“Barang mahal bernilai tinggi akan dibungkus comel dan kemas. Kaedah pembungkusan memainkan peranan penting dalam aspek pemasaran. Kalu main jual terdedah tepi jalan, itu barang tiruan harga murah.”
INI adalah ciapan ADUN Jabi apabila beliau mengulas kenyataan Ahli Parlimen Bentong mengenai insiden polis tidak mahu menerima laporan beliau akibat berpakaian tidak beretika. Ia mencetuskan kemarahan warganet apabila ADUN ini menyamakan wanita seperti barang. Warganet tidak kira lelaki atau wanita, rata-rata menyelar kenyataan ini.
Persoalannya, adakah apa yang diciapkan oleh ADUN ini benar, iaitu realitinya wanita di Malaysia ini dianggap seperti barang oleh kaum lelaki di dalam negara ini, atau ia hanya pemikiran kolot dan dangkal seorang wakil rakyat daripada parti Islam yang diwakilinya?
Jika kita imbau kembali sejarah sewaktu zaman jahiliyah dahulu, bangsa Arab jahiliyah ini menanam anak perempuan yang baru lahir kerana dianggap membawa malang dan aib. Jika difikirkan logik akal seorang manusia, jika tiada wanita, bagaimana manusia akan membiak dan mengembangkan keturunannya?
Ini membawa pula kepada satu lagi persepsi terhadap wanita iaitu wanita hanya dilihat sebagai “kilang anak”. Ada sesetengah para suami yang begitu seronok membuat anak sehingga lupa kebajikan dan kesihatan si isteri. Tanggapan ini banyak menyebabkan si isteri menderita dan merana di dalam senyap.
Kenapa wanita selalu diberikan persepsi yang buruk? Kenapa wanita selalu dilayan seperti manusia kelas kedua di dalam dunia ini? Di Malaysia, selain daripada menepis cabaran dan stereotaip masyarakat, wanita Malaysia juga tidak ketinggalan dilayan sebagai warganegara kelas kedua apabila kami tidak layak memberikan kerakyatan kepada anak-anak kami hasil perkongsian hidup bersama lelaki asing yang lahir di luar negara. Mengapa undang-undang begini wujud sebenarnya? Adakah ia untuk mengikat wanita Malaysia agar tidak keluar dari negara ini, mengejar cita-cita dan meneroka dunia luar?
Islam menyanjungi wanita dan memberikan taraf tertinggi kepada wanita. Menurut Hadis Riwayat Muslim, Rasulullah pernah ditanyakan soalan “Siapakah orang yang paling berhak diperlakukan dengan sebaik-baik pemuliaan?”. Rasulullah menjawab, “Ibumu! Ibumu! Ibumu! kemudian bapamu, setelah itu orang terdekatmu dan seterusnya.”
Syurga seorang anak terletak di bawah tapak kaki ibu. Wanita yang berkahwin tidak perlu mewarisi nama keluarga suaminya kerana dia berhak membawa namanya dan nama bapanya sendiri. Setiap kebaikan wanita lakukan di dalam perkahwinan mendapat pahala dan didoakan oleh para malaikat. Namun mengapa masih ada yang menganggap wanita ini hamba dan barang yang tidak bernilai. Lebih dikesalkan kadang kala pemikiran dangkal ini hadir dari manusia yang dilihat arif dengan hukum dan ajaran Islam.
Apabila Ahli Parlimen Bentong mengeluarkan kenyataan kepada Polis DiRaja Malaysia (PDRM), menyeru agar mereka tidak prejudis terhadap wanita, rata-rata ramai yang tidak bersetuju. Ada yang mengatakan kenyataan ini seolah-olah menyerang PDRM. Kita lihat perkara ini dalam senario yang berbeza, jika yang hadir membuat laporan itu seorang lelaki berseluar pendek dan memakai singlet, adakah pihak PDRM akan menghalau lelaki itu juga? Saya hampir pasti jawapannya tidak kerana ia adalah lumrah buat lelaki bukan? Pakaian sebegitu dianggap normal dan sopan buat lelaki. Namun jika wanita memakai singlet dan berseluar pendek ia dilabelkan sebagai berpakaian tidak sopan pula.
Saya tidak mahu berhujah mengenai kewajipan menutup aurat. Ya benar, Islam menyuruh semua umatnya menutup dan menjaga aurat, baik lelaki mahupun wanita. Namun jika di dalam keadaan darurat dan kecemasan seperti yang terjadi di dalam kenyataan yang diulas oleh Ahli Parlimen Bentong, bagi saya sedikit kelonggaran dan perasaan kemanusiaan itu penting. Di dalam ajaran agama Islam, sudah ada dinyatakan bagaimana jika seseorang lelaki itu berdepan dengan wanita yang berpakaian kurang sopan.
Sabda Rasulullah saw kepada anaknya;
“Wahai Ali, janganlah pandangan pertama kau ikuti dengan pandangan berikutnya. Untukmu pandangan pertama, tetapi bukan untuk berikutnya.”
(HR. Tirmidzi)
Allah juga berfirman di surah An-Nur ayat 30;
“Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman: “Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat.”
Maka di sini sebagai seorang lelaki yang beriman dan berperibadi tinggi, berdepan dengan wanita yang “berpakaian menjolok mata”, dianjurkan oleh agama Islam yang mulia ini untuk menundukkan pandangan agar dapat memelihara hati dan menjauhkan diri daripada niat yang jahat.
Maka kenyataan yang dikeluarkan oleh ADUN Jabi ini sebenarnya adalah melambangkan keperibadian dan pendapat beliau sendiri kerana jika benar beliau memahami dan arif mengenai Islam, beliau juga pandai membezakan kecemasan dan juga arif mengenai anjuran Islam untuk menundukkan pandangan ini.
Penat menjadi seorang wanita di serata dunia. Entah sampai bila wanita di seluruh pelosok dunia ini akan bebas dari cengkaman stereotaip adat dan masyarakat. Wanita juga manusia ciptaan Allah. Yang berbezanya ciptaan Maha Esa untuk wanita ini dikurniakan kelembutan, agar ada keseimbangan di dalam dunia ini. Bukan untuk dipijak dan dihina.
Lelaki, tanpa wanita, anda juga tiada. Sayangilah dan hargailah wanita di dalam hidup anda. Letak wanita ini di tempat yang tinggi dan layan mereka seperti manusia, seadilnya seperti anda ingin dilayan di dalam dunia ini. Wanita juga mampu melakukan apa yang dilakukan oleh lelaki. Lihat sahaja kini, kebolehan wanita dalam bidang-bidang yang dikuasai lelaki tidak dapat disangkal lagi. Namun masih wanita dilayan dan dianggap seperti barang, hak mutlak seorang lelaki di dalam hidupnya.
Saya berharap generasi muda dan baru ini tidak membawa persepsi dan pemikiran dangkal ini menjadi sebahagian daripada pegangan hidup mereka. Wanita juga manusia. Wanita juga ciptaan Maha Esa. Wanita juga rakyat negara kita.
Pernah berkhidmat sebagai pegawai khas parlimen dan dasar kini menceburi bidang korporat. Extrovert. Memasak adalah terapi dan masih single.