Secara umumnya, urbanisasi merupakan proses perubahan sesebuah kawasan daripada luar bandar menjadi bandar akibat penghijrahan penduduk dari desa ke bandar. Sejak era pra-merdeka, Malaysia telah mengalami gelombang urbanisasi yang besar dengan dasar pembangunan ekonomi dan pelaburan asing yang menarik penduduk menuju bandar-bandar utama seperti Kuala Lumpur, Johor Bahru dan Pulau Pinang Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), kadar urbanisasi negara dianggarkan 75.5% pada tahun 2022 lalu meningkat lagi kepada 79.2% pada tahun 2024 menjadikan Malaysia sebuah negara yang semakin pesat membangun dari segi struktur penempatan. Fenomena ini telah mencetuskan pelbagai perubahan dalam gaya hidup masyarakat, termasuk dalam aspek sosial, politik dan ekonomi.
Urbanisasi membawa transformasi sosial yang ketara dalam struktur keluarga dan nilai masyarakat desa. Proses perbandaran telah menyebabkan perubahan dalam fungsi dan jalinan kekeluargaan sehingga melemahkan institusi keluarga. Peningkatan migrasi ke bandar mengurangkan masa bersama ahli keluarga dan mengubah bentuk keluarga besar kepada keluarga nuklear. Perubahan ini turut dikaitkan dengan peningkatan kadar penceraian dan tekanan mental dalam kalangan masyarakat. Pertukaran daripada keluarga besar kepada keluarga nuklear menyebabkan beban penjagaan tertumpu kepada bilangan individu kecil dan mewujudkan fenomena generasi “sandwich”.
Selain itu, nilai kolektivisme seperti gotong-royong semakin berkurangan dan digantikan dengan nilai individualistik dan materialistik akibat gaya hidup moden di bandar. Sejurus proses urbanisasi berlaku, hubungan masyarakat desa yang dahulunya rapat dan saling bergantung kini berubah menjadi hubungan yang lebih longgar dan berorientasikan kepentingan sendiri seperti yang dijelaskan oleh Durkheim. Oleh itu, amalan gotong-royong perlu terus dibudayakan bagi mengeratkan hubungan sosial dan meningkatkan kesedaran masyarakat.
Transformasi sosial ini turut jelas dalam sektor pendidikan dan teknologi komunikasi. Peningkatan tahap pendidikan dan kemajuan teknologi telah memperluas mobiliti sosial dan peluang pekerjaan. Perkembangan teknologi maklumat seperti internet dan telefon pintar membolehkan masyarakat luar bandar berhubung dengan dunia luar dan meningkatkan aspirasi pendidikan. Contohnya, urbanisasi di Pulau Pinang mendorong pertumbuhan industri teknologi tinggi di Bayan Lepas berhasil mempercepatkan penyediaan kemudahan pendidikan digital seperti penggunaan meluas smartboard di sekolah-sekolah. Namun begitu, kemajuan ini turut membesarkan jurang generasi dan menjejaskan identiti budaya masyarakat desa.
Dari sudut sosial, urbanisasi juga membawa kepada perubahan yang besar dalam kesedaran, bentuk interaksi dan penglibatan masyarakat desa dalam kehidupan sosial. Buktinya, golongan muda bersifat lebih terbuka dan berani menyuarakan pandangan berkaitan dengan pendidikan secara lebih menyeluruh. Perubahan sosioekonomi seperti peningkatan tahap pendidikan dan akses kepada teknologi telah membentuk masyarakar yang lebih cakna tentang hak, tanggungjawab dan peranan mereka dalam komuniti.
Dapat kita lihat di Malaysia, struktur kepimpinan tradisional seperti ketua kampung masih wujud. Hal ini dikatakan demikian kerana ia jelas menunjukkan bahawa hubungan antara pemimpin dan masyarakat lebih bersifat terbuka dan tidak bergantung kepada sistem lama semata-mata. Laporan dari Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan bahawa kadar literasi statistik dalam kalangan masyarakat mencatatkan peningkatan sebanyak 96% pada tahun 2022 yang telah menyumbang kepada peningkatan kesedaran sosial masyarakat desa dalam memahami isu semasa yang mempengaruhi kehidupan mereka.
Selanjutnya, pembentukan identiti sosial dan rasa kebersamaan dalam kalangan masyarakat desa juga terkesan ekoran daripada urbanisasi. Perubahan persekitaran sosial dan pendedahan kepada budaya bandar menyebabkan generasi muda dalam masyarakat desa mengalami kekeliruan identiti antara nilai tradisional dan gaya hidup moden di bandar.
Oleh sebab yang demikian, hubungan antara komuniti semakin longgar yang menjurus kepada kelemahan semangat kekitaan dan tanggungjawab sosial dalam masyarakat. Buktinya, aktiviti kemasyarakatan yang sebelum ini menjadi medium pembentukan identiti masyarakat seperti kenduri, perayaan dan aktiviti sukarela semakin kurang disertai. Kesannya, hubungan sosial dalam komuniti desa akan menjadi semakin renggang dan bersifat sementara. Fenomena ini menunjukkan bahawa unbanisasi mengubah struktur sosial dan mencabar pembinaaan identiti masyarakat sosial dalam masa jangka panjang.
Kesimpulannya, urbanisasi merupakan pemangkin utama kepada transformasi sosial dalam masyarakat desa. Transformasi sosial membawa kepada perubahan gaya hidup dan struktur keluarga menuntut penyesuaian masyarakat terhadap nilai baharu. Proses ini mengubah cara masyarakat berinteraksi, membina hubungan dan juga mempengaruhi identiti sosial serta peranan individu dalam komuniti. Oleh itu, kejayaan urbanisasi tidak hanya diukur melalui kemajuan fizikal tetapi juga keupayaan masyarakat desa menyesuaikan diri dan menikmati pembangunan secara adil dan saksama sambil mengekalkan identiti dan kesejahteraan sosial.
(Artikel ini tulis oleh Nur Alya Sofiya Binti Ahmad Nasir Kun dan Dr. Velan Kunjuraman dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusian, Universiti Kebangsaan Malaysia)

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Solidaritas.









