Persengketaan Antara Cita Sempurna Dan Cita Bencana Di Mata Kita

KONSEP cita sempurna dan cita bencana pernah dibangkitkan oleh pemikir sosiologi negara iaitu Almarhum Syed Hussein Alatas di dalam ceramah umumnya, kemudian dibukukan lalu diterbitkan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia berjudul Cita Sempurna Warisan Sejarah.

Ketika berhadapan dengan situasi bejat moral kini, saya fikir membaca ulang kembali apa yang pernah diungkapkan oleh Syed Hussein teramatlah penting supaya dapat kita membezakan apa itu kekejaman dan apa itu nilai-nilai kemanusiaan.

Kerana kerencaman dengan mencampuradukkan moral dan kekejaman giat berlaku dalam kepimpinan, elit dan masyarakat sehingga memaksakan perkara tersebut dinormalisasikan. Bagi saya ini suatu yang tidak betul. Disebabkan itu merenung kembali cita sempurna dan cita bencana itu merupakan hal mustahak ketika ini.

Jadi apakah yang dimaksudkan dengan cita sempurna?

Cita sempurna adalah satu pandangan hidup yang menyeluruh  bertujuan untuk mencapai masyarakat yang sempurna. Cita ini juga menggerakkan usaha yang hebat bagi menjayakannya. Cita sempurna amat penting bagi setiap ahli masyarakat, teristimewa di kalangan pemimpin yang dipengaruhi oleh  visi cita sempurna  dan cita sejarah yang mengandungi unsur moral tinggi dan penuh dengan kemanusiaan.

Dalam sejarah manusia, apa yang dianggap sebagai cita sempurna itu telah menjelma dalam pelbagai bentuk. Tidak dinafikan keseluruhan cita sempurna itu relatif pada waktu dan tempat bermakna satu bentuk kebaikan yang wujud tidak akan muncul di seluruh tempat kerana bergantung pada masalah yang dialami. Namun landasan nilai dan gerakan emosi untuk mewujudkan cita sempurna itu adalah universal dan tidak relatif.

Untuk memberi gambaran lebih jelas Syed Hussein memberikan contoh bahawa cita sempurna itu boleh berlaku dalam dua bentuk; yang pertama bersifat perlaksanaan mutlak dari pemimpin  atas masyarakat berupa peraturan dan dasar-dasar budaya tertentu yang menggerakkan kelompok-kelompok tertentu.

Umpamanya dalam masyarakat yang mengizinkan sistem perhambaan  dan mereka menganggap tiada masyarakat yang lebih baik daripadanya, terdapat seorang yang tidak menerima kezaliman dalam tingkah laku terhadap hamba. Penentangan ini  tidak bersifat relatif  walaupun susunan masyarakatnya diterima. Penentangan ini melanggar cita dan kefahaman masyarakat yang ada, berlaku atas dasar kemanusiaan semata-mata.

Contohnya seperti perbuatan yang telah ditunjukan oleh Munshi Abdullah dalam buku utamanya Kesah Pelayaran Abdullah. Di dalam pelayarannya, Munshi Abdullah menyaksikan kemiskinan, kekejaman dan penindasan yang berlaku pada masyarakat di Pantai Timur disebabkan oleh salah tadbir urus pemimpin, tirani dan sistem feudalisme yang tidak memihak rakyat bawah. Catatan itu setidaknya telah meninggalkan kesedaran pada kita hari ini bahawa sistem feudal tidak akan berjaya malah kejam. Walaupun beliau dihukum dengan pelabelan tapi catatan itu menjadi satu suara moral yang utuh hari ini.

Bentuk kedua cita sempurna itu adalah bentuk perseorangan iaitu walaupun dalam keadaan  dirinya tidak dapat berbuat apa-apa tetapi  beliau tetap bertindak untuk menyelamatkan nyawa orang-orang lemah di sekelilingnya.

Baru-baru ini tersiar di akbar Sinar Harian di mana seorang remaja lelaki Mohammad Hakimin Rahim berusia 20 tahun maut akibat lemas selepas terjatuh dari perahu kerana kepenatan ketika membantu memindahkan penduduk kampung di Kampung Manjor, Kelantan disebabkan bencana banjir besar yang melanda kampungnya.

Dalam suasana demikian dalam keadaan penuh bahaya, jiwa Mohammad Hakimin tadi digerakkan oleh cita sempurna. Dalam saat sedetik timbul bayangan bahawa yang terancam tidak patut menjadi mangsa banjir. Tindakan remaja ini seharusnya diberi penghargaan oleh negara dengan diberikan gelaran Dato’, Tan Sri dan gelaran besar lain begitu juga mereka-mereka yang lain terkorban kerana membantu yang lemah.

Keunggulan cita sempurna itu kerap kali akan dihalangi oleh cita bencana. Cita bencana boleh ditakrifkan seperti dikemukakan oleh Azhar Ibrahim sebagai satu idealisme dan praktis yang merosak atau destruktif dalam pengalaman sejarah, yang menginjak-injak martabat rakyat, yang menghinanya, yang memperlekehkannya, yang meminggirkannya, yang mensenyapkan dan yang menafikan kehadiran rakyat terbanyak.

Cita bencana menganjurkan nilai-nilai songsang lalu menghalalkan nilai-nilai tersebut dan ia menurut Syed Hussein Alatas merangkumi tiga bentuk; 1) berkaitan dengan jenayah, 2) berkaitan dengan amalan perseorangan seperti salah guna dadah, gila judi atau ketagihan alkohol, dan 3) berkaitan dengan nilai institusi dan kepercayaan masyarakat  yang diruntuhkan oleh cita bencana ini.

Antara cita bencana yang muncul itu ialah melibatkan jenayah rasuah. Antaranya beberapa pemimpin negara yang ditaruhkan harapan dalam negara telah terlibat dengan rasuah dan dijatuhkan hukuman. Seperti dalam laporan akhbar Berita Harian, Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali menyifatkan kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd dihadapi Datuk Seri Najib Razak adalah kesalahan salah guna kedudukan, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram yang paling teruk. Mohd Nazlan memerintahkan Najib dipenjarakan 10 tahun masing-masing bagi tiga tuduhan pecah amanah wang RM42 juta milik SRC.

Begitu juga kasus dengan pengkhianatan demokrasi dari mandat warganegara yang menyebabkan pertukaran kepimpinan boleh berlaku tanpa adanya persetujuan masyarakat secara majoriti dan sebulat suara melalui undian. Hal ini telah menyebabkan nilai institusi dan kepercayaan masyarakat pada sistem dan nilai demokrasi runtuh disebabkan oleh cita bencana ini. Malah ia berterusan sehingga mewujudkan banyak bencana lain. Fenomena ini saya namakan sebagai cinta bencana iaitu satu fenomena melakukan segala tindakan destruktif secara berterusan lalu menormalisasikannya untuk kepentingan diri sendiri.

Jadi apa yang perlu dilakukan supaya cita bencana dan cinta bencana ini dapat dihentikan? Seperti sedia maklum bahawa sesebuah kekejaman itu tetap merupakan kekejaman walaupun di mana ia berlaku. Cuma yang menjadi persoalan besar apakah kekejaman itu berkuasa atau tidak, bermakna adakah ia mendominasi dalam nilai dan pandangan institusi dan kepimpinan negara?

Maka dengan itu yang kita perlukan seperti ujaran Syed Hussein Alatas bahawa pemimpin-pemimpin perlu dipengaruhi oleh cita sejarah yang mengandungi unsur moral yang tinggi dan penuh dengan kemanusiaan. Jika sejarahnya tidak penuh dengan unsur moral dan kemanusiaan yang tinggi maka kesannya akan buruk dan berbahaya bagi masyarakat. Setidaknya itulah tugas kita hari ini. Walaupun kemungkinan besar tidak akan didengari oleh pucuk kuasa, sekurang-kurangnya generasi mendatang ada kesedaran kukuh dalam mengedepankan cita sempurna.

Komen