16 Ogos 2021. 532 hari selepas Muhyiddin Yassin menjadi Perdana Menteri Malaysia ke-8, merampas tampuk pemerintahan dan mengkhianati mandat rakyat; beliau meletakkan jawatan setelah hilang majoriti Ahli Parlimen yang menyokong beliau.
532 hari yang sangat panjang. 532 hari yang menyaksikan barisan kabinet paling ramai namun tidak efektif, lantikan berbaur politik yang tidak membawa faedah kepada rakyat dan negara, percaturan politik di negeri-negeri dan klimaksnya di Sabah yang telah menyebabkan berlakunya Pilihan Raya Negeri Sabah yang sehingga kini natijahnya dirasai sepelusuk negara dengan peningkatan kes Covid-19 saban hari tiada surutnya. 532 hari yang menyaksikan SOP carca marba yang mengakibatkan hidup rakyat merana. Tidak perlu kuarantin katanya. Kes melonjak, rakyat jadi mangsa.
532 hari menyaksikan seorang Perdana Menteri yang tidak berani bertemu wartawan secara langsung untuk sidang akhbar. 532 hari yang menyaksikan para menteri dan politikus yang berkait dengan rejim Perikatan Nasional bermaharajalela. 532 hari yang membuktikan wujud kasta dan darjat dalam hidup ini. Manakan kayangan sama dengan mereka yang bawahan.
532 hari yang akhirnya menyumbangkan kepada 12,784 kematian akibat ketidakcekapan kerajaan di bawah seorang Perdana Menteri menguruskan krisis kesihatan. 532 hari yang menyaksikan para doktor mengadakan hartal dan satu demi satu akhirnya meletakkan jawatan di saat negara paling memerlukan khidmat mereka. Namun kita akur, kerana rejim di bawah pemerintahan Perdana Menteri ke-8 ini tidak pernah peduli. Katanya prihatin, namun ramai yang merintih dan merayu untuk meneruskan kehidupan mereka. Segala rintihan ini bagaikan tidak didengari sepanjang 532 hari ini. Kadang-kadang kita tertanya-tanya, apakah bahasa yang mereka tuturkan kerana mereka tidak memahami bahasa derita. Derita. Hilang kerja. Hilang saudara. Hilang sahabat. Hilang kewarasan dalam fikiran. Sehingga ada yang sanggup hilang nyawa. Ya, mereka hilang nyawa.
532 hari yang menyaksikan rakyat hanya ada rakyat untuk saling membantu untuk kelangsungan hidup masing-masing. 532 hari yang menyaksikan anak-anak tidak dapat hadir ke sekolah untuk belajar bahkan menjalani kehidupan seperti kanak-kanak lain kerana menteri yang diberikan tugas seakan-akan tidak mengerti dan tahu apa yang perlu dilakukan beliau. 532 hari yang menyaksikan janji 150,000 laptop untuk mereka yang memerlukan lebur begitu sahaja.
532 hari yang menyaksikan rakyat yang bersuara diseret ke “muka pengadilan”. 532 hari menyaksikan cubaan demi cubaan mendiamkan suara rakyat. Intimidasi mula diguna pakai semula. 532 hari yang menyaksikan ahli Parlimen dihalang untuk menjalankan tugas mereka di parlimen. 532 hari yang menyaksikan darurat yang kononnya untuk membendung penularan kes COVID-19 tapi sebenarnya untuk meraih kedudukan dan kekuatan politik semata. 532 hari yang menyaksikan penderhakaan kepada Yang di-Pertuan Agong oleh pemimpin rejim ini. Iya, 532 hari yang penuh cabaran untuk rakyat Malaysia. Untuk demokrasi Malaysia.
Kini, selepas 532 hari, masa depan masih tidak pasti. Jangan seronok lagi! Muhyiddin Yassin masih lagi Perdana Menteri walaupun hanya sementara. Penggantinya masih tidak dapat dicari. Adakah musibah atau rahmat, itu belum pasti. Tapi yang pasti kita berjaya lepasi 532 hari yang panjang ini. Tidak tahulah selepas ini berapa hari lagi baru kita temui bahagia dan kemenangan. Menang membela demokrasi. Menang melawan pandemik.
Kita mesti menang untuk menebus 532 hari yang dah kita rugi.
Pernah berkhidmat sebagai pegawai khas parlimen dan dasar kini menceburi bidang korporat. Extrovert. Memasak adalah terapi dan masih single.