Apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan injunksi yang dipohon oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) terhadap dua saluran Telegram terkenal — Edisi Siasat dan Edisi Khas — ia bukan sekadar keputusan undang-undang. Ia adalah isyarat politik, sosial dan moral terhadap ekosistem digital yang kian liar; bahawa “kebebasan bersuara” tidak boleh dijadikan lesen untuk menghancurkan kepercayaan awam.
Dalam tempoh dua tahun kebelakangan ini, Malaysia menyaksikan lonjakan luar biasa dalam penyebaran maklumat yang belum tentu sahih, tetapi disebar dengan keyakinan seperti firman Tuhan. Telegram, yang dahulunya menjadi ruang alternatif bagi suara rakyat, kini sering menjadi padang terbuka untuk fitnah, konspirasi dan kebencian yang sering kali disalut dengan naratif “dedahan berani demi rakyat.”
Namun realitinya, sebahagian besar “dedahan” itu bukanlah kerja whistleblower, tetapi kerja orang yang mahu membakar keyakinan rakyat terhadap institusi polis, SPRM, mahkamah malah hospital kerajaan sekalipun dengan menanam rasa benci dan curiga. Inilah konteks yang menjadikan tindakan MCMC bukan sekadar sah di sisi undang-undang, tetapi perlu di sisi moral.
Keseimbangan Antara Hak Dan Tanggungjawab
Mahkamah menegaskan bahawa kepentingan awam mesti mengatasi kepentingan peribadi. Di sini prinsip kebebasan bersuara diuji. Sejauh mana suara individu boleh dibiarkan bebas sebelum ia mula mencederakan masyarakat?
Kebebasan bersuara bukan hak mutlak. Ia datang bersama beban tanggungjawab sosial. Bila “pendedahan” dibuat tanpa bukti, diulang-ulang dalam ribuan saluran dan disebarkan oleh ribuan akaun palsu, ia bukan lagi semangat demokrasi yang mendukung kebebasan bersuara, tetapi ia adalah anarki digital yang menimbulkan huru-hara.
Namun begitu, kita juga tidak boleh menafikan bahawa whistleblower tulen memainkan peranan penting dalam menegakkan integriti dan ketelusan. Banyak skandal besar dalam sejarah Malaysia dari rasuah korporat hingga ketirisan dana awam terdedah kerana keberanian individu yang menyalurkan maklumat kepada media atau pihak berkuasa. Maka cabarannya kini ialah menapis antara “pembongkar kebenaran” dengan “penyebar kebencian.”
Mengimbangi Dua Dunia
Di satu sisi, tindakan MCMC wajar dilihat sebagai satu usaha melindungi ruang digital negara dari menjadi rimba maklumat palsu. Di sisi lain, kerajaan tidak boleh menjadikan injunksi ini sebagai lesen untuk menutup mulut pengkritik yang sah atau wartawan penyiasat yang beretika.
Kita memerlukan garis halus yang tegas: mengekang pembohongan tanpa membungkam kebenaran. Menghapuskan fitnah tanpa membunuh perbincangan awam. Ini bukan kerja mudah. Malah ia menuntut satu bentuk kepimpinan moral dan teknikal yang matang dalam mengurus kebebasan digital.
Amaran Kepada Platform Luar
Mahkamah turut mengingatkan bahawa platform luar seperti Telegram perlu menghormati konteks sosial dan perlembagaan Malaysia. Kebebasan digital global tidak boleh mengabaikan realiti tempatan sebuah negara yang sedang belajar mengimbangi hak individu dengan keamanan sosial.
Dalam konteks ini, keputusan mahkamah juga menandakan bahawa Malaysia bersedia menggunakan instrumen undang-undang untuk menegakkan ketenteraman digital, sesuatu yang selama ini hanya dilakukan oleh negara-negara besar.
Penghujungnya, persoalan ini bukan soal MCMC melawan Telegram, atau kerajaan melawan rakyat. Ia soal disiplin kita dalam berinteraksi dengan maklumat.
Apabila ruang digital menjadi gelanggang fitnah, kepercayaan awam yang menjadi korban pertama.
Dan apabila kepercayaan hancur, demokrasi tidak lagi bermakna.

Lucius Maximus adalah seorang penulis dengan tiga buku setakat ini, Cerita Piala Dunia 2010, Cerita Malaysia Tidak Ke Piala Dunia dan Maaf Aku Bukan Lagi Leon Trotsky Kamu Semua. Beliau aktif berkicau di Twitter dalam isu-isu yang mendesak.









