Menikmati Segala Bersama?

Hari ini kita menyambut Hari Malaysia yang ke-58.

Selama 58 tahun kita semua hidup di bawah satu lembayung rahmat yang bernama Malaysia. Menikmati segala bersama. Berbilang bangsa dan berlainan agama tidak menjadikan kita saling bermusuhan. Bahkan ia adalah keunikan yang patut kita sentiasa raikan. Negeri ini kaya – sumber aslinya, rakyat yang harmoni dan sejarah peradabannya.

Namun, jika kita selami hakikat sebenar, adakah frasa “menikmati segala bersama” itu tepat dengan keadaan masa kini di dalam negara ini? Ia kata-kata cliche yang selalu kita dengari di dalam ucapan patriotik mahupun ucapan retorik politik. Tapi, jika kita selami hakikat, adakah benar kita menikmati segala bersama?

Baru-baru ini mahkamah telah menganugerahkan kemenangan buat anak-anak kepada wanita Malaysia yang berkahwin dengan rakyat asing dan dilahirkan di luar negara – mereka boleh memohon kewarganegaraan Malaysia, sama seperti anak-anak yang lahir di luar negara yang mempunyai bapa warganegara Malaysia dan berkahwin dengan wanita asing. Ia adalah satu kemenangan yang terlalu istimewa buat wanita dan anak-anak ini yang berjuang menuntut hak dan layanan sama rata dan akhirnya berhasil. Hakim di dalam hujah beliau mengatakan perkataan “bapa” yang tertulis di dalam perlembagaan perlu dibaca dengan membawa maksud salah seorang ibu atau bapa. Inilah kesamaan yang kita mahu. Tiada diskriminasi terhadap setiap satu rakyat yang ada.

Namun kemenangan dan kejayaan itu dicuri kembali apabila Peguam Negara mengemukakan rayuan terhadap keputusan tersebut. Sehingga kini, saya masih tidak mengerti kenapa dan apa yang telah menyebabkan kerajaan negara ini, yang beberapa hari selepas menubuhkan kerajaan menyuarakan hasrat untuk menjadi satu Keluarga Malaysia – membuat rayuan untuk menyekat anak dari seorang wanita warganegara Malaysia mempunyai hak untuk menjadi warganegara bumi bertuah ini. Kenapa kerajaan ini seolah-olah tidak mengiktiraf kesamarataan untuk semua rakyatnya. Adakah wanita dikelaskan sebagai “second class citizen” di dalam negara ini?

Saya tidak nafikan kita masih lagi hidup di bawah cengkaman undang-undang lapuk yang sesetengahnya digubal sewaktu kita masih lagi di bawah pemerintahan kolonial yang mengamalkan sistem pecah dan perintah. Mereka telah mengelaskan kita dan ia berlarutan sehingga kini. Oleh kerana cengkaman tanggapan dan kehidupan sebegini, kita masih lagi menjerit “balik negara kau lah!” kepada saudara kita yang berlainan bangsa yang sudah bergenerasi tinggal di dalam negara ini.

Terdapat jurang yang jelas antara kaum Bumiputera dengan yang bukan Bumiputera dalam hal menikmati segala bersama. Dalam keadaan dunia yang semakin maju dan berkembang, sesetengah perkara kini nampak tidak munasabah apabila ia mempunyai perbezaan kelas lebih-lebih lagi apabila ia berkaitan dengan pendidikan. Pendidikan adalah hak asasi setiap manusia yang hidup di dalam dunia ini. Adalah sangat tidak adil apabila kita masih mengekalkan status quo untuk hal-hal yang berkaitan dengan pendidikan. Agak menyedihkan apabila ada pelajar cemerlang dari bangsa bukan Bumiputera terpaksa berusaha berlipat kali ganda untuk mendapat tempat dan biasiswa untuk melanjutkan pelajaran mereka. Lebih menyedihkan ada yang gagal dan terpaksa melupakan niat mereka. Ini telah mengakibatkan negara ini kerugian bakat dan cerdik pandai untuk memajukan dan memacu negara ini ke arah yang lebih baik.

Di atas adalah dua contoh yang menyangkal frasa menikmati segala bersama. Banyak lagi contoh lain yang pada pendapat saya berbentuk penindasan kepada rakyat negara ini. Mengapa ada yang hidup sentosa tetapi ada juga yang melukut di tepian gantang, jika kita benar-benar menikmati segala bersama? Mungkin ada yang mengatakan saya hipokrit – sepanjang hidup saya di dalam tanah air ini, saya menikmati pelbagai kelebihan hanya kerana saya seorang Bumiputera. Namun adalah tidak menjadi satu kesalahan dan dosa jika saya mahukan rakan-rakan saya yang berlainan bangsa juga menikmati perkara begini. Bagi saya untuk menjadi sebuah negara yang berjaya, rakyatnya mesti menjadi satu. Perbezaan latar belakang tidak dinafikan dan seharusnya diraikan, akan tetapi pengelasan yang tidak masuk akal dan undang-undang lapuk menyekat kebebasan hak rakyat perlu dihapuskan. Ini adalah penindasan yang diwarisi dari zaman nenek moyang kita lagi.

Kita boleh bersetuju dan tidak bersetuju dengan satu sama lain. Namun pada akhirnya nanti kita semua ini rakyat Malaysia. Kita anak Malaysia. Jadi sekali lagi, adakah kita benar-benar menikmati segala bersama?

Selamat Hari Malaysia, saudara ku.

Komen