Nasib Golongan Muda Dan Wanita Dalam PRN Melaka 2021

Hari penamaan calon Pilihan Raya Negeri Melaka (PRN Melaka) 2021 telah berlalu dengan dengan seramai 112 calon disahkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) layak bertanding untuk PRN Melaka pada 20 November nanti. Kini bermula fasa kempen dalam norma baharu dengan SOP yang ditetapkan bagi mengelak ‘pesta demokrasi’ ini bertukar menjadi tragedi ketika Covid-19 masih ada.

Namun dari seramai 112 calon layak bertanding itu berapa ramaikah di kalangan mereka adalah dari golongan muda atau wanita?

Dalam era politik baharu Malaysia selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada tahun 2018 lalu, golongan muda dan wanita telah menjadi topik perbualan utama.

Perbincangan politik pastinya tidak dapat lari dari menyentuh tentang partisipasi anak muda dan golongan wanita, apa lagi setelah lahirnya gerakan seperti Undi 18 bagi menurunkan had umur layak mengundi atau Inisiatif 111 bagi memastikan 50% perwakilan wanita di parlimen dan juga di Dewan Undangan Negeri (DUN).

Partisipasi Anak Muda Dalam PRN Melaka

Dari 112 calon yang disahkan layak bertanding, seramai 30 orang calon atau 27% adalah merupakan calon muda berumur 39 tahun dan ke bawah.

Ini sangat menyedihkan. Jumlah ini sebenarnya adalah jauh lebih kecil jika dibandingkan dengan peratusan pengundi muda di Melaka iaitu 38.37% untuk pengundi berumur antara 21 hingga 39 tahun.

Sebaliknya, 82 atau 73% calon adalah berumur 40 tahun dan ke atas walaupun peratus pengundi untuk kumpulan umur yang sama hanya 61.63%. Ini memberikan gambaran bahawa sekali lagi, anak muda akan mengundi untuk meletakkan golongan tua di dalam badan legislatif bagi merangka dan melaksana polisi berkaitan anak muda dan generasi masa hadapan.

Di kalangan tiga blok politik utama, Perikatan Nasional (PN) menampilkan paling ramai calon muda iaitu seramai 11 calon, diikuti Pakatan Harapan (PH) dengan 9 calon muda sementara Barisan Nasional (BN) paling ketandusan calon muda dengan hanya 4 calon yang berusia 39 tahun dan ke bawah.

Mengambil kira peratusan pengundi berumur 21 hingga 39 tahun di Melaka sebanyak 38.37%, maka PN boleh dikatakan paling berjaya mengimbangi demografik pengundi apabila mempunyai 39% calon muda diikuti PH dengan peratusan calon muda pada kadar 32%.

BN pula hanya mampu menawarkan calon muda pada kadar 14% yang sangat menyedihkan, walaupun mengikut perlembagaan parti mereka mendakwa sebenarnya mempunyai 6 calon muda tetapi bagaimana kita mahu bersetuju bahawa Fairul Nizam Roslan (N10 Asahan) dan Mohd Noor Helmy Abdul Halim (N21 Duyong) boleh dikira muda apabila masing-masing sudah berumur 43 dan 40 tahun?

Pencalonan Golongan Wanita Dalam PRN Melaka

Jika partisipasi calon anak muda menyedihkan, ia lebih teruk apabila melihat pada pencalonan golongan wanita dalam pilihan raya negeri ini.

Dari 112 calon yang bertanding, hanya 16 wanita yang dicalonkan atau 14% dari jumlah keseluruhan calon. Ia adalah satu penghinaan apabila pengundi wanita dalam PRN Melaka 2021 ini adalah berjumlah 254,666 berbanding 240,530 pengundi lelaki. Dari segi peratusan, pengundi wanita adalah sebanyak 51% tetapi bayangkan hanya 14% calon bertanding adalah wanita.

Jika masa depan anak muda bakal diserahkan kepada orang tua untuk ditentukan, maka kita boleh katakan juga nasib wanita Melaka kini bakal berada di tangan wakil rakyat yang rata-ratanya lelaki.

Pengundian yang bakal berlaku pada 20 November nanti tidak mustahil akan mengurangkan lagi jumlah wanita yang bakal diundi ke DUN Melaka. Jika dari segi pencalonan sudah ternyata berat sebelah, maka fasa berkempen dan peluang untuk menang bagi calon wanita pastilah juga tidak seimbang apabila jumlah mereka yang tercalon pun sangat sedikit.

Di kalangan tiga blok politik utama jumlah pencalonan wanita juga sangat mengecewakan. Tidak ada satu blok pun yang berani menampilkan 50% calon wanita dari senarai keseluruhan calon mereka. PN sendiri hanya mempunyai 6 calon wanita, BN pula 5 calon wanita manakala PH paling mengecewakan apabila hanya membariskan 4 calon wanita. Seorang lagi calon wanita datang dari PUTRA untuk melengkapkan 16 calon wanita yang bertanding dalam PRN Melaka.

Di saat masyarakat bercakap mengenai kesaksamaan gender dan perlunya partisipasi wanita yang lebih meluas dalam politik, kegagalan parti-parti bertanding memenuhi aspirasi ini adalah mengecewakan dan membuktikan wujudnya diskriminasi gender dan elemen patriarki dalam politik kepartian di Malaysia.

Kesimpulan

Merujuk pada statistik yang mengecewakan mengenai anak muda dan golongan wanita dalam PRN Melaka ini, ternyata aspirasi kita untuk melihat penglibatan lebih besar golongan muda dan wanita dalam kancah politik Malaysia masih memerlukan banyak usaha baik di peringkat masyarakat atau pun di dalam organisasi parti politik.

Adalah penting penglibatan anak muda dan wanita dalam politikdan diseimbangkan dengan demografik semasa. Pengundi muda adalah majoriti maka tidak sepatutnya calon pilihan raya diisi oleh mereka yang sudah pun bergelar warga emas. Wanita pula membentuk separuh dari jumlah pengundi dan separuh dari rakyat Malaysia maka kenapa tidak calon pilihan raya dan ahli parlimen atau DUN separuh darinya dibarisi wanita juga? Hanya dengan cara ini maka kepentingan dua golongan ini dapat dijaga apabila mereka mempunyai jumlah perwakilan yang cukup untuk membahaskan isu-isu dan polisi berkaitan anak muda dan golongan wanita.

Kita masih mempunyai masa setahun dua lagi sebelum tibanya PRU15 dan kegagalan PRN Melaka mengetengahkan calon muda dan wanita patut dijadikan pengajaran untuk kita berusaha lebih bagi memastikan dua kelompok ini mempunyai partisipasi yang seimbang dalam pilihan raya akan datang. Kegagalan berbuat demikian akan hanya mewujudkan ketidakseimbangan dan risiko diskriminasi yang tidak sepatutnya wujud dalam demokrasi yang sihat.

Komen