Meratapi Salahuddin, Meratapi Hussein

TERDAPAT beberapa orang sosiologis Barat, antara lain seperti Michael Fischer dan sejarawan Nikkie Keddie yang benar-benar tertarik untuk mengkaji peristiwa asyura, iaitu kejadian pembunuhan Saidina Hussein dan rombongannya di Karbala. Kedua-duanya sangat terheret dengan perbincangan mengenai praktis Muharam dan juga wacana seputarnya.

Pada tahun 1981, Fischer kemudian menggagaskan frasa ‘the Karbala Paradigm’ atau ‘Paradigma Karbala’ dalam bukunya Iran: From Religious Dispute to Revolution demi menjelaskan keberlangsungan mazhab Syiah, atau lebih tepat; Republik Islam Iran yang baru diasaskan ketika itu. Secara mudahnya, menurut Fischer, Karbala memberikan pesan kepada kita untuk hidup secara bermakna serta berperanan, di samping menjadi ‘mnemonic’ pemikiran untuk bagaimana terus ‘hidup’.

Nikkie Keddie kemudiannya pada tahun 1983 mengembangkan ‘Paradigma Karbala’ ini untuk memahami politik Iran yang begitu kompleks ketika itu. Selain Keddie, saintis politik Mary Elaine Hegland juga ikut menunjukkan betapa Karbala dapat menjadi tenaga penting dalam politik umat sekiranya Paradigma Karbala ini difahami.

Terdapat ramai lagi pengkaji dan sarjana Barat yang cuba memahami kehebatan insiden Karbala ini dengan harapan dapat memahami bagaimana kejadian dahsyat itu boleh menukar, mengangkat dan merubah posisi agama Islam tatkala ini. Tidak terkecuali adalah Elias Canetti, penerima Hadiah Nobel Untuk Kesusasteraan pada tahun 1981.

Baru-baru ini saya membaca sebuah buku non fiksi oleh Elias Canetti dengan tajuk Crowds and Power yang sebetulnya terbit pada tahun 1960. Karya Canetti sebenarnya tidak banyak mana. Beliau menulis dalam bahasa Jerman, pernah mengarangkan siri memoir-autobiografi dengan tajuk Die Gerettete Zunge (The Tongue Set Free); Die Fackel im Ohr (The Torch in My Ear), dan Das Augenspiel (The Play of the Eyes); sebuah novel yang sukar dibaca bertajuk Auto-da-Fé (Die Blendung); dan buku yang saya sebutkan di atas, Crowds and Power.

Buku ini adalah satu observasi Canetti terhadap psikologi tentang kelakuan orang yang ramai, atau kerumunan, dan tindak-tanduk manusia bila dibuat secara jamaah. Juga bagaimana aktiviti mereka ini boleh menjadi kuasa, menjadi keganasan, atau menjadi keamanan. Sebagai contoh, Canetti ingin memahami bagaimana kerumunan orang bodoh yang diperbodohkan oleh pemimpin yang bodoh tetapi merasakan pangkalnya benar akan bertindak. Kerumunan orang bodoh, mendengar cakap-cakap bodoh; kadang-kala boleh menjadi kelompok bogildoh (bodoh-gila). Mereka misalnya boleh mengangkat pemimpin sejahat Hitler, justeru bertanggungjawab menaikkan penzalim yang kemudian melakukan pelbagai tragedi dahsyat. Selalunya bodoh ini terkait dengan orang-orang beragama, atau percaya agama.

Canetti dalam Crowds and Power kadang bersikap objektif, ada kalanya semacam menyindir, terdapat pula waktunya dia semacam memandang sinis. Sukar untuk ditentukan nada dan niat Elias Canetti dalam memahami peristiwa Karbala. Beliau menulis buku ini sebelum melihat Revolusi Iran pada tahun 1979, justeru jauh sebelum Fischer menggagaskan ‘Paradigma Karbala’ pada tahun 1981. Canetti tidak pernah menziarahi kembali idea-ideanya sebelum meninggal dunia pada tahun 1994.

Pun, Canetti sangat terpesona dengan satu aspek yang menurutnya menonjol dan menjadi karektor agama Islam sebenar. Aspek itu ialah meratap. Canetti melihat, hanya dengan meratap sahaja sesebuah agama itu, dalam konteks ini Islam akan terus tumbuh, hidup, bermaya dan menggugah. Agama yang tiada peratapan, adalah agama yang menuju kepada kebuntuan.

Canetti, seperti saya sebut sebelumnya, sangat tertarik dalam memahami bagaimana kerumunan manusia dapat merubah lanskap kemanusiaan secara total. Islam kata Canetti adalah agama kerumunan. Ia memanggil penganutnya untuk sembahyang berjamaah setiap hari; menghimpunkan pengikutnya untuk melawan ‘orang Kafir’; mengajak umatnya untuk mengerjakan haji secara kerumunan; dan berhimpun beramai-ramai pada hari pengadilan di padang mahsyar. Namun demikian, kerumunan dalam hal ini masih belum begitu bertenaga. Yang paling besar dari kerumunan itu ialah meratap.

Hal peratapan ini sangat rapat dengan pengorbanan, sangat dekat atau melekat dengan kesyahidan. Pembunuhan Jesus misalnya menurut Canetti adalah satu momen penting untuk agama Nasrani. Kematian Jesus tidak diiktiraf oleh penganut atau pengkabungnya. Umat Jesus mahukan beliau agar terus hidup. Keinginan atau kemahuan mereka untuk Jesus terus ‘hidup’ itulah yang menghidupkan agama. Salah satu yang terus-menerus dapat menghidupkan agama tentulah perkabungan. Di dalam perkabungan selalu ada peratapan. Maka peratapan akan menyalakan semangat keberagamaan yang malap, supaya terus terbakar sumbunya, dan marak apinya sehingga satu masa keadilan kelak tiba. Peratapan menghasilkan kerumunan berkuasa, yang bertenaga, yang dapat merombak dan melanda.

Atas dasar inilah Canetti sangat tergiurkan ratapan pengkabung peristiwa Karbala. Canetti menulis begini; ‘…the lament itself, as an impassioned pack opening out to become a true crowd, manifests itself with unforgettable power at the Muharram Festival of the Shiites’. Sebagai peminat Canetti, saya tidak segan silu mengikut jejak beliau menuliskan mengenai peristiwa Karbala ini, ada yang saya tuliskan dalam bentuk drama, dan kini dalam bentuk syair tradisional berjudul ‘Syair Dukana Lubaba’. Jika sasterawan bukan Islam boleh menulis mengenai Karbala dan menang Nobel, mengapa pula tidak saya?

Canetti memberi perhatian bahawa keluarga Nabi Muhammad saw – jangan salah sangka mereka adalah syed dan sharifah kita – termaktub pada lima orang iaitu Rasulullah saw sendiri, Saidina Ali, Saidatina Fatimah Zahra, Saidina Hassan dan dalam hal Karbala, Saidina Hussein. Kecintaan umat kepada mereka akan menjadi kuasa memori, dan ia disuburkan oleh perkabungan, justeru ratapan. Jika ada umat Islam pada satu-satu zaman yang teralpa siapa keluarga Nabi Muhammad ini, mereka akan mengabaikan peratapan-perkabungan lalu agama Islam di titik lemah. Sedang, jika mereka amat kuat mengingat lima orang sakral di atas, khusus Saidina Hussein, maka mereka akan berada di titik paling kuat untuk berkembang.

Menurut Canetti, peratapan dan perkabungan adalah urusan paling utama dalam agama untuk orang beriman; ‘…weeping, lamenting and mourning for the misfortunes of the Alids, for their persecution and martyrdom, is the essential concern of the true faithful.’

Kata Canetti lagi, kesedihan untuk Hussein adalah tanda keislaman. Cumanya Canetti tidak menghuraikan. Bahawa meratap Hussein itu menjadi tanda iman kerana Hussein terbunuh untuk mengelakkan dari agama Islam diubah Bani Umaiyyah. Hussein terkorban untuk melawan kebejatan moral Yazid, korupsi dan penyelewengan, serta ekstremisme agama (dalam bentuk kaum Khawarij tatkala itu).

Dengan itu Canetti mengatakan perkabungan dan peratapan adalah kemuncak pengalaman beragama, malah dalam satu-satu keadaan mengatasi apa pun; ‘No faith has ever laid greater emphasis on lament. It is the highest religious duty, and many times more meritorious than any other good work. There is ample justification for speaking here of a religion of lament.

Sebetulnya tidak kompleks mana memahami bagaimana peratapan ini boleh mengalahkan satu-satu kuasa. Itu sebabnya peratapan dan perkabungan sangat ditakuti sesetengah pemimpin. Saya bawakan contoh mudah. Baru-baru ini ada orang bertanyakan kepada saya, mengapa Tun Dr Mahathir Mohamad agak lambat mengucapkan takziah atas pemergian alMarhum Salahuddin Ayub. Padahal Allahyarham adalah bekas menteri dalam kabinet beliau, selama lebih 20 bulan.

Saya merasakan – mengagak – ucapan takziah itu datang lewat kerana ia dikhuatiri semacam mengiktiraf peratapan atau perkabungan ramai orang untuk Salahuddin. Malah hari ini pun, masih ramai yang bersedih dan mengenangnya. Pengiktirafan bahawa Salahuddin layak diratap akan membawa kepada kita mengingat legasi beliau iaitu Rahmah. Dengan mengingat Salahuddin, kita akan mengingat Rahmah, lantas memberi kuasa dan pengaruh kepada lawan politik iaitu Pakatan Harapan (PH). Dr Mahathir mungkin tahu itu, dia tidak mahu memberikan itu. Ucapan takziah untuk Salahuddin Ayub boleh menjadi sangat politikal. Namun, oleh banyaknya suara kehairanan, Tun Mahathir terdesak melakukan, tetapi, diucapkan hati-hati dengan demikian mudah dan ringan sifatnya. Jangan lupa, banyak bulan lalu ada orang kuat Pejuang (GTA) yang mengaku konsep rahmah dicetuskan Mahathir, padahal ia digagaskan oleh kumpulan pemikir dan agamawan dalam parti Amanah.

Jika peratapan dan perkabungan untuk Salahuddin Ayub ini dapat mengingatkan kita kepada legasi dan jasa beliau iaitu Rahmah, maka peratapan dan perkabungan untuk Saidina Hussein jauh lebih bermakna kerana baginda berkorban nyawa untuk menegakkan Islam yang tulen setelah ia dicemari oleh korupsi dan perubahan. Inilah sebabnya Elias Canetti melihat peratapan untuk Hussein adalah kemuncak pengalaman beragama.

Canetti dapat melihat jauh yang kerumunan menangisi Hussein itu akan tekun menghidupkan semangat juangnya. Itulah sebabnya mengingat Karbala itu penting kata beliau. Mengingat Karbala adalah menghidupkan agama, sedang melupakannya adalah membawa kepada kemalapan, bukan kerumunan.

Komen