Perpaduan Malaysia Lebih Terjejas Kerana Kepuakan Berbanding Dengan Perkauman

ISU perkauman merupakan satu isu yang sering diulang-ulang oleh ahli politik, aktivis, media sosial dan juga pakcik dan makcik di kedai kopi. Ia merupakan satu isu yang tidak boleh dielakkan di Malaysia. Kita sering melihat tanggapan-tanggapan berbeza masyarakat Malaysia terhadap kaum lain dalam kalangan mereka.

Ada yang menganggap kaum Melayu sebagai malas, kaum Cina sebagai tamak dan kaum India sebagai kotor. Bagi kebanyakan pihak seperti ahli politik, dan aktivis-aktivis, mereka melihat isu “perkauman” satu masalah besar yang boleh menjejaskan perpaduan Malaysia.

Adakah itu tanggapan yang benar? Saya berpendapat bahawa isu perkauman merupakan satu picisan daripada isu yang lebih besar iaitu isu kepuakan yang lebih meluas malah menebal yang telah menggugat perpaduan Malaysia.

Pertama sekali, kita perlu faham apakah yang dimaksudkan sebagai “perkauman”? Umum mengetahui perkauman sebagai satu pengasingan, pembezaan dan pengklasifikasian antara satu etnik dengan etnik yang lain. Dengan maksud yang mudah, perkauman ialah satu perspektif berbeza satu kaum terhadap kaum yang lain. Perspektif itu lebih menjurus kepada unsur-unsur yang negatif malah perkataan “perkauman” itu sendiri mempunyai konotasi yang negatif.

Di Malaysia, perkauman dapat dilihat dengan rasa sinis, ketidakselesaan satu kaum dengan kaum yang lain. Walaupun Prof Khoo Kay Kim menyatakan bahawa perkauman di Malaysia tidak wujud, tetapi kita tidak dapat menafikan bahawa kita mempunyai tanggapan negatif terhadap kaum lain di Malaysia. Dan tidak dinafikan juga, perkauman telah menjadi bualan-bualan masyarakat dan di dada-dada akhbar, dari era jus soli, 13 Mei hingga ke era isu tulisan Jawi. Akan tetapi, adakah perkauman merupakan punca kepada tergugatnya perpaduan rakyat Malaysia?

Bagi saya tidak, perkauman bukanlah punca utama, tetapi “sifat kepuakan”(yang saya terjemahkan sendiri dari perkataan Inggeris, “tribalism”).

Perkataan “tribe (puak)” menurut berasal daripada perkataan Latin tribus iaitu satu pembahagian atau perbezaan oleh rakyat Rom untuk tujuan ketenteraan, dan terutamanya dalam pilihan raya mereka yang terbahagi kepada tiga puak iaitu Tities, Ramnes dan Luceres (Peck 1897). Dengan kata lain, “puak” dilihat kepada pembahagian dan perbezaan oleh satu pihak kepada pihak yang lain.

Sekiranya kita lihat sekeliling, tidak kira dalam apa-apa jua perkara, terdapat “puak” atau “kumpulan” yang membezakan “mereka” dengan “orang lain”. Bukan sahaja ras atau kaum yang mempunyai sifat sebegini, ia juga dapat dilihat dalam sukan, politik, pendidikan, persatuan dan sebagainya. Sifat kepuakan merupakan sifat sejagat, dan perkara ini tidak boleh dinafikan. Contoh yang paling jelas di sini ialah parti politik di Malaysia. Parti politik yang berdaftar di bawah Suruhanjaya Pilihan Raya pada rencana ini ditulis berjumlah 46 parti yang mewakili dari sayap kanan hinggalah ke sayap kiri.

Kesemua parti ini sudah tentulah berbeza antara satu sama lain (kalau tidak, tidak akan bertambahnya parti politik), yang memakai ideologi yang berbeza dan menerima ahli-ahli yang tertentu. Dalam kalangan parti politik yang pemimpinnya ialah orang Melayu seperti UMNO, PAS, BERSATU, AMANAH, PKR mahupun PEJUANG, kita dapat lihat perbezaan pandangan, ideologi dan pendekatan terhadap pengurusan kerajaan. Ada yang ingin menjadikan Malaysia sebuah negara yang “demokratik”, ada yang ingin mengibarkan panji-panji Islam di sini dan ada yang ingin mengutamakan golongan Bumiputera sebagai penduduk asal. Parti politik, tidak lain dan tidak bukan juga termasuk dalam satu puak.

Selain itu, pemikiran agama. Konteks yang paling jelas dilihat di sini ialah perbezaan pendekatan oleh agamawan Islam. Dari satu pihak, ada yang ingin mempertahankan warisan kesufian dan mazhab akidah Asyairah yang telah diwarisi oleh ulama nusantara dahulu. Satu pihak yang lain ingin kembali kepada ajaran yang asli berdasarkan al-Quran, Sunnah dan juga amalan tiga generasi awal. Satu pihak yang lain pula ingin “mereformasi” ajaran Islam dan bersesuaian dengan zaman yang serba moden ini.

Hal ini telah menunjukkan ciri-ciri kepuakan dalam kalangan mereka hanya disebabkan asas pemahaman mereka berbeza antara satu sama lain. Malah, ia menjadi isu apabila satu puak mula memanggil puak yang lain dengan gelaran yang buruk, seperti “bidaah”, “salafi”, “wahabi”, “liberal”, “syiah” dan sebagainya hanya kerana satu pihak lain memberikan satu pendapat yang berbeza dengan mereka.

Contoh lain yang mungkin dekat dengan kita, dalam kelas-kelas di sekolah sendiri kita boleh perasan bahawa pelajar-pelajar sendiri akan duduk mengikut kumpulan-kumpulan mereka. Kita tidak melihat mereka terus rapat dengan semua orang, tetapi mesti dengan sebahagian pelajar lain dalam bilangan yang kecil.

Sifat kepuakan merupakan sifat tabii manusia dan ia sesuatu yang tidak boleh dielak. Dalam kajian Bigler dan Liben dari University of Texas dan The Pennsylvania State University(2007), sekumpulan kanak-kanak berumur 4 tahun hinggalah 6 tahun telah diberikan baju merah dan biru dalam kalangan mereka. Selepas itu, para penyelidik terus menunjukkan gambar-gambar kanak-kanak lain yang memakai baju merah dan biru juga. Hasilnya agak menarik. Kanak-kanak yang mendapat baju merah terus rasa dia mempunyai persamaan dengan gambar kanak-kanak berbaju merah.

Begitu juga sebaliknya. Kajian ini jelas menunjukkan satu sifat kepuakan yang sudah terbit dalam kalangan kanak-kanak. Dan dari kanak-kanak inilah yang membentuk masyarakat pada hari ini. Masyarakat yang berpuak-puak.

Sifat ini sejujurnya wajar diberi perhatian oleh masyarakat di Malaysia. Walaupun retorik politik sering membangkitkan sentimen perkauman, ia telah secara tidak langsung meremehkan isu-isu lain yang mempunyai unsur kepuakan seperti isu pendidikan, agama, ekonomi dan sebagainya. Apa-apa sahaja yang bersifat kepuakan boleh memecah-belahkan perpaduan dalam kalangan kita.

(Artikel ini adalah hasil tulisan saudara Hazman Abd Kadir bersama Dr. Velan Kunjumaran dan tidak semestinya mencerminkan pandangan pihak Solidaritas)

Komen