Guru sejarahku pernah mengatakan begini, ‘Bangsa India barangkali memerlukan seseorang – semacam – Abraham Lincoln, untuk membebaskan mereka dari perhambaan di negara ini.’
Aku tidak mengerti apa yang dimaksudkannya. Jadi apabila aku, seorang Melayu dari Klang diminta menjadi Tamil, aku mempunyai beberapa cerita terpilih untuk diketengahkan. Aku akan menjadi ‘Lincoln Melayu’ itu. Akan tetapi aku hanya mahu dikenali, untuk masa ini, sebagai seorang Tamil. Berasal dari Klang, tetapi nanti berkecambah di Slim River, Perak.
Tidak, aku tidak terlibat dalam pertempuran Slim River pada bulan Januari 1942 antara tentera Jepun dan divisyen tentera British dari kalangan orang India. Cerita aku tidak sedrama itu.
Cerita aku begini. Aku berasal dari Sivaganga, Tamil Nadu di India. Aku berbangsa Tamil. Aku dilahirkan pada hari pertama bulan Thai yang mana adalah hari pesta Ponggal. Justeru ayahku menamakanku Ponguvathu bererti merecup, melimpah atau bercambahan. Untuk teman-teman sebaya, nama itu sedikit aneh. Akan tetapi, aku berbangga membawa nama ini. Ia mengingatkanku kepada orang tuaku. Kenangan di Sivaganga. Nasi kari. Ikan goreng rempah. Orang tuaku, aku tidak lagi mengingat bagaimana wajah mereka. Ayah dan ibuku meninggal dunia sewaktu kecil, dan aku kemudian terpaksa tinggal dengan pak cikku di Chennai, sebuah kota besar lebih 400 kilometer dari asalku di Sivanganga.
Sebagai anak yatim terbuang hidupku sukar sekali. Menjelang usia 13 tahun dan sudah mulai boleh bekerja berat, aku diberitahu bahawa terdapat peluang hidup lebih baik nun jauh di Timur. Tempat dituju adalah Klang.
Pada tahun 1939, sejumlah 2,300 ekar tanah di situ ditanami sawit. Ejen pencari buruh tersebut menggambarkan sawit itu sebagai anugerah Tuhan. Sawit adalah anugerah Shiva. Aku mendaftar diri untuk ke Malaya. Negeri yang jauh. Negeri yang menurutku ditanami sejenis tanaman, anugerah Dewata. Aku masih terlalu mentah sewaktu mendarat di pelabuhan Klang setelah pelayaran memakan bulan.
Akan tetapi, malangnya aku dihantar ke ladang getah. Getah bukan anugerah Tuhan. Getah agaknya cucu setan. Malah getah membawaku kepada perhambaan. Aku dihantar ke sebuah ladang luas milik Bukit Raja Rubber Company Ltd. Luasnya 3,600 ekar yang ditanami getah. Pada waktu itu, ladang getah sudah mulai menggantikan ladang kopi, dan kapitalis Inggeris seperti W.W Bailey bermaharajalela membuka estet Ladang Highlands dan Ladang Lowlands.
Edmond Prior dan L.U Stafford menerokai Ladang Golden Hope di Jugra. Dari Klang ke Batu Tiga, hanya ada getah. Inggeris menagih getah. Dan getah bukan anugerah Tuhan. Ia adalah lambang perhambaan.
Usiaku baru 13 tahun dan aku dipaksa bekerja 8 jam sehari. Aku mulai menoreh getah seawal 5.30 pagi sehingga pukul 8. Dalam pukul 9, sebaik susu sudah mulai bertakungan dalam mangkuknya, aku akan menghimpun susu getah itu sehingga tengahari. Pernah, susu yang ditakung dalam baldi besar itu terlalu berat untuk dikandar kudrat kecilku. Kakiku tersadung busut kecil, getah itu jatuh melambak di atas tanah. Mandur telah membelasahku. Kulit punggungku mengelupas menampak isi putih dan hanya sembuh setelah lapan minggu. Getah adalah lambang perhambaan.
Di kawasan ladang, aku hampir tidak pernah menemukan orang Melayu dan Cina. Kami terpisah dari kawasan kampung dan lombong. Dunia kecilku hanyalah pokok getah yang kusembah setiap hari. Atau deret rumah buruh yang berhimpitan kecil. Kerana tubuhku yang kecil, aku ditempatkan di Aaya Kottagai, semacam tempat penjagaan buruh kanak-kanak. Di sebelah rumahku itu ada sebuah kedai todi. Aku akan menceritakan tentang todi kemudian nanti.
Jadi duniaku itu adalah ladang estet itu. Aku tidak dibenarkan keluar dari ladang. Kami dimomokkan supaya tidak keluar. Wang upahku yang kecil juga disimpan oleh orang yang aku tidak kenali. Aku diberi makan, minum dan pakaian ala kadar. Parameswari Krishnan dalam makalahnya ‘Kehidupan Buruh India Ladang di Tanah Melayu, 1900-1941 (2019)’ menceritakan dengan baik sekali bagaimana hidupku diperhambakan:
‘Selepas buruh-buruh tiba ke Tanah Melayu, mereka terus dihantar ke ladang getah. Di sini, mereka telah disediakan dengan segala keperluan asas seperti tempat kediaman, pakaian, makanan dan kemudahan-kemudahan lain seperti kedai runcit oleh pihak majikan. Tidak ketinggalan, pembukaan kedai todi di kawasan ladang-ladang getah yang disediakan khas untuk para buruh. Usaha-usaha yang diambil oleh pihak British dalam menyediakan pelbagai kemudahan ini adalah semata-mata mahu mengekalkan buruh-buruh di ladang-ladang dari tidak meninggalkan sempadan ladang tersebut. Hakikatnya, buruh India tidak dibenarkan melewati sempadan ladang di tempat mereka bekerja. Sistem komunikasi dan pengangkutan yang serba kekurangan termasuk tempat tinggal yang jauh terpencil di kawasan pedalaman ketika itu menjadikan keadaan lebih sukar. Orang luar juga tidak dibenarkan masuk ke dalam ladang-ladang tersebut. Ini bermakna, buruh India hidup dalam keadaan di mana semua hubungan mereka dengan dunia luar terputus. Tindakan British ini telah menghalang pergaulan sosial bukan sahaja antara buruh-buruh ladang dengan kaum lain bahkan juga antara buruh India dengan orang India yang lain di Tanah Melayu. Buruh ladang dibiarkan untuk hidup sebagai sebuah komuniti yang tersendiri dengan mengekalkan ciri-ciri kebudayaan dari kampung halaman mereka.’
Bagaimana aku akan merdeka jika begitu? Kami perlu membayar sejumlah wang besar jika berhasrat untuk keluar dari sistem kangani, dunia ladang yang dahsyat itu. Bagaimana? Siapa yang akan menebusku? Aku memerlukan seorang Lincoln. Merdeka itu mustahil sekali untukku yang baru berusia 13 tahun. Gaji hariku menyamai gaji hari seorang buruh wanita iaitu 40 sen sehari.
Aku tidak mempunyai tempat mengadu. Aku anak yatim piatu.
Menjelang usia 16 tahun aku sudah pandai minum todi. Tolong, tolong jangan salahkan aku kerana meminum todi. Jangan mudah menghukum kami. Aku hamba. Aku masih remaja. Aku masih mentah. Hakikatnya Inggeris, penjajah British memperkenalkan aku kepada todi. Inilah yang disebut oleh Parameswari dalam tulisannya:
‘Umumnya, sebilangan besar orang India Selatan yang berhijrah ke Tanah Melayu terdiri daripada kalangan buruh yang buta huruf dan menerima pendidikan secara minima sahaja sewaktu mereka di India. Berdasarkan sistem ladang di Tanah Melayu, mereka akan ditempatkan di kawasan perladangan dan seluruh kehidupan mereka berlegar dalam kawasan itu sahaja. Mereka bukan sahaja tidak disediakan kemudahan yang selesa, malah tidak diberikan ruang untuk melakukan riadah dan aktiviti sosial yang lain. Dalam situasi ini, aktiviti riadah yang mereka miliki adalah di kedai todi. Kedai todi menjadi ‘institusi sosial’ yang sangat penting kepada masyarakat ladang kerana di sini mereka akan menghabiskan masa mereka dan akan turut menjadikan todi sebagai minuman mereka. Dalam situasi ini, wujud ikatan yang sangat kuat di antara buruh ladang dengan kedai todi dan menyedari hal ini, pihak majikan serta pihak berkuasa kemudiannya menjadikan kedai todi sebagai sesuatu yang ‘wajib’ di setiap ladang. Kedai todi diperkenalkan oleh British di Tanah Melayu atas beberapa sebab tertentu. Menurut laporan yang dikeluarkan oleh akhbar Jananayakam, pada 3 Disember 1947, didapati bahawa, alkohol terutama todi telah diperkenalkan oleh pihak British di negara ini dan bukannya oleh orang India atau pihak lain.’
Parameswari menambah lagi,
‘British sedar bahawa adalah lebih mudah memerintah penduduk yang berada di bawah pengaruh alkohol berbanding penduduk yang berpendidikan. British sedar bahawa pengenalan ‘todi’ adalah satu-satunya kaedah yang terbaik untuk mengekalkan mereka di ladang-ladang. Selain itu, kewujudan kedai todi telah memberi keuntungan kepada pihak pemerintah melalui lesen kedai todi dan cukai yang dikenakan kepada aktiviti tersebut.’
Terlalu ramai yang terkorban mati kerana todi. Selalu akan ada cerita menyayat hati. Kemudahan kesihatan di estet sangat buruk. Tiada tandas yang sempurna. Terlalu kerap antara kami dijangkiti penyakit. Pernah terjadi lebih sepuluh orang dalam kalangan buruh kanak-kanak mati akibat berak-berak berdarah. Aku sendiri mengalaminya tetapi mujur aku dapat bertahan.
Tahun demi tahu aku mulai bersahabat akrab dengan seorang kanakupillai. Namanya Sugu dan berasal dari Port Dickson. Dia seorang yang baik dan sedikit lebih tua dariku. Sugu memang mujur, kerana dari buruh ladang dia berubah nasib. Ketika itu, British mempunyai satu polisi untuk ‘menjadikan kanak-kanak Tamil sebagai kerani (kirani) atau jurukira (kanakupillai).’
Sugu sering membelanjaku pelbagai makanan ringan seperti kacang putih dan sesekali roti. Kadang Sugu menyogokku dengan todi. Dia minta aku menari goyang-goyang menghiburkannya. Dia memanggilku Putera Goyang. Bila mabuk, Sugu acap meminta aku mengelus ular hitamnya. Kadang dia menggesel ular hitam itu kepada tubuhku. Kadang selama dua jam. Sekujur tubuhku, membelitku. Ular yang sungguh panjang dan berkilat kepalanya. Ular itu ngapngap. Aku tidak tahu mengapa Sugu melakukannya, tetapi Sugu bilang dia hanya mahu melupakan penderitaan di estet. Kami semua nestapa. Dia mengatakan dia tidak mahu keturunan. Dia tidak mahu anak-anaknya diperhambakan.
Sugu selalu menyatakan, satu hari nasib kami akan berubah. Akan ada reformasi. Dia menyatakan di ladang luar sudah ada mogok untuk menuntut agar gaji buruh dinaikkan.
Berapa banyak, tanyaku naif.
‘55 sen sehari untuk lelaki, dan 45 sen untuk buruh wanita. Ada yang meminta 60 sen untuk lelaki, 50 sen untuk wanita.’
Mataku berkaca-kaca. Mogok itu berlaku pada Februari 1941 dan menjelang Mei, mogok itu sudah tiba ke ladang tempatku dihambakan. Dua puluh ribu buruh ikut terlibat. Mogok itu dipimpin oleh R.H Nathan dan Y.K Menon dari Kesatuan India Daerah Kelang. Nathan adalah seorang brahmin yang tiba ke Malaya pada tahun 1936 di usia 25 tahun. Dia bekerja di Syarikat Paterson Simons di Pelabuhan Klang pada tahun 1937. Kemudian dia bekerja sebagai wartawan di akhbar Tamil Nesan di Kuala Lumpur. Y.K Menon pula adalah seorang kerani ladang dan terpengaruh dengan pak ciknya Y.S Menon, seorang pemimpin di Coastal Indian Association Klang.
Mogok 1941 itu tercetus apabila seorang buruh bernama Vellayam dari Estet Midlands enggan membuat kerja tambahan dan dibuang kerja. Ia berlaku pada 29 Januari 1941. Buruh lain bersetiakawan dengan Vellayam dan mulai melancarkan mogok. Vellayam cuba dibeli, dia diberi sebulan gaji tetapi enggan menerima. Maka pada 3 Februari mogok meluas dipatuhi oleh 300 orang buruh.
Rasa tidak puas hati merebak ke ladang lain. Di Morton Estate, Bukit Kemuning Estate, dan Damansara Estate keadaan menjadi tidak terkawal bahangnya. Kemarahan meluap memandangkan penoreh berbangsa Cina diberi upah $1 sehari berbanding buruh India. Di Midlands Estate, tujuh orang bermogok dihentikan kerja tetapi enggan meninggalkan ladang. Mereka kemudian ditangkap dan dibicarakan. Pada 25 Mac 1941, buruh-buruh di situ telah menunjuk perasaan. Akan tetapi keadaan tidak mereda, di Ladang Sungai Puloh empat dari 14 orang buruh yang telah ditahan adalah wanita. Tunjuk perasaan itu berakhir dengan penggunaan akta kesalahan perhimpunan haram. Akibat banyak keadaan tidak terkawal, berlakulah rusuhan di ladang-ladang. Pesuruhjaya Tinggi British Shenton Thomas mengeluarkan waran tangkap untuk Y.K Menon, R.H Nathan dan R.K Thangiah pada 18 Mac 1941. Kekacauan memuncak sehingga bulan Mei. Nathan malah dihantar pulang ke India pada 19 Mei 1941.
Rusuhan kecil itu akhirnya melimpah menjadi rusuhan besar pada 10 Mei 1941. Betul, ia berlaku pada bulan Mei. Semua yang penting akan terjadi pada bulan Mei. Azharudin Mohd Dali dalam ‘Sejarah Masyarakat India di Malaysia’ (2012) memperihalkan keadaan rusuhan tersebut:
‘Pada 10 Mei 1941, Shenton Thomas telah bertindak menggunakan pasukan tentera untuk meredakan keadaan. Sebuah batalion tentera India bersama dengan Malay States Volunteer Force telah digunakan. Pasukan polis juga menahan buruh India di Klang, Kuala Lumpur dan Kuala Langat. Di balai polis Klang, pertempuran antara polis dan buruh ladang menyebabkan 10 orang polis dan 20 buruh cedera. Pada 14 Mei, 38 daripada 53 ladang getah di Kuala Selangor, 20 daripada 24 di Kuala Langat, dan 35 daripada 43 di Klang terbabit dalam rusuhan. Jumlah buruh yang terbabit adalah 20,000 orang. Apabila keadaan semakin gawat, pada 16 Mei 1941, darurat diisytiharkan di Selangor. Berikutan itu, pemimpin yang terbabit dalam mogok dan rusuhan telah ditahan. Pada 21 Mei, 20 orang dari Teluk Genting Estate telah ditahan. Menurut H.E Wilson, sepanjang rusuhan tersebut sebanyak 386 arahan tangkapan dibuat oleh pihak polis terhadap pihak-pihak yang ditakrifkan sebagai pengacau. Tindakan pihak berkuasa ini telah berjaya menyekat rusuhan daripada merebak dan secara langsung menamatkan gerakan buruh India ini. Mogok dan rusuhan berakhir pada penghujung Mei 1941. Sepanjang rusuhan, enam orang buruh terbunuh, ramai yang cedera, 21 orang dihantar ke India, 300 orang ditahan dan dipenjarakan dan 186 orang dibebaskan dengan syarat tidak lagi kembali ke Klang.’
Salah seorang dari enam yang terbunuh itu adalah Sugu. Segala-galanya gelap buatku ketika itu. Sugu sudah mati. Sugu adalah nyawaku. Kematian Sugu amat mengejutkanku. Dalam huru-hara itu aku berhasil melepaskan diri dari ladang getah dan berpindah ke Slim River, di Perak. Di sini aku berkenalan dengan seorang gadis estet yang masih muda bernama Meeriam. Kami berkahwin dan beroleh tujuh orang anak.
Aku meninggal dunia beberapa bulan sebelum Ogos 1957. Aku tidak sempat mengecap nikmat kemerdekaan. Sepanjang hidupku sejak dari Sivaganga ke Slim River aku dihambakan.
Sepanjang hidupku selama di Slim River aku hanya mengingat Sugu. Lelaki budiman yang menawarkan aku pelbagai kenikmatan. Pemergiannya yang mendadak amat melukakan. Hampir setiap malam aku bermimpikan ular hitam yang datang ngapngap.
Keturunanku terus menetap di Slim River. Hidup kami tidak banyak berubah. Betul, bumi ini bertuah, tetapi kami memerlukan seorang Lincoln dari kalangan Melayu untuk membebaskan kami. Itulah sebabnya sebelum aku meninggal dunia, aku berpesan kepada anak-anakku agar mengahwini orang Melayu. Agar cucuku nanti boleh cair sebagai mamak; atau bernasib baik dipanggil Melayu dan menyertai parti keramat, parti UMNO. Sekali jadi Melayu, lebih-lebih kalau Islam; apa barang jahat dibuat pun akan terlepas. Boleh juga menjadi anggota PAS. Asalkan Melayu.
Pada tahun 2020, sebagai roh mati yang bergentayangan di angkasa, suara tangisku sebagai hantu tersebar di seluruh langit Slim River menjadi buah mulut ramai orang. Mengapa aku memilih untuk menangis di ruang angkasa? Masyarakat menjadi heboh dan takut seketika.
Kenapa aku menangis? Salah seorang cicitku, keturunanku, diberi nama Ramesh (dia satu-satunya yang enggan menjadi Melayu) telah minum todi, mabuk, dan bergaduh dengan bininya lantaran isu sebuah video Youtube. Aku sendiri kurang tahu secara jelas apa puncanya. Ramesh telah menyerang isterinya dengan sabit. Ekoran itu Ramesh telah ditahan di dalam lokap.
Akan tetapi, Ramesh telah meninggal dunia akibat serangan jantung di dalam lokap. Benar atau palsu kematian itu akibat serangan sakit jantung, hanya aku yang tahu. Hanya aku, hanya aku yang tahu benarnya. Kerana aku adalah roh yang berkesiuran di atas langit Slim River. Hantu yang menangisi kematian cicitnya di dalam lokap.
Siapakah di Slim River yang akan menjadi pejuang? Aku terperangkap di antara syurga dan bumi. Kerana hidup keturunanku tidak pernah bahagia. Dan kerana bangsaku tidak pernah punya Lincoln untuk membebaskan mereka.
Mohd Faizal Musa atau lebih dikenali sebagai Faisal Tehrani adalah Felo Penyelidik di Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Penyelidik Bersekutu di sebuah tim penyelidikan di bawah Weatherhead Center, Universiti Harvard, Amerika Syarikat. Kajian beliau menganjur dari Sastera Bandingan sehingga Hak Asasi Manusia dengan penekanan terhadap kumpulan minoriti agama.