SIAPA yang masih ingat fitnah yang ditabur seperti dedak satu masa dahulu bahawa aset Tabung Haji (TH) telah habis dijual kepada golongan bukan Islam?
Pelik sekali yang menabur fitnah bukan sekadar cytro bertaraf walaun sahaja, bahkan turut melibatkan individu bergelar ustaz seperti Ahmad Dusuki (yang akhirnya kalah kes saman fitnah mengenai aset TH ini).
Pengumuman oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini bahawa aset TH akan diserah kembali kepada TH adalah bukti bahawa aset-aset tersebut tidak pernah dijual apatah lagi kepada bukan Islam. Sebaliknya aset tersebut akan dipulangkan begitu sahaja, tanpa perlu TH membelinya kembali.
Yang sebenarnya, aset TH bernilai RM19.9 bilion itu telah diambil alih oleh Kementerian Kewangan pada Disember 2018 untuk diuruskan oleh satu Special Purpose Vehicle (SPV) yang diberi nama Urus Harta Jemaah Sdn Bhd (UJSB) buat sementara waktu.
UJSB ini ahli lembaga pengarahnya dianggotai oleh 100% Bumiputera Melayu Islam, sekaligus menafikan tuduhan bahawa aset TH telah dijual atau diserah kepada bukan Islam.
Ambil alih oleh UJSB tersebut adalah wajar kerana TH perlu mengurangkan jumlah liabiliti atau hutang bagi menjamin bayaran hibah kepada pendeposit TH, yang tentu sekali terdiri dari 100% orang beragama Islam yang menabung dengan matlamat untuk menunaikan ibadah haji di Mekah.
Langkah ini perlu kerana berdasarkan Akta Tabung Haji 1995 yang jelas menyatakan bahawa hibah tidak boleh diberi kepada pendeposit jika aset tabung kurang dari liabiliti atau hutang tabung.
Justeru ambil alih aset oleh UJSB bertujuan untuk mengurangkan liabiliti TH dan pada masa yang sama memudahkan pelaksanaan Pelan Penstrukturan dan Pemulihan TH demi mengelakkan impak negatif kepada kestabilan sistem kewangan negara selaras dengan peruntukan di bawah Seksyen 24, Akta Tabung Haji dimana simpanan para pendeposit dijamin sepenuhnya oleh Kerajaan.
Jika aset-aset ini tidak dipindahkan, nilai liabiliti TH akan melebihi nilai aset yang menghalang TH untuk mengagihkan hibah untuk tahun 2018 dan tahun-tahun mendatang. Jika ini berlaku akan menyebabkan krisis kecairan atau bank- run. Kerajaan terpaksa masuk campur dan membuat suntikan tunai bagi membantu TH untuk mengembalikan deposit seperti jaminan yang telah termaktub di dalam Akta Tabung Haji 1995.
Namun hasil daripada Pelan Penstrukturan dan Pemulihan ini, aset keseluruhan TH berjumlah RM76.5 bilion mengatasi liabilitinya berjumlah RM75.5 bilion pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2018. Dengan pendapatan pada tahun 2018 berjumlah RM4.2 bilion dan keuntungan boleh agih sebanyak RM2.0 bilion, ia telah membolehkan TH membuat agihan hibah untuk tahun 2018 selaras dengan Akta Tabung Haji 1995.
Hari ini, Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengumumkan bahawa aset TH akan diserah kembali setelah terbukti TH kini diurus dengan baik, cekap dan berintegriti sekaligus membuktikan fitnah jahat kelompok pembohong dan pengkhianat yang cuba menjadi pemimpin dengan taktik kotor mereka.
Ia mengingatkan kita kepada satu hadis nabi.
Abu Hurairah RA meriwayatkan Rasulullah SAW bersabda: “Akan tiba pada manusia tahun penuh kebohongan. Saat itu, orang bohong dianggap jujur. Orang jujur dianggap bohong. Pengkhianat dianggap amanah. Orang amanah dianggap pengkhianat. Ketika itu, orang Ruwaibidhah berbicara.” Ada orang bertanya: “Siapa Ruwaibidhah itu?” Nabi menjawab, “Orang bodoh yang menguruskan urusan umum.” (HR Ibnu Majah)
Demokrat sosial. Pengerusi DAP Taman Kemuncak dan Pengerusi Pertubuhan Solidaritas. Sudah berkahwin.