ISTILAH raja sehari yang diguna pakai untuk ramai mempelai meraikan hari bahagia mereka tidak wujud dalam vakum atau dengan sendirinya. Istilah ini sangat terkait rapat dengan sejarah kebudayaan yang jarang kita selidiki kerana mahu atau tidak kita banyak berdepan dengan sejarah politik berbanding sejarah budaya (cultural history menurut Huizinga).
Istilah raja sehari ini menyimpan makna iaitu para pengantin boleh meraikan hari bahagia mereka dengan meminjam budaya feudal raja-raja dahulu kala dalam tempoh satu hari. Disebabkan itu digelarkan sebagai raja sehari. Para pengantin boleh berbusana kuning, memakai tanjak, menyisipkan keris di pinggang, dipayungi oleh payung kuning, juga diiringi oleh pengapit seakan-akan dayang-dayang istana, juga bersanding di atas pelamin seperti raja sedang menaiki takhta bersama permaisurinya.
Budaya feudal ini boleh digunakan dan hanya terguna pakai dalam tempoh satu hari dan tidak lebih. Maka rakyat pada waktu itu amat senang dapat meniru apa yang dilakukan oleh raja mereka dalam tempoh satu hari. Budaya ini pula kekal sehingga ke hari ini.
Zaman dulu, mengenakan busana atau apa-apa sahaja perkara yang terlibat secara langsung dengan istana akan menerima hukuman hatta hukuman mati. Ini sudah tercatat dalam sejarah Melayu. Shahrudin Maaruf menjelaskan hal ini dengan terang dalam bukunya bertajuk Yang Abadi dan Abdi dalam Sastera Nusantara.
“Sejarah Melayu juga mengabadikan Sultan Muhamad sebagai seorang perintis budaya feudal kerana baginda orang yang pertama-tama melarang rakyat biasa menggunakan warna kuning, dan menitahkan warna itu istimewa bagi raja-raja dan kerabat-kerabat mereka yang rapat. Rumah-rumah berbentuk tertentu, penduk dan teterapan keris, kesemuanya dilarang bagi rakyat biasa. Orang-orang yang terkaya sekalipun dilarang memakai emas tanpa izin raja.”
Secara tak langsung situasi ini telah mewujudkan jurang ketidaksamarataan, kedarjatan, kemuliaan dan kehinaan sehingga mewujudkan kebudayaan dan etika yang bercorak autoriter dengan memaparkan sifat sadis dan masokis (sadistic and masochistic) seperti yang ditulis oleh Johan Huizinga. Huizinga menjelaskan dalam The Waning of the Middle Ages bagaimana sifat ini berlaku di Eropah lalu melahirkan sikap cepat meradang, corak kehidupan yang sentiasa keterlaluan, dan sikap benci dan menyombong terhadap manusia kerdil di kalangan pembesar pada zaman pertengahan.
Budaya Yang Kita Pilih
Hari ini persoalan mengenai identiti mula hangat diperdebatkan semula. Ada kelompok yang mula mahu menonjolkan identiti mereka untuk menjustifikasikan bahawa mereka juga ada warisan dan layak untuk diketengahkan.
Antara simbol yang mula mendapat perhatian bangsa Melayu khususnya adalah tanjak dan keris. Tren memakai tanjak hari ini merupakan salah satu perkara yang hangat dan kita bisa temukan ia di mana-mana. Dari pasar raya, taman permainan, pusat-pusat riadah, ceramah-ceramah umum malah di masjid dan di surau.
Yang lebih menarik dalam tahun ini juga kita telah menyaksikan adanya anjuran memakai tanjak di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur, dan dikatakan ini merupakan satu revolusi baru.
Tak hairan sebenarnya kerana pasaran telah campur tangan dalam urusan ini menjadikan kaedah ini sebagai salah sebuah strategi marketing yang ampuh. Tapi mengapa perlu ia dikaitkan dengan identiti Melayu? Apakah benar hanya tanjak, keris, mahupun busana berwarna kuning merupakan hanya simbol untuk menunjukan identiti bangsa Melayu?
Kita sebenarnya bangsa yang mengangkat simbol lebih dari nilai serta maknanya. Lihat sahaja kes rehal/buku di Dewan Bahasa dan Pustaka, juga tugu keris di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang dipindahkan lalu diganti dengan struktur rehal, tulisan Jawi yang dikatakan sebagai satu-satunya identiti Islam Melayu autentik juga status dan pangkat kesemuanya mahu kita polemikkan.
Sepatutnya yang kita perlu fahami adalah persoalan mengapa segala simbol ini wujud. Berbalik pada persoalan keris dan tanjak tadi, sememangnya tidak ada masalah untuk kita mengangkatnya, mungkin kerana fabriknya atau bentuknya yang mempersona tapi untuk mengatakan ia sebagai salah satunya identiti Melayu juga tidak benar.
Kerana simbol yang kita katakan sebagai identiti Melayu ini tidak mewakili semua masyarakat Melayu dahulu. Mengapa kita sangat beriya mengangkat simbol atau budaya feudal lebih dari segalanya?
Bagi saya kelompok yang mengangkat simbol feudal sebagai identiti Melayu kerana ia menawarkan nilai prestij, kekayaan, kemewahan, berharta, berkedudukan dan bertaraf tinggi lebih dari yang lain. Kerana sewaktu dahulu yang mengenakan identiti ini hanyalah mereka yang berkedudukan sahaja.
Maka simbol ini seperti satu isyarat untuk menjustifikasikan bahawa kelompok mereka itulah yang perlu dihormati, diberikan semuanya dan jangan melebihkan yang lain termasuk boleh merendah-rendahkan mereka sehingga timbulah beberapa intipati yang bersifat rasis, chauvinist, radikalis, malah fasis seperti yang diungkap oleh Johan Huizinga tadi.
Saya mengerti benar bahawa kita cuba mengangkat kekuatan Melayu supaya menjadi counter colonialism dan serangan yang lain, tapi mengapa inti kekuatan yang diangkat itu bukanlah nilai-nilai kemanusiaan yang universal seperti harkat dan hak manusia sama tanpa diperkira perbedaan, keturunan, bangsa dan pangkat, mengakui kesamarataan manusia tanpa ada perbedaan antara jender, ras, kelas darjat, keturunan serta memberikan dan mengiktraf hak mereka masing-masing yang mampu menjadi contoh untuk setiap lapisan dunia?
Satu persoalan besar dalam mendepani persoalan simbol dan identiti ini, mengapa tidak kita mengangkat simbol dan budaya masyarakat bawah? Contohnya mengapa kita tidak mengangkat simbol kain ikat kepala petani dan nelayan dahulu? Sedangkan mereka sentiasa saling berkerjasama satu sama lain untuk memperoleh hasil. Mengapa kita tidak mengangkat sireh? Walhal sireh ini wujud hampir dalam semua upacara buat orang Melayu? Mengapa kita tidak mengangkat padi? Sedangkan itulah yang datuk nenek kita usahakan dengan peluh keringat dan usaha tanpa berbelah bagi demi untuk mengisi perut.
Apakah lekeh simbol rakyat ini? Atau sebenarnya simbol rakyat ini mencerminkan sifat kebersamaan, egaliter, dan tiada status tuan menyebabkan kita tidak selesa mengangkatnya?
Sedangkan jauh lama dahulu ada pepatah rakyat yang mengatakan hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah juga biar mati anak jangan mati adat dimana membawa maksud biar jika anak sendiri membuat salah, hukuman itu harus dikenakan tak kiralah betapa tinggi pangkat keluarganya. Inilah yang kita panggil revolusi, revolusi budi dan hati.
Kesan Atas Simbol Feudal
Jadi, berbalik pada persoalan utama mengapa simbol feudal yang diangkat secara berlebih-lebihan? Untuk itu sekali lagi Shaharudin menjelaskan fenomena ini dengan begitu baik iaitu mengkaitkannya dengan psikologi etika kekuasaan (authoritarian ethics). Dalam etika kekuasaan, orang bawah dijangka menyerah kediriannya iradat kepada orang atasan, bersikap tunduk dan menerima sahaja.
Erich Fromm menggambarkan;
“Pihak berkuasa menuntut penyerahan atau tundukan bukan hanya kerana takutkan kuasanya tapi yakin bahawa akhlaknya lebih mulia dan ia berhak. Sikap memuliakan pihak berkuasa termasuk jua pantang larang menyoalnya.”
Sambung Fromm lagi;
“Hati nurani yang tenteram didasarkan atas kesedaran beliau telah menyukakan hati autoriti, sama ada autoriti luaran atau dalaman; hati nurani yang berasa tenteram itu (mengikut takrif etika autoriti) membangkitkan rasa kesejahteraan dan kedamaian emosi, kerana hati nuraninya berkata beliau dikasihi dan disenangi autoriti; hati nurani yang bersalah pula membangkitkan rasa takut dan bimbang kerana membantah kehendak autoriti bermakna menghadapi bahaya hukuman, atau lebih buruk lagi, tidak diperendahkan sama sekali oleh autoriti.”
Maka adakah ini kesan psikologi yang menjadi beban kita sehingga simbol dan budaya feudal ini yang beriya-iya kita angkat? Umpamanya rasa janggal jika kita tidak terus memuja-muja orang-orang kenamaan setiap hari.
Namun pada autoriti mana yang kita mahu senangkan dan kita mahu berserah? Adakah sepatutnya simbol dan nilai sebegini yang sepatutnya kita ketengahkan? Dan adakah ini permulaan kepada autoritarianisme (kekuasaan), tirani Melayu?
Kesimpulan
Saya sudahkan penulisan ini dengan kutipan tulisan Gus Dur, pemikir besar Indonesia yang menyentuh soal Melayu, Islam dan identiti dengan begitu jelas.
“Tujuan Islam melahirkan anggota-anggota masyarakat yang merasa sedih jika kesusahan menimpa jirannya, yang sangat menghormati hak mereka yang berkurangan. Pada suatu malam Nabi Muhammad tiada dapat tidur, berbalik-balik ke kiri ke kanan, tiada berhentinya. Maka isteri beliau menanya mengapa beliau tidak dapat tidur. Jawabnya “Aku menemui sebiji kurma di tengah jalan serta memakannya supaya jangan terbuang sia-sia. Sekarang saya merasa khuatir barangkali kurma itu disediakan untuk sedekah.” Demikianlah semangat bertanggungjawab yang dihidupkan oleh Nabi Muhammad. Moga-moga umat Islam mengikutnya. Tujuan dan sifat demikianlah yang patut dihidupkan dalam hidup kebudayaan kita. Jika sifat-sifat demikian mempengaruhi masyarakat Melayu, niscaya ummat Melayu baru akan tampil ke gelanggang sejarah dunia dengan penuh harapan serta penghargaan dari masyarakat-masyarakat lainnya di tanahair kita. Sebaliknya jika unsur-unsur feudal yang sempit dan tamadun yang rendah itu dibesar-besarkan maka dengan sendirinya penghargaan umum terhadap masyarakat Melayu akan merosot.”
Rujukan
Shaharudin Maaruf, Yang Abadi dan Abdi dalam Sastera Nusantara. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2014.
Erich Fromm, Man for Himself. London: Routledge and Kegan Paul, 1967.
Johan Huizinga, The waning of the Middle Age, Middlesex: Penguins Books, 1972
W.G Shellbear, Sejarah Melayu. Kuala Lumpur: Penerbit Fajar, 1975.
Graduan sejarah juga penulis buku Kitab Perdana Menteri. Isu-isu tumpuan meliputi sejarah, pendidikan juga hal-hal pembangunan.