Dalam politik Malaysia, kadang-kadang sejarah dijadikan bahan bakar kepada api yang sudah hampir padam. Begitulah yang sedang berlaku di Kedah apabila Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor dalam sidang DUN baru-baru ini menzahirkan hasrat bahawa negeri itu mempunyai asas sejarah untuk “menuntut semula” Pulau Pinang. Katanya, penyelidikan lebih 20,000 helaian sudah hampir siap, kononnya membuktikan hubungan Kedah–Pulau Pinang yang tidak pernah terputus. Kedengarannya ilmiah, tapi dalam dunia politik Malaysia, setiap helaian sejarah sering disusun untuk satu tujuan yang lebih besar: kuasa.
Antara Nostalgia Dan Realiti Hari Ini
Hubungan Kedah dan Pulau Pinang bukan sekadar nostalgia, tetapi fakta sejarah. Sekitar tahun 1786, Sultan Abdullah Mukarram Shah dari Kedah memberikan Pulau Pinang kepada Francis Light, seorang pegawai Syarikat Hindia Timur British, sebagai balasan kepada perlindungan daripada ancaman Siam dan Burma. Janji itu tidak pernah dipenuhi dan Pulau Pinang akhirnya dijajah sepenuhnya oleh British tanpa sebarang bayaran tetap yang setimpal. Dalam tempoh berikutnya, Kedah kehilangan lebih banyak wilayahnya termasuklah Seberang Perai (ketika itu Province Wellesley) dan kemudian Satun serta Phuket kepada Siam melalui Perjanjian Burney dan Perjanjian Bangkok.
Sejak itu, sejarah mencatatkan Kedah sebagai negeri yang mengecil kerana permainan kuasa antara penjajah dan kuasa serantau. Tetapi selepas kemerdekaan pada tahun1957, Kedah dan Pulau Pinang sama-sama menjadi sebahagian daripada satu entiti baharu iaitu Persekutuan Tanah Melayu, dan kemudiannya Malaysia pada tahun 1963. Sejarah menjadi sejarah; yang tinggal hanyalah sempadan baharu, perlembagaan baharu dan rakyat baharu yang berkongsi nasib di bawah bendera Jalur Gemilang.
Realitinya, Kedah dan Pulau Pinang kini adalah dua negeri berbeza di bawah satu sistem persekutuan. Pulau Pinang mempunyai pentadbiran sendiri yang dipilih rakyatnya, sama seperti Kedah. Kedua-duanya diikat oleh Perlembagaan Persekutuan yang jelas menetapkan sempadan antara negeri. Segala bentuk perubahan sempadan atau penggabungan wilayah hanya boleh dilakukan melalui pindaan perlembagaan, yang memerlukan majoriti dua pertiga di Parlimen dan persetujuan Majlis Raja-Raja.
Dengan kata lain, “tuntutan sejarah” tidak membawa sebarang implikasi undang-undang tanpa proses perlembagaan yang sah. Pulau Pinang bukan lagi tanah jajahan Kedah; ia kini negeri berdaulat dalam konteks persekutuan. Menuntutnya semula adalah sama seperti Johor atau Malaysia menuntut semula Singapura, suatu nostalgia yang mungkin manis di bibir, tetapi tidak berpijak di bumi nyata.
Kenapa Pulau Pinang (Dan Bukan Perlis)?
Namun satu persoalan menarik: jika benar ini soal sejarah, mengapa Kedah tidak menuntut Perlis sekali? Bukankah Perlis juga pernah menjadi sebahagian daripada Kedah sebelum 1843? Kenapa Pulau Pinang, negeri yang kebetulan diperintah parti berasaskan majoriti bukan Melayu, yang menjadi sasaran?
Persoalan ini tidak boleh dielak daripada tafsiran perkauman. Walau bagaimana sekalipun politikus cuba menutupnya dengan retorik sejarah, realitinya tuntutan ke atas Pulau Pinang mempunyai nilai politik yang tinggi dalam medan perkauman semasa. Ia mengusik sentimen Melayu di Kedah, yang mudah diadun dengan naratif “kita pernah besar, tapi dirampas bangsa lain.” Ia bukan lagi tuntutan sejarah, tetapi sudah menjadi satu alat emosi yang dimainkan demi survival politik sebuah kerajaan negeri yang gagal.
Jelas tuntutan ini hanyalah satu mainan politik. Sanusi bukan ahli sejarah, beliau ahli politik. Dalam lanskap Kedah hari ini, di mana kerajaan negeri di bawah Perikatan Nasional perlu terus menonjolkan keabsahan moral dan politiknya, isu tuntutan Pulau Pinang ini datang tepat pada masanya. Ia memberi imej “pahlawan negeri” kepada Sanusi, seorang pembela maruah Kedah yang kononnya dicuri sejarah.
Naratif ini berfungsi untuk mengalih perhatian daripada isu yang lebih dekat dengan rakyat seperti masalah air, ketiadaan peluang pekerjaan, kegagalan kerajaan negeri menarik pelaburan serta masalah kemiskinan khususnya di kalangan petani yang masih membelenggu. Ia juga menyatukan penyokong di bawah panji semangat kenegerian, satu strategi lama dalam politik Malaysia: apabila pentadbiran gagal, mainkan sentimen asal-usul. Ia tidak ubah seperti memetik lagu patriotik lama untuk menutup bunyi retak ekonomi di bawah pentadbiran sendiri.
Bahaya Perpecahan Persekutuan
Isu ini jika tidak dikawal, boleh membawa kesan domino yang berbahaya. Bayangkan jika negeri lain turut menggali sejarah lama untuk menuntut wilayah “asal” mereka. Johor mungkin mahu menuntut semula Singapura, Kelantan mungkin mengintai Besut, dan Negeri Sembilan pula mungkin mahu menuntut semula wilayah yang kini berada di bawah pentadbiran Johor, Melaka, Pahang dan Selangor. Jika logik sejarah digunakan sebagai asas tuntutan wilayah, maka Persekutuan Malaysia akan runtuh di atas nama nostalgia.
Dari segi perlembagaan, apa yang dicadangkan oleh Menteri Besar Kedah itu hampir mustahil. Ia memerlukan pindaan kepada Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan dan peta sempadan yang diwartakan. Apa yang lebih parah — ia menimbulkan persoalan terhadap konsep federal integrity yang menjadi tunjang Malaysia sejak 1963. Dalam erti kata lain, bermain api sempadan ini bukan sekadar soal sejarah, ia juga menggugat kestabilan nasional.
Tambahan pula, apabila sebuah kerajaan negeri mula bertindak seolah-olah sempadan persekutuan boleh dipertikai, ia menanam benih ketidakpercayaan terhadap sistem negara. Ia memberi mesej bahawa kesetiaan kepada federasi boleh ditarik balik apabila tidak menguntungkan secara politik. Dalam konteks negara berbilang kaum seperti Malaysia, ini sangat berbahaya kerana ia membuka ruang kepada retorik kenegerian dan etnonasionalisme yang mampu menggugat perpaduan nasional yang sudah rapuh. Apa yang bermula sebagai isu “hak sejarah” boleh berakhir sebagai percikan kepada perpecahan identiti persekutuan.
Renungan Buat Semua
Negara ini tidak ketandusan politikus yang pandai bermain isu agama dan kaum. Nah, kini kita sudah ada seorang lagi politikus yang pandai pula bermain isu sejarah demi undi. Semuanya demi menutup kegagalan pentadbirannya sendiri, yang gagal menulis sejarah baharu tentang kemajuan, keadilan dan perpaduan.
Tuntutan Kedah terhadap Pulau Pinang mungkin kedengaran patriotik di telinga penyokong Sanusi dan Perikatan Nasional, tetapi dari sudut realiti ia tidak lebih daripada percubaan menghidupkan nostalgia semangat kenegerian untuk kepentingan politik jangka pendek. Malaysia dibina di atas prinsip persekutuan, bukan nostalgia. Apabila semangat sejarah dijadikan senjata politik, kita sedang bermain dengan bara yang boleh membakar rumah sendiri.
Dan selagi api nostalgia itu disuapkan dengan minyak politik, Malaysia akan terus bergerak ke belakang sambil mendabik dada kononnya sedang mempertahankan maruah masa silam.

Lucius Maximus adalah seorang penulis dengan tiga buku setakat ini, Cerita Piala Dunia 2010, Cerita Malaysia Tidak Ke Piala Dunia dan Maaf Aku Bukan Lagi Leon Trotsky Kamu Semua. Beliau aktif berkicau di Twitter dalam isu-isu yang mendesak.