Dalam dunia yang semakin tenggelam dalam lautan algoritma, Malaysia kini melangkah ke fasa baharu dengan pengenalan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (Online Safety Act — ONSA, Akta 866). Ia diuar-uarkan sebagai pelindungan kepada pengguna digital; benteng terhadap penipuan siber, eksploitasi kanak-kanak, buli dalam talian dan penyebaran maklumat palsu. Namun di sebalik janji itu, muncul persoalan besar: adakah akta ini benar-benar mampu menjadikan ruang digital kita lebih selamat atau sekadar satu lagi undang-undang yang indah di atas kertas tetapi hodoh dalam pelaksanaannya?
ONSA memberi kuasa besar kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sebagai pengawal selia tunggal dengan keupayaan mengeluarkan arahan kepada platform global agar menurunkan kandungan yang disifatkan “berbahaya” atau “mengancam keselamatan awam”. Antara kategori yang disenaraikan sebagai kandungan berkeutamaan ialah penipuan dalam talian, eksploitasi seksual kanak-kanak, kandungan kebencian dan maklumat palsu.
Buat pertama kali, penyedia perkhidmatan digital diwajibkan membuat penilaian risiko (risk assessment) terhadap kandungan yang dikongsi pengguna serta melaporkan langkah mitigasi kepada MCMC. Ini selari dengan pendekatan “duty of care” seperti yang diamalkan di United Kingdom, namun dengan sentuhan lokal dimana Malaysia menekankan keselamatan moral dan sosial, bukan sekadar keselamatan data.
Penipuan Dalam Talian
ONSA secara teorinya meletakkan tanggungjawab mencegah penipuan di bahu platform. Contohnya, jika terdapat iklan pelaburan palsu, akaun bot, atau laman penipuan QR, platform mesti menurunkan atau menyekatnya segera. Tetapi cabaran sebenar datang daripada realiti: banyak penipuan berlaku di aplikasi pemesejan tertutup dan transaksi rentas negara, di mana bidang kuasa Malaysia adalah terhad.
ONSA memberikan MCMC kuasa untuk bekerjasama dengan agensi luar dan penyedia antarabangsa, namun keberkesanan sebenar bergantung kepada sejauh mana mereka mahu mematuhi undang-undang Malaysia. Tanpa kerjasama global, pelaku scam tetap bebas walaupun undang-undang kita setebal 300 muka surat.
Buli Siber
Akta ini turut mensyaratkan platform agar mewujudkan sistem aduan dan pemantauan buli siber. Ini penting kerana ia menyentuh soal budaya digital. Di Malaysia, buli siber tidak hanya soal penghinaan, tetapi sering berselindung di sebalik “kebebasan bersuara” atau perbezaan politik. Maka cabarannya bukan semata-mata penguatkuasaan, tetapi bagaimana menyeimbangkan hak bersuara dengan tanggungjawab sosial.
ONSA tidak menghukum pengguna secara langsung, tetapi memberi ruang kepada platform untuk bertindak. Dalam teori, ini wajar. Tetapi dalam praktik, ia membuka ruang kepada tafsiran luas. Adakah kritikan terhadap ahli politik dianggap buli? Adakah sindiran sosial dikategorikan sebagai kandungan menyakitkan? Inilah garis kabur yang perlu diperjelas melalui kod subsidiari dan panduan pelaksanaan yang kini sedang digubal MCMC.
Eksploitasi Kanak-Kanak
Bahagian paling kukuh ONSA ialah perlindungan kanak-kanak. Platform mesti menilai kesesuaian umur, melarang pengiklanan manipulatif dan memantau aktiviti yang berisiko kepada pengguna bawah umur. MCMC sedang membangunkan mekanisme pengesahan umur serta AI-content labelling untuk mencegah penyebaran bahan eksploitasi seksual kanak-kanak (CSAM).
Namun, persoalannya sejauh mana teknologi itu boleh dilaksanakan tanpa melanggar privasi pengguna? Pengesahan umur melalui MyDigital ID atau kad pengenalan misalnya, meskipun efektif, ia menimbulkan risiko pengumpulan data peribadi secara besar-besaran. Di sinilah keperluan keseimbangan antara keselamatan dan kebebasan digital kerana dalam melindungi anak, jangan pula kita membuka ruang kepada pemantauan massa yang melampau.
Maklumat Palsu
ONSA juga menempatkan maklumat palsu, manipulasi identiti, deepfake dan kandungan AI dalam kategori pengawasan. Ini penting dalam era di mana satu video palsu boleh menggoncang kepercayaan rakyat terhadap institusi. Namun, sekuat mana pun undang-undang ia tidak akan mampu menahan kelajuan gelombang disinformasi tanpa masyarakat yang celik digital.
Akta ini boleh menyekat akaun, melabel kandungan atau mengeluarkan amaran rasmi, tetapi kesedaran pengguna seperti kemampuan menilai sumber, mengenal pasti tipu helah dan menolak kebencian digital adalah kunci sebenar. Tanpa itu, ONSA hanyalah payung tanpa pegangan.
Jika dibanding dengan UK Online Safety Act 2023 dan Singapura’s Online Safety (Amendment) Bill 2022, Malaysia berada pada landasan betul tetapi belum sepenuhnya seimbang. UK memberi tumpuan besar pada tanggungjawab syarikat media sosial dan mekanisme penalti yang berat seperti denda hingga 10% hasil global. Singapura pula lebih tegas terhadap penyebaran kebencian dan diskriminasi. Malaysia, walaupun progresif masih menumpukan pada pembangunan instrumen pelaksanaan dan pendekatan kolaboratif, bukannya hukuman drastik.
ONSA 2025 adalah satu langkah besar dan kini ia masih di peringkat permulaan. Undang-undang boleh digubal, tetapi rasa tanggungjawab bersama itulah yang menentukan kejayaannya. Kuncinya ada kerjasama dari semua tiga pihak; platform mesti jujur, kerajaan mesti telus dan rakyat mesti bijak.
Realitinya dalam dunia tanpa sempadan hari ini, keselamatan bukan lagi urusan satu pihak.

Adleen Arleena seorang penyelidik di sebuah agensi sosial serantau. Liberal, demokrat dan sekularis.









