Yang Kaya Makin Kaya, Yang Miskin Makin Miskin

Beberapa hari lalu saya luangkan masa menonton Persidangan Parlimen Khas yang sepatutnya berlangsung selama 5 hari sehingga 2 Ogos 2021. Ini merupakan kali pertama saya menonton persidangan secara langsung sejak kali terakhir menonton Persidangan Parlimen pertama selepas Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran pusat pada 2018.

Bagi saya, perbuatan menonton Persidangan Parlimen di Malaysia adalah antara perkara yang wajar untuk dihindari. Hal ini bukan kerana saya tidak mahu mendengar hujah-hujah, saranan-saranan mahupun buah fikiran para pemimpin politik tetapi lebih kepada keengganan saya untuk mendedahkan pandangan mata suci saya dari melihat tingkahlaku jelek, kesamsengan dan kurang bertamadun pemimpin politik tua gila kuasa.

Namun apa yang menarik perhatian saya adalah ucapan penuh empati daripada Ahli Parlimen berusia 29 tahun yang mewakili Parlimen Muar. Beliau yang saya maksudkan adalah Yang Berhormat Syed Saddiq, pengasas parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA).

Saya sifatkan ianya sebagai ucapan penuh empati adalah kerana ucapan beliau tersebut menyentuh topik yang sejak sekian lama menjadi kegemaran dan juga kerisauan saya, iaitu ketidakadilan ekonomi dan sosial.

Dalam ucapan beliau, beliau menyentuh secara jelas mengenai fenomena yang kaya makin kaya, dan yang miskin makin miskin. Menurut kenyataan beliau, dua perkara saling bertentangan sedang terjadi di negara ini yang menyumbang kepada fenomena ini.

Pertama, purata gaji rakyat Malaysia telah menurun sebanyak 17%, dan kedua, purata nilai kekayaan 50 orang terkaya Malaysia meningkat sebanyak 14%.

Lihatlah statistik ini, di kala belasan juta rakyat Malaysia sedang mengalami penurunan taraf hidup yang disebabkan sama ada kurangnya bayaran upah pekerja atau malah kehilangan pekerjaan secara total, sebahagian kelompok lain pula sedang selesa menikmati peningkatan nilai kekayaan peribadi.

Malahan beberapa minggu lalu, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan dapatan tinjauan mereka yang mendapati bahawa gaji penengah bagi pekerja di Malaysia pada tahun 2020 telah jatuh sebanyak 15.6% kepada RM2,062 sebulan. Hal ini sangat berbeza berbanding pada era pra-pandemik dimana gaji penengah pekerja di Malaysia berada pada paras RM2,442 sebulan pada 2019, yakni peningkatan sebanyak 5.8% dari tahun sebelumnya.

Sesungguhnya YB Syed Saddiq bukanlah orang yang pertama membangkitkan isu ini. Sebelum ini, sudah ramai ahli ekonomi dan sarjana yang membangkitkan isu sama. Banyak cadangan dan pendapat yang telah dilontarkan bagi mengatasi atau sekurang-kurang membendung masalah ini daripada berlaku lebih teruk.

Pada April lalu, Pensyarah Ekonomi Universiti Utara Malaysia, Prof Madya Dr Irwan Shah Zainal Abidin, dipetik akhbar Berita Harian menyatakan bahawa ketidakstabilan ekonomi, penurunan paras gaji, peningkatan kadar pengangguran dan pengecilan operasi syarikat oleh majikan-majikan kesan daripada pandemik Covid-19 telah membawa kepada peningkatan jumlah B40 di negara ini. Peningkatan jumlah B40 dan menurunnya jumlah M40 sudah tentu akan memberi kesan langsung kepada pembangunan sosial dan ekonomi negara.

Tambahan itu, dalam Siri Keempat Kajian Keluarga di Pinggiran, Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dan Tabung Kependudukan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFPA) yang dikeluarkan pada Mei 2021 telah mendapati bahawa pengangguran dalam kalangan ketua keluarga yang menyertai kajian itu berada pada kadar 2.5 ganda lebih tinggi berbanding pra-krisis.

Lebih menyayat hati, keadaan ini telah memberi kesan kepada kehidupan seharian mereka sehingga ada segelintir daripada mereka gagal memenuhi barangan keperluan asas seperti makanan seimbang dan keperluan pendidikan anak-anak selain tidak mampu membayar bil utiliti, hutang rumah dan sewa tempat kediaman.

Di peringkat dunia, Bank Dunia pada Oktober tahun lepas misalnya telah melaporkan bahawa pandemik Covid-19, bersama-sama dengan masalah perubahan iklim akan menyebabkan sekurang-kurangnya 150 juta orang penduduk dunia jatuh ke dalam kategori miskin tegar. Jumlah 150 juta orang ini adalah merupakan peningkatan hampir sekali ganda daripada jumlah miskin tegar pada tahun 2019 yang hanya berjumlah lebih 80 juta.

Dalam masa yang sama juga, pihak Program Makanan Dunia, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), pada Julai 2020 telah melaporkan bahawa seramai 138 juta penduduk di seluruh dunia mengalami masalah kelaparan disebabkan pelbagai faktor termasuk kekangan kewangan yang disebabkan oleh penurunan sumber pendapatan dan masalah logistik proses import-eksport makanan yang menjadikan penduduk yang berada di kawasan luar capaian memiliki kesukaran mendapatkan bekalan makanan keperluan.

Namun apa yang paling menarik adalah, di kala sebahagian besar masyarakat dunia mengalami sengsara dan derita akibat pandemik Covid-19 ini, sekelompok kecil individu tetap meraih keuntungan yang malahan lebih besar daripada waktu biasa. Pandemik yang berlaku pada kali ini seolah-olah durian runtuh bagi mereka.

Menurut Laporan Senarai Billionair Dunia Tahunan Forbes ke-35 (2021) yang dikeluarkan pada April lalu, golongan hartawan bertaraf billionair di dunia menikmati peningkatan kekayaan sebanyak lebih $5 trillion di antara tempoh Mac 2020 sehingga Mac 2021. Nilai kekayaan keseluruhan mereka melonjak daripada $8.04 trillion kepada $13.10 trillion dalam tempoh 12 bulan sahaja.

Orang paling kaya di dunia, Jeff Bezos pulak dikatakan mencapai nilai kekayaan sebanyak 57% lebih tinggi daripada era sebelum pandemik, yakni menyaksikan peningkatan kekayaan daripada $113 billion kepada $178 billion secara keseluruhan.

Secara keseluruhan, laporan juga menyatakan bahawa jumlah pemegang status billionair di dunia bertambah sebanyak 54% dari tahun sebelumnya, yakni seramai 660 orang. Ini menjadikan jumlah orang billionair di dunia pada 2021 adalah sebanyak 2,755.

Sebagai perbandingan, Senarai Billionair Dunia Tahunan Forbes ke-34 (2020) melaporkan bahawa nilai keseluruhan kekayaan golongan billionair dikatakan telah menurun sebanyak 8% atau $0.7 trillion daripada $8.7 trillion pada tahun 2019. Jumlah pemegang status billionair di dunia pada tahun 2020 juga berkurang sebanyak 3% dari tahun 2019, yakni penurunan jumlah seramai 58 orang kepada 2,095 orang daripada sejumlah 2,153 tahun sebelumnya.

Sudah tentu peningkatan kekayaan di kala pandemik ini tidak berlaku secara kebetulan. Memetik laporan The Inequality Virus: Bringing together a world torn apart by coronavirus through a fair, just and sustainable economy, pemerhati ketidakadilan ekonomi dunia, Oxfam menyifatkan bahawa ketidakadilan sebagai kesan daripada sistem ekonomi yang cacat dan penuh eksploitasi, yang berakar daripada pandangan ekonomi neoliberal dan manipulasi politik oleh golongan elit. Kekayaan mereka meningkat biarpun ketika era pandemik berpunca daripada kegagalan sistemik, baik secara polisi dan undang-undang.

Ini bermaksud ada yang tidak betul tentang cara kita mengatur ekonomi negara. Ada banyak lompong dalam peraturan dan undang-undang serta polisi yang telah dimanipulasi oleh golongan kaya-raya. Lompong yang wujud itu boleh jadi disengajakan untuk memastikan golongan elitis ini terus bersenang-lenang mengaut keuntungan negara. Namun apa yang lebih malang ialah kerap kali aktiviti mengaut keuntungan berlebihan dilakukan dengan mengorbankan kebajikan dan kesejahteraan golongan marhaen.

Mengambil contoh di negara kita, kelompongan itu dapat dilihat secara jelas melalui aktiviti monopoli industri, perilaku rent-seeking dan rasuah. Perbuatan ini juga termasuk layanan tidak bermaruah terhadap golongan pekerja, penafian hak pekerja, pembayaran gaji yang tidak setimpal dan jarak kadar upah yang keterlaluan antara golongan pekerja bawahan dan eksekutif di peringkat teratas syarikat.

Menurut laporan itu lagi, jika tidak dibendung sebaiknya, kesan masalah ekonomi yang berlaku disebabkan Covid-19 ini akan melumpuhkan pembangunan negara. Peningkatan tahap kemiskinan dan pelebaran jurang kekayaan masyarakat boleh membawa kepada penurunan kualiti pendidikan dan kesihatan masyarakat, penurunan tahap kebahagiaan, kesihatan mental dan cara hidup bermaruah selain boleh membawa kepada ketidakstabilan politik, peningkatan semangat perkauman dan aktiviti radikal.

Bukan itu sahaja, jurang yang semakin melebar ini akan menyebabkan berlakunya suasana tidak adil dalam bidang politik dan sosial. Apabila kuasa ekonomi berpusat di kalangan sekelompok individu, ianya akan menjadikan mereka lebih berkuasa dari segi politik. Dengan wang yang banyak, mereka boleh mempengaruhi ahli politik serta proses dalam membuat keputusan politik. Ini sudah tentu akan mengakibatkan lebih banyak ketirisan dan ketidakadilan dari segi penggubalan polisi dan undang-undang yang seterusnya membebankan rakyat bawahan secara keseluruhan.

Apabila polisi dan undang-undang digubal secara berat sebelah dan menguntungkan golongan kaya-raya, ini sudah pasti akan menimbulkan kemarahan rakyat bawahan yang berisiko membawa kepada mudarat seperti hilang keyakinan terhadap kerajaan, syak wasangka sesama sendiri dan ketegangan antara kaum. Akibat dari undang-undang berat sebelah antara lain termasuknya rakyat akan hilang rasa hormat terhadap institusi kerajaan dan undang-undang yang seterusnya boleh membawa kepada semangat anarkis.

Keadaan seperti ini sudah tentu menuntut kerajaan agar bertindak tegas dalam memastikan masalah tahap kemiskinan dapat diatasi dan pelebaran jurang kekayaan dapat dibendung. Kerajaan diharapkan agar sentiasa bersikap cekap dan proaktif bagi menangani isu-isu tersebut selain terus bekerja keras untuk memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat terus terbela.

Waktu pandemik ini seharusnya digunakan oleh kerajaan menilai tentang daya tahan sistem dan polisi sedia ada dan melakukan pembaharuan yang lebih baik. Pemimpin-pemimpin politik tidak seharusnya cuba menutup pekung yang sudah sepenuhnya ditelanjangkan oleh pandemik Covid-19 ini. Bertindak tegaslah agar keharmonian, kesejahteraan dan kestabilan negara kita ini dapat dipertahankan.

Komen