Kampung Melayu Yang Gagal

Apabila Kampung Baru Cina mahu digazet menjadi tapak warisan UNESCO, sesetengah Melayu akan berlagak tersakiti dan meneriak menjerit umpama buntut mereka disebat dan dipukuli.

Kegagalan Kampung Melayu untuk menjadi satu tinggalan budaya, warisan dan sejarah yang membanggakan memang diketahui umum. Lihat sahaja nasib Kampung Melayu setua Kampung Abdullah Hukum atau Kampung Dato Keramat. Lihat sahaja lipatan tragedi demi singkapan tragedi yang terjadi di situ. Perubahan tampuk pemerintahan di bawah 40 jenis Melayu pun tidak akan dapat menukar hakikat kegagalan ini.

Makanya mengapa penduduk Kampung Melayu mesti cemburu menangis dan berteriak rasis tersakiti, menjerit seolah buntut mereka disebat dan dipukuli apabila ada Kampung Baru Cina akan dicantikkan lantas diwarta sebagai tapak warisan dunia?Sebab Kampung Melayu gagal untuk mencapai taraf yang sama.

Kita boleh melihat nasib menimpa Kampung Kerinchi atau Kampung Baru. Di tangan siapakah ia terkulai layu?

Mengapakah pula tiada usaha untuk menaik taraf beberapa kampung di Kuala Pilah seperti di Lonek yang aktif pelbagai kegiatan budaya untuk dijadikan tapak warisan UNESCO? Kenapakah pemimpin Umno Ahmad Maslan dan segala Jawa di Pontian tidak melakukan yang sama untuk beberapa kampung tradisional Melayu yang ada di situ? Malas mungkin?

Tidakkah sesuatu boleh dilakukan seibarat Kampung Morten di Melaka, yang setelah dijadikan tapak warisan kini menjadi tumpuan pelancong seantero dunia, pengkaji budaya dari jauh dan paling penting tidak boleh dibangunkan sesuka hati. Bahkan ia harus dipulihara selalu agar dapat menjadi penghayatan generasi mendatang. Mengapa duhai Umno, kamu harus cemburukan Kampung Baru Cina?

Aktivis dan ahli politik yang terpaling Melayu sebenarnya harus duduk di sebelah Nga Kor Ming dan Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan untuk memikirkan bagaimana Kampung Tradisional Melayu boleh dinaik taraf dan diselamatkan lantas menjadi tumpuan dunia. Bahkan penempatan atau Kampung Ceti, Rumah Panjang terpilih di Sarawak, Kampung Dusun di Sabah, juga desa Orang Asli, kejiranan Portugis dan Siam di Melaka dan Kedah boleh diangkat sama. Maka dengan itu kita dapat menyalurkan peruntukan kebudayaan dan warisan untuk memelihara dan memulihara semua ini.

Refleksi Sejarah

Malangnya, ahli politik dan aktivis kita lebih suka jadong (jahat bodoh sombong) untuk melihat semua isu dari kaca mata ras lantas menjadi rasis dari melihat sesuatu itu dari mata negarawan justeru menyelamatkan warisan bangsa. Tiada siapa pun antara tokoh yang dirujuk agensi berita sehari dua ini menggunakan perspektif budaya secara adil. Baik profesor baik ahli politik semua memilih untuk menyarung baju jadong.

Kampung Baru adalah sebahagian dari episod sejarah kita yang pedih. Tidak ramai yang tahu bukan sahaja etnik Cina dipaksakan tinggal di kampung-kampung ini, terdapat juga kaum Orang Asli yang menerima nasib sama. Kampung Baru Cina ditubuhkan hampir 80 tahun lalu untuk memisahkan sekalangan orang Cina dari berhubung dengan Malayan National Liberation Army (MNLA) atau dikenali juga sebagai Malayan Communist Party. Ini tidaklah bermakna mereka semua itu komunis.

Buku sejarah menunjukkan mereka adalah mangsa kepada pelan Briggs iaitu sebuah pendekatan militari yang dikemukakan oleh Harold Briggs di zaman penjajah sebaik dilantik sebagai British Military’s Director of Operations in Malaya dalam tahun 1950an.

Kebanyakan Kampung Baru Cina memenuhi kriteria untuk diangkat sebagai tapak warisan UNESCO, paling-paling di bawah dua ciri utama iaitu tapak desa itu mestilah memiliki nilai sejagat di mana ia unik dan mampu menjadi testimoni kepada tradisi budaya dan peradaban dalam hayat kehidupan yang kian pupus dan terhakis oleh kemodenan.

Manakala yang kedua, ia dapat menjadi warisan ketara yang memperlihatkan tradisi kehidupan, bersertakan idea, kepercayaan, bersama-sama sentuhan seni dan kebudayaan yang menggambarkan satu nilai bersama.

Setelah 80 tahun Kampung Baru Cina adalah refleksi sejarah, warisan dan budaya kita rakyat Malaysia secara bersama. Ia adalah episod hitam dan cabaran kita mencapai sebuah Malaysia yang meraikan kemajmukan.

Jika Kampung Baru Cina sekadar memenuhi dua kriteria yang saya sebutkan di atas, percayalah Kampung Tradisional Melayu boleh memenuhi lebih banyak ciri yang disediakan. Malah silap hari bulan boleh merangkum sepuluh kriteria yang disenaraikan oleh UNESCO. Tetapi kenapakah tiada pemimpin atau budayawan Melayu terfikir untuk menjadikannya seperti Kampung Morten? Dan membiarkan kampung Melayu seperti di Kerinchi, Dato Keramat atau Abdullah Hukum tergadai dan terjarah oleh kapitalis dan saudagar mata satu?

Sebab kepimpinanan Melayu malas. Dan barangkali bersekali dengan malas, mereka juga jadong. Iaitu jahat bodoh sombong. Justeru untuk menutup kejahatan kebodohan dan kesombongan mereka hanya satu cara untuk mengalihkan perhatian negara. Iaitu, dengan cara apabila Kampung Baru Cina sebelah digazet menjadi tapak warisan UNESCO, maka jadong pun beramai-ramailah rasa tersakiti dan melalak menjerit umpama pantat mereka dicubit dan dirodok buluh berbulu.

Jadong-jadong bawah pun ikut sama menari gendang yang dipalu. Sebab mereka bangang. Ikut menambah lauk jadong profesor pun menjelma dari kubur. Jadong muda jantan betina pun beraksi di Tiktok. Semuanya ikut menari sementelah saudagar mata satu sedap terus menjarah hartanah dan Kampung Melayu.

Sekali lagi ditanyakan, tidakkah sesuatu boleh dilakukan seibarat Kampung Morten di Melaka, yang setelah dijadikan tapak warisan kini menjadi tumpuan turis segenap planet, pengkaji warisan dari ceruk rantau dan paling penting tidak boleh dibangunkan sesuka hati. Mengapa Kampung Melayu seperti Kerinchi atau Abdullah Hukum harus terjual?

Atau Kampung Melayu di mana pun di negara ini lebih baik dijadikan sarang penagih dadah supaya nanti dialpakan untuk digadai dan dibangunkan kondominium dan pusat membeli belah untuk menguntungkan dajal atau saudagar mata satu.

Komen