Syair Sepuluh Muharam

Bismillahi taala Rabbul alamin
demi malaikat yasar dan yamin
selawat atas Rasulullah al Amin
berserta kerabat baginda nan lain.

Inilah syair ramalan al-Tammar
namanya Maytham orangnya sabar
sahabatnya Ali syahid dikelar
lidah dikerat tubuh dikekar.

Ada riwayat Maytham bersaksi
di masa depan bakal terjadi
perkara maghfirah Allah yang beri
Maytham dah tahu lama sekali.

Ada sebab orang tak tahu
Sepuluh Muharam apa berlaku
Saidina Hussein dialah cucu
di syurga dia jadi penghulu.

Raja jahat teramat takut
semangat Hussein nanti diikut
dititah disuruh cerita karut
syahidnya Hussein usah disebut.

Maka banyak riwayat bertabur
aneka hadis dikilang digembur
konon asyura Adam melebur
bertaubat akibat derhaka dan takbur.

Padahal taubat di bulan Dhi’l-Hijjah
Adam menyesal tak kunjung sudah
dikarang dibohong segala diperah
syahidnya Hussein jangan terdedah.

Konon Yunus selamat dek ikan
lepas ditelan beberapa bulan
Istighfar baginda tidak dimakan
Dhi’l-Qaidah bulan sebenar kejadian.

Konon Nuh dapat mendarat
di puncak Judi bahtera memberat
banjir surut tak jadi kiamat
Sepuluh Dhi’l-Hijjah hari tercatat.

Konon Musa membukakan laut
terbelah dua sebelum bertaut
Firaun karam bertemu maut
di Rabi’al al-Awwal hari tersebut.

Dibuat macam riwayat dan cerita
kerja celaka orang agama
agar musibah dan malapetaka
syahid Hussein tak tahu dek siapa.

Ini kerja musuhnya Nabi
pantang mendengar namanya Ali
korban Hussein dipandang sepi
kisah nan palsu giat diperi.

Di atas mimbar Muharam disalut
nestapa asyura Umaiyyah mencabut
kasih ahlul bait tidak berpaut
senang umat ditunggang dihamput.

Syahid Hussein teramat besar
peristiwa dahsyat terlalu gempar
membawa islah panji dikibar
di padang Karbala banyak iktibar.

Kalau umat nanti belajar
segala zalim habis dikejar
kuasa batil nanti dicabar
perkara hak diketahui benar.

Jadi raja teramat celaka
sukakan rasuah maksiat tercela
umat dibohong sekian lama
tak kenal asyura hari petaka.

Ada sebab orang tak tahu
Sepuluh Muharam apa berlaku
Saidina Hussein dialah cucu
di syurga dia jadi penghulu.

Raja jahat teramat takut
semangat Hussein nanti diikut
dititah disuruh cerita karut
syahidnya Hussein usah disebut.

Khatam kepada sepuluh hari bulan
waktu jam pukul Sembilan
bulan Muharam dengan kebetulan
Senin petang ayuhai taulan.

Terkarang oleh sang Faisal Tehrani
seribu empat ratus empat puluh empat hijri
ramai wahabi merumba berapi
dilarang ditindas sepuas hati.

Sehingga ini syair tamatlah
berkat baginda Rasulullah
di dalamnya dah habis dijumlah
untuk mendapat redhania Allah.

Hingga ini tamatlah al-salam
lama menyalinnya sehari semalam
dari kan naskah sudah tersulam
bijahi-l Nabi alaihi’l Salam.

Tammat al-kalam bi al-khajri wa salam
tersurat kepada bulan Muharam
dakwat nan kering bersatu kalam
kepada Husein diberi salam.

Komen