Sekularisme: Ketika Agama Berpaling Daripada Dunia

Agama pada hakikatnya bukan sekadar pelita yang menyuluh kegelapan, tetapi panduan agung yang menata seluruh perjalanan hidup manusia. Ironinya, polemik hari ini bukan lagi digerakkan oleh golongan sekular yang terang-terangan menolak agama tetapi oleh segelintir agamawan sendiri yang menyingkirkan dunia daripada ruang lingkup agama. Mereka memandang urusan ekonomi, politik, pendidikan, dan teknologi seolah-olah hal duniawi yang melalaikan sedangkan hakikatnya ia sebahagian daripada amanah agama yang wajar dipikul dan terang-terangan menjadi sebahagian daripada kisah-kisah para Nabi dan Rasul.

Fenomena yang berlaku ini mengingatkan kita kepada sejarah Barat. Sekularisme di Eropah bukan lahir daripada kebencian membuta tuli terhadap agama tetapi daripada luka sejarah yang Panjang tatkala gereja Katolik pada Zaman Pertengahan telah mengikat akal dengan dogma, menindas ilmuwan dengan propaganda agama, membungkam kreativiti dan mengekang ilmu pengetahuan menerusi fatwa hukum hakam dan pelabelan sesat (herectic) terhadap yang bercanggah dengan arus perdana agama pada waktu itu. Trauma inilah yang melahirkan sekularisme yang realitinya bukan sekadar ideologi pada asalnya tetapi reaksi terhadap kuasa agama yang menolak dunia. Ketika itu, Barat akhirnya memilih jalan pemisahan agama daripada sains, politik, dan ekonomi demi mengejar kemajuan lain tidak lain kerana ingin menikmati cahaya seperti dunia Islam yang ketika itu sedang meniti ambang kemajuan ilmu pengetahuan dan teknologi.

Hari ini, ironinya, ada agamawan Islam yang tanpa sedar mengulangi pola serupa. Mereka menekankan agama hanya pada ritual iaitu sekadar membaca dan menghafal al-Quran, melaksanakan solat dan berpuasa seterusnya membiarkan urusan dunia dibangunkan oleh tangan lain. Lalu, tugas agama mengecil tanpa disedari sekadar menjadi menempel fatwa halal atau haram. Akibatnya, bukan sahaja umat Islam ketinggalan, malah ruang kosong itu diisi oleh sekularisme, kerana agama tidak lagi hadir dalam denyut kehidupan bahkan dilihat seolah-olah mengikat mati mereka yang ingin mengejar kemajuan.

Sejarah Islam sendiri sebenarnya membuktikan sebaliknya. Rasulullah SAW bukan hanya imam di mihrab, tetapi pedagang yang amanah, pemimpin yang adil sesuai sebagai seorang negarawan yang membangunkan Madinah. Saidina Ali bukan hanya pahlawan di medan perang tetapi pentadbir baitulmal yang menjaga hak rakyat. Ketegasan Umar al-Khattab bukan semata-mata membela dan menegakkan syiar agama tetapi melawan kebejatan dan ketirisan yang menghasilkan penindasan. Agama yang tidak dipisahkan daripada dunia sebenarnya telah melahirkan tamadun seimbang di mana ilmu berkembang, ekonomi teguh, dan keadilan tertegak.

Namun, ada agamawan yang masih beranggapan urusan dunia kotor dan tidak suci. Mereka meminggirkan sains, teknologi, ekonomi, dan politik lalu menutup pintu interaksi agama dengan realiti. Hasilnya, lahir pendidikan sempit, ekonomi rapuh, dan politik pincang. Pendidikannya sekadar melahirkan mereka yang tahu hukum hakam tetapi tidak mampu menjadi tonggak hadapan dalam mana-mana bidang yang dikuasai oleh bukan Islam dan mereka yang dianggap “liberal dan sekular” pada masa ini. Ekonominya rapuh kerana kebergantungan tinggi kepada pihak luar bahkan tidak berdaya untuk membantu sesama saudara Islam sendiri. Politiknya pincang kerana diakhirnya politiknya hanyalah politik berteraskan fatwa parti bukan pula penzahiran nilai Islam mahupun kepimpinan berteraskan kenabian (kepimpinan profetik)

Realitinya, Barat sudah pun pernah melalui jalan ini, ketika agama menolak dunia yang menyaksikan masyarakat jatuh dalam stagnasi. Akhirnya, sekularisme pun hadir sebagai penawar pahit dan perit itu. Hari ini, bahaya itu kembali tetapi untuk menghantui umat Islam, bukan kerana musuh luar, tetapi kerana agamawan sendiri yang menjemputnya ke mari.

Sasterawan dan pemikir Islam moden telah lama mengingatkan perkara ini. Zainal Abidin Ahmad (Za’ba) misalnya kerap menyeru agar agama meresap ke seluruh urusan masyarakat, membumi dan tidak semata-mata memandang ke langit. Di Indonesia pula, karya Kuntowijoyo seperti Muslim Tanpa Masjid dan A.A. Navis menerusi Robohnya Surau Kami menjadi amaran getir tentang bahaya meminggirkan dunia dan menawarkan Tindakan yang boleh dilakukan dalam menghadapi isu ini.

Maka timbul pertanyaan yang menggugat, siapakah sebenarnya lebih sekular? Apakah mereka yang lantang menolak agama, atau mereka yang berkopiah dan berjubah tetapi membiarkan dunia tanpa panduan agama? Sekularisme harus kita sedar bahawa ia bukan hanya wujud pada pihak yang menolak, tetapi juga pada mereka yang mengosongkan dunia daripada roh agama.

Dalam pendidikan, jika anak-anak hanya diajar membaca al-Quran tanpa memahami ekonomi, politik, sains, dan teknologi, mereka mungkin taat beribadah tetapi tidak mampu berdiri sebagai umat yang kuat yang memahami nilai agama dalam pada masa yang sama mmenjadi masyarakat yang maju. Dalam politik dan ekonomi, apabila agama hanya menjadi simbol tanpa pengurusan adil, lahirlah kemiskinan dan korupsi. Dalam teknologi, apabila umat leka, ruang itu akhirnya diisi oleh mereka yang melihat agama sebagai penghalang. Akhirnya, agama tinggal nama, tetapi jiwa masyarakat sudah pun tidak ada nilai agama.

Lalu, apakah makna pengasingan agama daripada dunia? Jika hasilnya membiarkan kemunduran, apakah itu selari dengan tuntutan agama?

Kesimpulannya, agama yang hidup mesti menyentuh seluruh sendi manusia iaitu dunia dan akhirat. Agama yang hanya terkurung di mimbar dan kitab hanyalah bayang yang lesu, tidak mampu membebaskan umat daripada kemunduran. Merdeka sebenar bukan sekadar tunduk di ruangan surau dan masjid, tetapi juga berdiri adil di pentas dunia. Sedarlah, sekularisme bukan lagi ancaman dariad luar, tetapi cerminan kegagalan kita sendiri dan mengakui kelemahan ini adalah langkah pertama menuju pembebasan yang hakiki dalam menjadi manusia Islam yang lebih baik sesuai kita yang menyambung perjuangan kenabian itu sendiri.

(Artikel ini adalah hasil tulisan saudara Nur Hisyam dan tidak semestinya mencerminkan pandangan pihak Solidaritas)

Komen