Aku, Jawa Simpang Renggam

(Artikel ini adalah kesinambungan untuk artikel yang pernah diterbitkan di Free Malaysia Today berjudul ‘Aku, Cina Ampang’)

Dalam ‘permainan jadi-jadi’ yang mana guru sejarah memestikan kami bertukar warna kulit dan bangsa untuk tujuan saling mengenal, Kim pernah memilih menjadi seorang Jawa.

‘Jawa mana?’ Soal guru sejarah kami nyaris terbahak.

‘Simpang Renggam.’ Balas Kim entah bercanda atau memang punya sebab tersendiri. Dia sendiri tidak menyatakan sebab musabab kenapa orang Jawa, dan kenapa pula harus Jawa dari Simpang Renggam.

Cikgu sejarah kami nampaknya mengambil perhatian pilihan Kim tersebut. Sugu membantah, katanya Kim membawa watak yang senang. Jawa, dalam sudut pandang Sugu adalah Melayu. Maka dalam sejarah dia adalah seorang Bumiputera. Sedangkan Jawa hanya varian dari bangsa Melayu. Pun ia tetap dibakulkan dan dikelompokkan sebagai Melayu. Hatta Bajau-Suluk di Sabah dipukulrata sebagai Melayu, padahal mereka bukan.

Kelas karam hingar bingar seketika kerana murid-murid ada aneka pandangan. Ada yang malah menyengat keterlaluan, ‘Aku dengar bapak kau bantah migran dari Burma ya. Tapi Jawa itu bukan migran satu ketika dahulu? Bapak kau mengutuk Indon Indon sehari-hari.’

Pecah perang seketika dalam kelas sejarah kami. Makin lama hiruk pikuk seperti Dewan Rakyat dilanda Baling dan Pasir Salak.

Cikgu sejarah kami terpaksa meleraikan.

‘Bantahan Sugu itu munasabah,’ ujar Cikgu dengan prihatin. ‘Ada sebab kita belajar sejarah, dan ada sebab saya menganjurkan ‘permainan jadi-jadi’ ini.’

Begini, Melayu yang asal-usulnya dari Indonesia itu ramai sekali di Malaya (kemudian Malaysia). Katakanlah Jawa. Ada Jawa yang malah datang lebih kemudian dari Cina Ampang. Mungkin katakan, lambat 50 tahun dari masyarakat Cina Ampang yang bekerja di lombong bijih timah. Semua pun, baik Cina dari Kwantung, China; atau Surabaya, Jawa hadir di Malaya atas urusan mencari rezeki.

Bumi ini bumi bertuah. Ia memberi kembali kepada sesiapa yang rajin. Walhasil setelah beberapa lama, Cina dari Kwantung dan Jawa dari Surabaya itu enggan pulang kerana sudah mensyukuri bumi jauh yang memberikan hujan emas buat mereka. Akhirnya, mereka menetap dan beranak pinak di bumi indah ini. Mereka menjadi warga sebuah nusa yang bersepakat untuk hidup makmur bersama-sama.

Seisi kelas senyap seketika mendengar suara cikgu sejarah kami, menatap setiap wajah kami.

Pada tahun 1947, banci yang dijalankan malangnya hanya mensasarkan kaum Cina dan India, kerana mereka jelas kelihatan ‘dari luar alam Melayu’. Orang Jawa misalnya dengan mudah diputuskan sebagai Melayu. Meskipun hakikatnya mereka hanya belahan dari dunia Melayu, tetapi jika lebih rinci ditilik, mereka adalah ragam etnik lain di bawah payung besar Melayu itu.

A.B Ramsay dalam sebuah laporan kerja lapangan yang penting pada tahun 1955 ada mencatatkan perihal orang Indonesia di Malaya, dengan judul, ‘Indonesians in Malaya.’ Ramsay mengarang begini, Cikgu sejarah kami memetik:

‘The distribution of peoples of Indonesian origin throughout Malaya is perhaps not clearly indicated by the 1947 Census because census enumerators tend to record any person superficially resembling a Malay as a Malay and of course immigrants from Sumatra unless specifically pressed for their place of origin would describe themselves as Malays.’ (119)

Sebagai contoh, kaum Boyan yang datang dari pulau kecil Bawean dibawa masuk ke Singapura oleh Encik Abraham untuk mengisi tugas di Turf Club, yang kemudian berakhir dengan kebanyakan mereka menjadi pemandu kereta-kereta sewa dan peribadi. Orang Boyan segera dicam berdasarkan songkok mereka yang sedikit berbeza dari orang Melayu. Kebanyakan orang Melayu merujuk Pulau Bawean sebagai Pulau Babi, justeru memandang orang Boyan dengan pandangan sebelah. Mereka, kaum Boyan ini telah bertumpu di Kandang Kerbau, Singapura. Hidup bersesak di dalam rumah kongsi yang padat. Sesetengah mereka tiba di Malaya dengan menjadi buruh di estet-estet milik Jepun terutama di Pengerang, Kota Tinggi. Orang-orang Boyan ini bagaimanapun jarang terdapat di sebelah utara Semenanjung.

Manakala itu orang Bugis pula lebih banyak ditemui di sekitar Kukub dan Senggarang. Mereka nampaknya mengikut tabiat lama dengan memilih untuk tinggal di pesisir pantai. Mereka melakukan antara lain kerja penyeludupan getah. Menurut pemerhatian Ramsay, orang Bugis ini sedikit cepat baran dan selalu atas teguran atau usikan nakal kecil akan berpenghujung dengan pencak bersilat dan bunuh membunuh.

Mata kami bulat. Mulut kami tidak terkatup mendengar pengkisahan cikgu sejarah.

Orang Jawa, kata cikgu sejarah kami lagi, memetik Ramsay; ramai di Sembrong. Sedikit jumlah orang Jambi di bawah pimpinan Radin Hanafi ikut berkumpul di Simpang Kiri dan Simpang Kanan. Bersama-sama orang Banjar, keturunan Jawa juga hidup berdekat-dekat sesama sendiri di Tanjong Karang.

Pemerhatian Ramsay selaku orang putih memang simplistik. Masyarakat Jawa di Sepang membawa ke Sabak Bernam selalunya dikesani lebih sihat berbanding orang Melayu Asli. Hal ini ada penjelasan yang lebih panjang. Sedikit sebanyak bersebabkan cara makan dan cara hidup. Ramsay menulis begini:

‘The Selangor coast from Sepang to Sabak Bernam is largely Javanese with a fair sprinkling of Banjarese in the Tanjong Karang area. Indigenous Malays are in the main confined to the riverine kampongs and to Batu Laut, Jeram and Ujong Permatang. In the mukim of Jeram a marked contrast is observable between the Malays in the coastal strip and the Javanese in the hinterland of Bukit Kuching. The former live by fishing and the produce of some over-age coconut holdings, and for their diet are almost entirely dependent on purchases from Chinese shops. Their general health is poor and contrasts forcibly with the coarse vitality of the Javanese who grow their own vegetables.’ (121)

Jawa sebagai buruh di ladang kelapa juga boleh ditelusuri sehingga ke Bagan Dato dan dipanggil sebagai Orang Greemen. Orang Indonesia di Kedah pula terdiri dari suku lain. Di sana terdapat lebih ramai orang Acheh, terutama di Yan, Langkawi dan Kuala Ketil. Di Baling pula terdapat orang Patani. Pahang merekodkan jumlah orang Rawa yang juga asalnya dari Sumatera.

Kawasan yang benar-benar dapat dianggap tumpuan pendudukan orang Melayu (yang tulen Melayu) adalah di Province Wellesley (Seberang Perai), juga di kawasan Pantai Timur Semenanjung. Ramsay juga berpendapat, orang Melayu di Melaka dan Negeri Sembilan adalah juga Melayu sebenar – memandangkan jika pun mereka itu orang Minang – mereka telah datang sejak era sebelum penaklukan Portugis;

‘Malacca with Negri Sembilan can be regarded as an enclave of indigenous Malays, as the Menangkabau were on the ground at the first advent of the Portuguese.’ (120)

Cikgu sejarah menegaskan dengan suara menekan, ‘Makanya, tidak banyak beza orang Jawa dengan orang Cina. Mereka datang dengan niat untuk mencari kebaikan dalam hidup, memakmurkan hayat, dan memburu rezeki’.

Ramsay menyimpulkan dalam laporan kerja lapangannya itu ‘Indonesians in Malaya’ begini:

‘While the immigration of Javanese into Malaya could be reasonably attributed to economic causes it can I think be claimed as a striking tribute to the popularity of Malayan administration that large groups from areas where new land of better quality than the general run of Malayan soils was available at no great distance should cross the seas and cut themselves off irrevocably from their place of birth. Certainly a reversal of the hackneyed Malay cliche hujan mas di-negeri orang, etc.’ (123)

Jadi, cikgu membenarkan pilihan Kim. Sugu terpaksa akur. Murid-murid yang berbantahan di dalam kelas tadi serasa insaf.

Kim pun mengkhayalkan dirinya sebagai seorang Jawa. Namanya Masjoyo. Dia berasal dari Ponorogo. Dia mendengar daripada kawan-kawannya yang Tanah Melayu menyediakan peluang. Ketika itu awal abad ke-20. Peluang yang dimaksudkan teman-temannya itu adalah peluang menjadi buruh di ladang kopi, ladang getah dan lombong bijih.

Kata seorang teman kepada Si Jawa, Simpang Renggam; ‘Janganlah bimbang. Orang di Tanah Melayu tidak melayan kita asing. Kulit kita sawo matang, badan kita juga seperti Melayu, cuma kita lebih tegap-tegap.’

Sesungguhnya dia memang bernasib baik. Ini kerana konsep siapa Melayu dan siapa bukan Melayu baru diciptakan Inggeris, iaitu pada tahun 1824. Tujuannya, supaya penjajah dapat membezakan siapakah yang penduduk asli dan siapa pula yang datang dari luar.

Sebetulnya apabila Inggeris menetapkan siapa yang Melayu dan siapa yang tidak itu, penjajah mempunyai maksud menghina. Ini kerana Melayu dibibitkan dengan orang kampung, taat kepada raja atau pemerintah, tidak terbuka dan sempit beragama, selain malas. Mujur ada Munshi Abdullah yang lebih cenderung mengelompokkan Melayu sebagai orang yang menggunakan bahasa Melayu dalam kalangan penduduk Kepulauan Melayu. Jika tidak kerana Munshi sudah tentu identiti Melayu itu hanya diukur berdasarkan tidak derhaka kepada raja semata-mata.

Kebetulan Masjoyo beragama Islam, Shafie; maka lebih cepatlah dia diterima. Padahal dalam kepercayaan Masjoyo itu ada yang agak asing daripada orang Melayu sebenarnya. Ini kerana dia itu percaya kepada Jumaat Keliwon dan semangat Kejawen amat kukuh dalam dirinya.

Kerja Masjoyo tidaklah mudah, dia seorang buruh ladang getah di Batu Pahat. Pagi-pagi dia sudah bingkas untuk menoreh, pernah terserempakkan babi hutan mengejar dan menyondol. Sekali dia hampir diserbu harimau. Dia mencurah getah dalam baldi; mengutip sekerap; menggelek getah jadi keping, menjemur di tengah panas dan mengulanginya lagi dan lagi saban minggu dan tahun.

Tiada yang perlu dirisaukan Masjoyo. Mujur ketika itu tiada orang menagih pasport kerana pasport itu sendiri apa tidak diketahui orang. Pasport itu satu ciptaan baharu manusia dengan negara bangsa.

Masjoyo pulang beberapa kali ke Ponorogo, dia mengahwini Leman Gundol dan membawa isterinya ke Tanah Melayu. Maka kehidupannya sebagai lelaki terjaga oleh nasi ambeng, sambel godok dan pecal leley. Perlahan-lahan mereka juga bertutur dalam bahasa Melayu dengan jiran dan orang kampung. Mereka juga dilihat Inggeris sebagai Melayu. Malah mereka rasa beruntung disebut Melayu, kerana jika dibidik sebagai Cina atau India, keturunan mereka tidak akan beroleh kemudahan hari ini.

Ketika pendudukan Jepun, Masjoyo dianiaya. Dia dituduh talibarut Inggeris kerana pernah bekerja di sebuah ladang milik British. Selepas dibebaskan dari kurungan dan seksaan, Masjoyo membawa keluarganya ke Simpang Renggam dan meneroka tanah, membina rumah. Apabila Ladang Washington yang terkenal di Simpang Renggam itu dibuka pada tahun 1952 dia beroleh pekerjaan sebagai buruh bersama-sama dua ratus lagi kuli dan pekerja am.

Demikian Masjoyo menjadi orang Melayu tanpa sedarnya. Anak-anaknya berjaya sebagai manusia. Semua anak-anaknya perempuan kecuali yang bongsu lelaki, diberi nama Zahid.

Sebelum meninggal dunia dalam tahun 1974, Masjoyo sempat memesan zuriatnya agar sentiasa bersyukur dengan Tuhan yang memberi mereka bumi bertuah ini. Masjoyo percaya jika tidak kerana orang Melayu di Johor menerimanya dengan baik dan penuh budi sekali, Jawa sepertinya akan terbuang.

Satu-satunya cabaran dihadapi Masjoyo ialah pada 17 Ogos 1964 apabila tentera payung terjun Indonesia mendarat di Labis ketika Konfrontasi. Dia takut seketika. Ini kerana dia asal Ponorogo. Dia tidak percaya kepada Ganyang Malaysia. Dia adalah kini rakyat Malaysia. Nasibnya baik kerana dia tidak dikecam dan diperlakukan buruk. Dia malah dilindungi orang Simpang Renggam.

Pernah seketika ada Melayu yang mengejeknya sebagai ulat Mejar Benny Moerdani, ketua tentera Indonesia yang menyusup masuk menyerang Tebedu di Sarawak. Kim, Cina peraih hasil getah di Layang-Layang segera menyanggah. ‘Lu orang jangan main-main. Masjoyo itu orang kita, orang Malaysia.’

Sejak itu Kim jadi kawan baik Masjoyo. Malah anak-anak mereka masuk universiti yang sama kemudiannya di Kuala Lumpur.

‘Kita semua tercipta di bumi lain untuk menikmati keindahan di bumi ini.’ Kata Masjoyo satu ketika kepada Zahid. ‘Jangan kamu merompak hasil bumi ini, dan menganiaya orangnya. Kita Jawa bukan pencuri. Kita datang terhormat dan dirai.’

Masjoyo amat percaya, sempadan dan kelainan budaya bukan sangat hal utama. Yang paling penting adalah rasa manusiawi sesama insan.

‘Aku, Jawa Simpang Renggam.’

Komen