SEMALAM, 14 Mei 2023 telah berlaku buat julung kalinya satu himpunan politik besar yang menggabungkan sejumlah 20 parti politik yang turut melibatkan gabungan empat blok politik utama. Himpunan yang dinamakan Konvensyen Kerajaan Perpaduan itu diadakan di Dewa Merdeka, Pusat Dagangan Dunia yang sebelum ini sangat sinonim dengan upacara tahunan Perhimpunan Agung UMNO.
Sebetulnya bukanlah satu tugas mudah menghimpunkan kesemua 20 parti politik atau empat blok politik utama yang tentu sekali berbeza ideologi, tradisi dan nilai masing-masing. Apatah lagi mengambil kira bahawa ada di antara parti atau blok politik ini berlawan antara satu sama lain ketika Pilihan Raya Umum yang ke-15 (PRU15) lalu. Namun semua perbezaan dan perlawanan itu kini diketepikan di bawah mandat kerajaan perpaduan.
Pastinya sosok yang menjadi sumber kuasa penyatuan ummah hari ini tidak lain dan tidak bukan adalah Perdana Menteri sendiri, Anwar Ibrahim. Usaha beliaulah yang berjaya mengikat tali persefahaman antara empat blok politik Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS). Anwar juga berjaya menarik sokongan dari parti-parti luar gabungan atau blok politik, seperti MUDA, KDM, PBM dan WARISAN. Keupayaan menarik sokongan dari parti-parti individual antara pemangkin yang menjadikan kerajaan pada hari ini sebuah kerajaan yang kukuh dengan majoriti dua per tiga melalui penguasaan 148 kerusi parlimen.
Ia nyata sekali berbeza dengan tiga perdana menteri pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14). Mahathir Mohamad walaupun berjaya memimpin PH untuk membentuk kerajaan, masih gagal untuk memastikan pakatan itu tidak berpecah walau belum sampai separuh penggal. Mahathir juga tersilap percaturan apabila menyisihkan GPS dari pembentukan kerajaan pasca PRU14 sekaligus menjejaskan usaha memperkuat sokongan kerajaan di parlimen.
Begitu juga dengan Muhyiddin Yassin yang naik sebagai Perdana Menteri ke-8 walaupun hadir dengan scheme of things beliau. Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dibentuknya walaupun mendapat sokongan BN, masih goyah kerana wujudnya rasa syak wasangka dan perseteruan di antara BERSATU dan UMNO. Ia juga dikeruhkan dengan sikap PAS yang seperti pelacur bermain di dua kolam atas alasan ‘penyatuan ummah’ yang sebenarnya lebih kepada ‘mabuk kuasa’.
Ismail Sabri yang menggantikan Muhyiddin juga sebenarnya gagal membentuk kerajaan perpaduan yang utuh. Jika tidak, masakan berlaku pertembungan tidak sudah antara PN dan BN di dalam pilihan raya negeri Melaka dan Johor, dan seterusnya dalam PRU15? Apa yang kita lihat ketika pentadbiran PN-BN di bawah Muhyiddin dan Ismail sebenarnya tidak lebih kepada satu marriage of convenience.
Bukanlah saya mahu mengatakan bahawa kerajaan perpaduan yang berpadu di bawah Anwar hari ini dibentuk tanpa sedikit pun atas nama kuasa, jawatan atau habuan. Tentulah ia tidak suci sepenuhnya kerana dalam politik kesucian itu adalah sesuatu yang nadir.
Tetapi setidaknya kerajaan perpaduan yang ada hari ini, yang terdiri dari PH, BN, GPS, GRS dan beberapa parti-parti individu lain disatukan di bawah satu nama iaitu Anwar Ibrahim. Dan Anwar memastikan bahawa dirinya sebagai ejen penyatuan ummah, perlu ada aura dan teladan yang gagal ditonjolkan oleh tiga pendahulu beliau sebelum ini.
Aura dan teladan inilah yang ditonjolkan Anwar sejak memimpin kerajaan perpaduan. Sehingga mana-mana parti atau blok politik dalam kerajaan perpaduan yang dilihat agak tersasar, akan dilabel oleh umum sebagai tidak bersama Anwar dalam agenda pembaharuan yang dibawa beliau. Lihat sahaja pada segelintir pemimpin UMNO yang lebih cenderung mahu bersama PN dan bagaimana mereka kini dilihat sebagai politikus yang tamak kuasa, membuang masa dan tidak meletakkan kepentingan negara dan rakyat sebagai agenda utama.
Paling utama (dan ini juga gagal diamalkan oleh tiga pendahulu Anwar sebelum ini) adalah bagaimana Anwar memastikan sokongan istana sentiasa terarah kepada kerajaan perpaduan pimpinannya. Dan Anwar memastikan bukan hanya Istana Negara sahaja yang menyokong gagasan kerajaan perpaduan, tetapi semua sembilan istana Raja-raja Melayu. Kebijakan Anwar terserlah di sini dalam memahami jiwa rakyat Malaysia khususnya orang Melayu serta peranan pihak istana dalam sebuah sistem raja berperlembagaan.
Mendapat restu istana adalah satu pengiktirafan yang tidak boleh disamakan dengan melalui peti undi. Jika peti undi memberikan sebuah kerajaan satu keabsahan, maka restu istana adalah mandat atau pengesahan bahawa kerajaan yang diwujudkan adalah sebuah kerajaan yang boleh bekerja dengan istana di peringkat persekutuan dan di sembilan negeri beraja.
Anwar tahu kegagalan Mahathir menjaga hubungan dengan istana dan keingkaran Muhyiddin terhadap titah pihak istana antara sebab kenapa kerajaan pimpinan mereka mudah ditumbangkan.
Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan yang telah berlaku semalam adalah bukti kepimpinan Anwar sebagai Perdana Menteri dan ketua kerajaan.

Demokrat sosial. Pengerusi DAP Taman Kemuncak dan Pengerusi Pertubuhan Solidaritas. Sudah berkahwin.