Krismas Di Malaya, Natal Di Borneo

“…Dan demi sesungguhnya engkau akan dapati orang-orang yang dekat sekali kasih mesranya kepada orang-orang yang beriman ialah orang-orang yang berkata: “Bahawa kami ini ialah orang-orang Nasrani” yang demikian itu, disebabkan ada di antara mereka pendita-pendita dan ahli-ahli ibadat, dan kerana mereka pula tidak berlaku sombong.”

Quran 5:82

Tanggal 25 Disember, penganut Nasrani atau Kristian akan meraikan Hari Krismas atau nama lainnya, Hari Natal. Sebagai agama terbesar di dunia, perayaan Krismas pasti dapat dirasakan juga di Malaysia sama seperti di negara lain di seluruh dunia. Sebagai perayaan besar yang terakhir dalam Takwim Gregorius (kalendar Gregorian), Krismas atau Natal mempunyai impak yang besar buat rakyat Malaysia.

Pada musim perayaan inilah anak-anak bercuti sekolah, dan ibu bapa pula mengambil kesempatan untuk turut bercuti panjang, ada kalanya sehingga cuti Tahun Baharu. Dalam era kapitalisme dan perdagangan global, Krismas juga adalah musim beli belah hujung tahun. Maka apa yang berlaku setiap kali tiba perayaan besar ini ialah ramai yang akan melancong atau sibuk membeli belah.

Inilah apa yang berlaku pada Krismas pada masa kini. Dan kemeriahan ini diserikan pula dengan dekorasi seperti pepohon Krismas di kompleks beli belah dan penampilan istimewa oleh Santa Claus yang menjadi pujaan ramai kanak-kanak. Hingga ia menjadi satu lumrah apabila disebut sahaja Krismas, yang terbayang pada ingatan kita ialah pokok Krismas dan Santa Claus.

Hal pengkomersilan Krismas ini pernah menjadi isu yang turut disentuh oleh pihak gereja Roman Katolik, kerana komersilisasi Krismas menenggelamkan aspek keagamaan dalam perayaan besar ini. Ia berlaku meluas di seluruh dunia, bahkan di Malaysia sendiri kita dapat melihat Krismas ialah musim melancong, musim membeli belah dan juga dekorasi pohon Krismas serta kemunculan Santa Claus.

Namun, walaupun jelas Krismas yang kita raikan hari ini sudah hampir hilang aspek keagamaannya, ia masih tetap menjadi isu remeh yang tidak sepatutnya dibangkitkan selepas puluhan tahun lahirnya negara majmuk Malaysia. Persoalan boleh atau tidak mengucapkan Selamat Hari Krismas, menerima jemputan jiran atau sahabat untuk meraikannya atau paling tidak mengagumi keindahan hiasan Krismas dan kemesraan pak cik Santa Claus menjadi isu utama setiap kali tibanya perayaan Krismas. Kemelut keremehan ini bahkan menjadi lebih kronik sejak kebelakangan ini hingga ada pihak berkuasa yang bertindak mengeluarkan amaran dan larangan meraikan perayaan agama lain.

Perkara ini mengingatkan saya kembali pada tahun-tahun ketika saya menetap di Borneo, atau lebih tepat lagi di Sabah. Di sana, Krismas diraikan lebih dari sekadar satu perayaan komersil. Ia juga satu perayaan keagamaan, dimana aspek keagamaan itu jelas dapat dilihat berbanding apa yang berlaku di Malaya.

Bagaimana saya boleh berkata demikian?

Satu contoh ketara yang dapat saya lihat ialah pada dekorasi Krismas itu sendiri. Jika di bahagian lain di Malaysia (Malaya atau Semenanjung khususnya) perayaan Krismas itu adalah hiasan pokok Krismas atau penampilan Santa Claus, berbeza pula di Kota Kinabalu apabila ada kompleks beli belah yang menonjolkan dekorasi Nativiti atau Kelahiran Isa/Yesus. Ya, satu konsep dekorasi yang sebenarnya jarang kita lihat semasa Krismas, kecuali jika anda pernah berkunjung ke gereja.

Kelainan inilah yang membuatkan apa yang selalu saya rasakan bahawa Krismas itu di Malaya, tetapi Natal di Borneo. Kerana asal perkataan ‘natal’ itu sendiri adalah dari bahasa Portugis yang membawa maksud ‘kelahiran’. Satu masa dahulu, masyarakat di Malaysia lebih kerap mengucap Selamat Hari Natal yang merujuk kepada hari kelahiran Isa/Yesus, bukannya Selamat Hari Krismas yang lebih kepada pokok Krismas dan Santa Claus berperut buncit.

Saya tidak dapat membayangkan bagaimana agaknya jika dekorasi Nativiti itu dibuat di kompleks beli belah di Kuala Lumpur. di waktu ketika isu perkauman dan keagamaan semakin panas dalam masyarakat Malaysia hari ini. Mungkin ada yang akan berdemo protes di hadapan kompleks beli belah tersebut. Jika meraikan Krismas yang sudah dicemari kapitalisme dan kebudayaan pagan utara Eropah dianggap salah, apa lagi meraikan Natal yang lebih dekat dengan unsur keagamaan Kristian itu sendiri.

Tapi begitulah hakikat. Krismas di Malaya dan Natal di Borneo, dua senario berbeza dalam dua wilayah Malaysia.

Selamat Hari Krismas/Natal!

Komen