Had Umur Media Sosial: Antara Perlindungan Dan Ketelusan Pelaksanaan

Kerajaan mencadangkan had umur minimum 16 tahun untuk penggunaan akaun media sosial, satu langkah yang pada asasnya wajar dan berpaksikan perlindungan kanak-kanak daripada dunia siber yang semakin beracun. Namun, sebagaimana setiap dasar yang menyentuh ruang peribadi rakyat, persoalan paling penting bukan sekadar kenapa, tetapi bagaimana dan bila ianya dikuatkuasakan.

Langkah ini lahir daripada realiti pahit: data UNICEF menunjukkan 4 % remaja berumur 12 hingga 17 tahun di Malaysia pernah menjadi mangsa eksploitasi seksual dalam talian, termasuk pemerasan dan perkongsian imej tanpa kebenaran. Kajian lain mendapati hampir tiga daripada sepuluh remaja pernah menjadi mangsa buli siber. Lebih membimbangkan, kes rogol berkumpulan di sekolah, seperti yang berlaku di Melaka dan Kedah menunjukkan sempadan antara dunia maya dan dunia nyata semakin kabur.

Dalam erti kata lain, kebejatan digital kini berjangkit ke dunia sebenar.

Namun begitu, pelaksanaan dasar seumpama ini tidak boleh dibuat secara semberono. Adakah had umur ini akan dikuatkuasakan serta-merta? Atau akan ada tempoh peralihan bagi membolehkan ibu bapa, sekolah dan syarikat platform bersedia? Ini bukan sekadar soal masa, tetapi juga kejelasan tanggungjawab. Siapa yang perlu memastikan akaun bawah umur dinyahaktif atau dipindahkan ke bawah kawalan penjaga? Tanpa pelan peralihan yang teliti, dasar yang baik akan bertukar menjadi kekacauan digital.

Persoalan kedua: apa nasib akaun sedia ada milik pengguna bawah 16 tahun? Adakah ia akan digantung serta-merta, atau melalui proses verifikasi semula? Jika begitu, bagaimana verifikasi itu dilakukan? Adakah menggunakan dokumen rasmi seperti MyKad, atau menerusi sistem MyDigital ID yang masih dalam fasa peluasan? Jika platform luar negara tidak menyertai integrasi MyDigital ID, maka penguatkuasaan akan menjadi mustahil tanpa kerjasama rentas sempadan. Dan di sinilah persoalan ketiga muncul: sejauh mana kerajaan bersedia untuk berunding dengan gergasi-gergasi teknologi yang selama ini enggan memikul tanggungjawab terhadap pengguna muda mereka?

Realitinya, selama ini tiada platform media sosial utama benar-benar melaksanakan sistem pengesahan umur. “Parental controls” dan “age gate” hanyalah simbolik. Pengguna semuda 10 tahun boleh melepasi saringan dengan satu klik “I am over 13”. Masalah ini bukan unik kepada Malaysia; ia global. Tetapi jika kerajaan benar-benar mahu menjadi pelopor dalam perlindungan digital di rantau Asia Tenggara, maka Malaysia perlu memaksa perubahan sistemik melalui undang-undang, bukan sekadar nasihat moral.

Dalam hal ini rangka perundangan Malaysia memainkan peranan penting dalam merealisasikan usaha kerajaan. Seperti yang ditegaskan oleh Prof. Dato’ Noor Aziah Hj Mohd Awal, pensyarah dari Fakulti Undang-Undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM); Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, Akta Keselamatan Dalam Talian 2025, dan Akta Kanak-Kanak 2001 telah wujud sebagai asas perlindungan dalam talian. Kini menjadi tanggungjawab platform media sosial melaksanakan pengesahan umur dan mematuhi undang-undang. Ibu bapa juga perlu dididik untuk memupuk kesedaran di kalangan golongan dewasa ini tentang tanggungjawab undang-undang dalam perlindungan kanak-kanak.

Had umur 16 tahun bukan sekadar soal angka. Ia ujian terhadap kejujuran sistem digital kita. Ia hanya bermakna jika dilaksanakan dengan pelan peralihan yang jelas, mekanisme verifikasi yang boleh dipercayai, dan jaminan bahawa data pengguna muda tidak akan dijadikan bahan dagangan oleh syarikat-syarikat yang selama ini menikmati keuntungan daripada ketagihan remaja.

Usaha kerajaan ini wajar dipuji, tetapi ia mesti dimulakan dengan ketelusan pelaksanaan. Rakyat berhak tahu bila, bagaimana dan oleh siapa had umur ini akan dikuatkuasakan. Tanpa jawapan yang tuntas, ia hanya tinggal satu lagi slogan “perlindungan anak bangsa” yang berakhir sebagai nota kaki dalam sejarah dasar digital negara.

Komen