kiah
Kebanyakan permasalahan yang dihuraikan di atas memerlukan penyelesaian daripada aspek perundangan juga. Rang Undang-Undang baharu atau pun Akta sedia ada perlu diubahsuai bagi melindungi nasib Mak Cik Kiah sekeluarga dan rakan-rakan yang berkongsi nasib yang sama ketika berhadapan dengan norma yang baharu. Pindaan kepada beberapa undang-undang pekerjaan, percukaian, kesihatan dan pendidikan begitu mustahak bagi melindungi golongan yang terkesan dek gangguan kepada kehidupan dan sistem ekonomi yang mencabar buat rata-rata rakyat Malaysia.
Tambahan pula, menurut pakar undang-undang Profesor Datuk Dr Salleh Buang, Kerajaan harus mewujudkan undang-undang khas bersifat sementara bagi melindungi perniagaan di negara ini yang terkesan akibat penularan wabak COVID-19, lantas menyelamatkan pekerjaan. Hal ini menjurus kepada perlindungan perniagaan daripada tindakan undang-undang jika gagal memenuhi perjanjian akibat terjejas dengan wabak berkenaan.
Jelas sekali, persidangan penuh Parlimen diperlukan bagi mencapai matlamat-matlamat yang telah digariskan. Malangnya, pada 18 Mei lepas, Parlimen hanya mesyuarat untuk 90 minit sahaja. Itu pun untuk mendengar titah diraja Yang di-Pertuan Agong tanpa sebarang perbahasan. Sekadar cukup syarat sahaja supaya ahli-ahli parlimen kekal menyandang jawatan mereka.
Apabila digesa lagi untuk memanggil persidangan penuh sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Takiyuddin Hassan meminta semua pihak bersabar kerana RUU berkaitan Covid-19 hanya akan dibentangkan pada sidang Parlimen akan datang pada 13 Julai nanti. Dengan erti kata lain, ketika rakyat meminta supaya tindakan diambil secepat mungkin, Kerajaan Perikatan Nasional (PN) seolah-olah hanya menyahut “Tunggulah dua bulan lagi”.
Dalam pandemik, masa adalah yang paling berharga. Ternyata, kita telah pun terlepas peluang keemasan untuk bertindak dengan segera. Sekiranya aturan perundangan yang memenuhi keperluan rakyat tidak digubal tepat pada masanya, maka implikasi kepada kehidupan dan ‘periuk nasi’ rakyat akan menjadi lebih dahsyat lagi.
Namun begitu, biarpun agak terlambat untuk mengubah nasib rakyat yang terkesan semasa awal Syawal ini, Kerajaan PN masih berpeluang membuat sesuatu dengan segera bagi menyelesaikan masalah rakyat bagi tempoh jangkamasa sederhana dan panjang.
Mereka mempunyai peluang untuk memanggil sesi persidangan khas Parlimen yang berjalan untuk tempoh 3 – 5 hari dalam masa terdekat ini. Sudah tentu sesi ini perlu dijalankan seiring dan sejalan dengan pengubahsuaian SOP seperti yang dilaksanakan di Parlimen negara lain. Integrasi teknologi seperti video dan ‘teleconferencing’ perlu juga digalakkan bagi membawa sistem Parlimen kita ke alam maya (virtual).
Apa yang jelas, zaman kerajaan tahu segala perkara sudah berakhir. Kerajaan perlu kembali ke Parlimen untuk berunding dan mempertimbangkan masa depan negara bersama ahli-ahli Parlimen yang dipilih rakyat.
Dengan itu, kita perlu pastikan ahli-ahli Parlimen kita dapat menunaikan tanggungjawab mereka dan bersidang bagi membawa isu-isu rakyat walau dengan apa jua cara sekali pun. Nasib Mak Cik Kiah sekeluarga dan rakan-rakan bergantung kepadanya. Amat malang sekali jika keperluan ini ditunggak sama sekali.
Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.
Iskandar Fareez merupakan Naib Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Kebangsaan dan Ketua DAPSY Bukit Bintang.