Langkah Jalaluddin: Zahid Dalam Bahaya?

Dalam politik Negeri Sembilan kini, kita belajar satu perkara baharu iaitu “menyokong kerajaan” dan “menjadi pembangkang” boleh wujud dalam ayat yang sama, bergantung pada siapa yang bercakap, ke mana ia ditujukan dan berapa laju UMNO menyelamatkan muka sendiri dengan terus memutar belit naratif.

Beberapa hari lalu, Zahid Hamidi muncul dengan wajah yakin sebagai ketua parti yang masih in control. Katanya, 14 ADUN UMNO Negeri Sembilan sudah bersetuju untuk terus menyokong kerajaan perpaduan negeri pimpinan Aminuddin Harun. Maka penyokong PH boleh tarik nafas lega, penyokong UMNO boleh pura-pura faham dan rakyat biasa boleh kembali meneruskan kehidupan seperti biasa.

Tetapi belum pun sempat dakwat kenyataan itu kering, Jalaluddin Alias datang dengan satu langkah politik yang nampak tempang tetapi sebenarnya penuh percaturan. UMNO Negeri Sembilan katanya, tidak mahu menjatuhkan kerajaan negeri. Bagus. Tetapi pada masa sama mereka juga tidak mahu duduk dalam kerajaan. Mereka mahu menjadi pembangkang. Lagi bagus. Atau lagi pelik. Atau mungkin kedua-duanya sekali.

Maka lahirlah formula ajaib politik UMNO: tidak menggulingkan kerajaan, tetapi tidak menyokong kerajaan; tidak bersama PH, tetapi tidak juga menebuk atap dengan PN; tidak mahu jadi kerajaan, tetapi mahu kerajaan yang lebih kecil terus memerintah. Percaturan yang memang membingungkan.

Masalahnya, Negeri Sembilan mempunyai 36 kerusi DUN. PH memegang 17, BN atau UMNO 14 dan PN 5. Jika UMNO benar-benar duduk sebagai pembangkang bersama PN, blok pembangkang secara matematik menjadi 19 kerusi, manakala kerajaan pula hanya 17 kerusi. Ertinya, pembangkang lebih besar daripada kerajaan, tetapi kerajaan yang lebih kecil itu pula masih dibenar mentadbir negeri.

Ini bukan kerajaan perpaduan. Ini kerajaan “tunggu dulu jangan jatuh, sebab kita belum habis bergaduh”.

Aminuddin kini berada dalam kedudukan yang sangat canggung. Untuk meluluskan apa-apa usul, beliau perlu bergantung kepada pihak yang secara terbuka tidak lagi mahu menjadi sebahagian daripada kerajaan.

Namun mangsa sebenar dari drama ini bukan Aminuddin, bukan juga Jalaluddin yang langkah politiknya dibaca ramai sebagai tidak masuk akal.

Mangsa sebenar ialah Presiden UMNO sendiri. Selama ini Zahid bertahan sebagai Presiden UMNO bukan kerana beliau mendapat sokongan 100% perwakilan UMNO, tetapi kerana UMNO sudah lama didisiplinkan untuk diam dan tidak bersuara di khalayak. Ahli UMNO telah sekian lama diajar bahawa pergaduhan parti jangan ditayang kepada umum dan kestabilan parti mengatasi segalanya.

Tetapi krisis di Negeri Sembilan menyerlahkan sesuatu lari dari kebiasaan UMNO, iaitu arahan Presiden UMNO sudah tidak semestinya menjadi penamat cerita. Jalaluddin dan UMNO Negeri Sembilan tidak melawan secara kasar. Sebaliknya mereka melawan secara halus. “Baiklah, kita tidak jatuhkan kerajaan. Tapi kita juga tidak duduk dalam kerajaan.” Begitulah mesej yang diberikan oleh Jalaluddin dan UMNO Negeri Sembilan.

Bagi akar umbi UMNO, maksudnya jelas. Jika Presiden parti kelihatan lebih bersungguh menyelamatkan kerajaan PH daripada memastikan UMNO menang, maka apa lagi fungsi Presiden itu kepada UMNO? Dalam parti yang sudah lama menelan kekalahan demi kekalahan, kesetiaan kepada Zahid semakin mahal, sedangkan pulangannya semakin kecil.

Jalaluddin mungkin tidak menumbangkan kerajaan Negeri Sembilan hari ini. Tetapi beliau mungkin telah membuka papan catur yang lebih besar: papan catur untuk menumbangkan Zahid Hamidi dari jawatan Presiden UMNO.

Yang sebenarnya goyah dalam krisis Negeri Sembilan ini bukannya Menteri Besar yang duduk di Seremban.

Tetapi orang Bagan Datuk yang kini mula berpeluh.

Komen