Mengapa Tidak Cukai Keuntungan Modal?

Nampaknya cadangan memperkenalkan Cukai Keuntungan Modal (Capital Gains Tax, CGT) langsung ditolak mentah-mentah. Mungkin inilah akibatnya jika cadangan tersebut datang daripada Pakatan Rakyat.

Sungguh malang bagi negara yang begitu kuat berpolitik ini sehinggakan sebarang cadangan untuk kebaikan negara dinilai dari sudut kecenderungan politik seseorang dan bukannya kerana merit cadangan tersebut.

Antara dua hujah yang dikemukakan mengenai cukai CGT ini adalah ia akan memberikan kesan kepada pasaran modal yakni Bursa Malaysia dan mengurangkan dividen agensi-agensi pelaburan negara. Oleh itu, cukai perkhidmatan dan barangan (GST) adalah lebih berkesan.

Benarkah?

CGT bukanlah pengganti kepada GST. Keduanya diperlukan. Jangan jadikan perbincangan CGT ini kepada CGT vs GST. Ia ibarat MRT vs AirAsia. Keduanya adalah model pengangkutan tetapi berbeza objektif.

Objektif CGT adalah untuk mengurangkan jurang pendapatan. Lebihan kekayaan sesuatu pihak dikenakan cukai dan digunakan untuk membantu pihak yang kurang bernasib baik.

Memang betul pendapat yang mengatakan jika keadaan ekonomi negara tidak bagus, hasil daripada CGT juga terhad. Oleh sebab itu, cukai GST amat diperlukan.

Ini kerana CGT hanya dikenakan jika terdapat ‘realised gains’ atau keuntungan terlaksana. Ini bukanlah hukuman kepada mereka yang telah kaya sebaliknya hanya tertakluk jika yang kaya itu bertambah kaya.

Cukai Keuntungan Modal (CGT) sememangnya akan memberi kesan kepada pasaran modal. Pelabur khususnya spekulator akan menarik balik modal mereka dari Bursa Malaysia. Ini memang boleh dijangkakan kerana mereka melabur untuk jangka masa pendek.

Sungguh pun begitu, ke manakah mereka ini boleh melarikan diri? Hampir kebanyakan negara di dunia melaksanakan cukai CGT.

Pendapat yang mengatakan pelabur akan lari ke Singapura atau Hong Kong jika cukai CGT akan dilaksanakan adalah kurang tepat. Negara tersebut memang dikenali sebagai syurga bebas cukai. Tanpa cukai CGT di Malaysia pun sudah berduyun-duyun orang kaya Malaysia berhijrah ke sana. Contohnya seperti Robert Kuok di Hong Kong dan rakan kongsi Facebook, Eduardo di Singapura. Tuntasnya kita tidak akan boleh menjadi negara syurga bebas cukai seperti mereka.

Pernahkah kita terfikir mengapa di sebalik cukai korporat di Malaysia yang begitu tinggi, tetapi masih ramai pelabur yang datang melabur? Sudah tentu ia berkaitan dengan faktor lain seperti kos menjalankan perniagaan yang murah, iklim politik yang stabil dan kerajaan yang mesra pelabur. Mengapakah kita tidak ‘menjual’ perkara ini kepada pelabur?

Turut terkesan adalah pendapatan rakyat Malaysia di dalam KWSP, ASB, Tabung Haji dan sebagainya kerana agensi pelaburan ini juga akan tertakluk kepada cukai CGT.

Tetapi mengetahui realiti ini, kerajaan selaku pengawal pasaran boleh sahaja melakukan sesuatu untuk mengurangkan impak cukai CGT kepada rakyat kebanyakan yang rata-ratanya mempunyai pelaburan di agensi-agensi tersebut.

Antaranya dengan memberikan pelepasan cukai kepada beberapa pelaburan persaraan atau mana-mana yang dirasakan perlu.

Adakah ini tindakan yang bertentangan dengan pasaran dan tidak selari dengan semangat pasaran bebas? Mungkin. Tetapi harus diingat pasaran semata-mata tidak akan menjaga kebajikan dan kesejahteraan orang ramai. Kerajaan perlu mengubah atau memanipulasi (jika perlu) pasaran demi orang ramai.

Bahkan, pengecualian cukai CGT bukanlah perkara di luar kebiasaan. Ia sudah pun diamalkan ketika ini. Sebagai contoh, pelaburan-pelaburan seperti ASB, ASN, ASN 2, ASN 3, ASW 2020 dan lain-lain telah pun dikecualikan daripada dikenakan cukai pendapatan semenjak 1991 di bawah Seksyen 123(3)(b) Akta Cukai Pendapatan 1967.

Ini menjelaskan mengapa kita semua tidak dikenakan cukai tambahan setiap kali PNB mengumumkan dividen pelaburan. Demikian jugalah dengan dividen KWSP dan Tabung Haji.

Oleh itu, sudah jelas ada sahaja cara untuk mengurangkan impak kepada kerisauan yang ditimbulkan.

Persoalannya yang patut dilontarkan kepada penentang cukai CGT adalah jika kita tidak melaksanakan cukai CGT sekarang, bila lagi? Adakah hanya apabila kesemua sumber kekayaan kita disedut oleh golongan-golongan yang saban tahun kaya luar biasa ini kemudian barulah akan kita laksanakan? Ketika itu, ianya sudah terlambat.

Harus ditekankah bahawa kita bukannya merampas harta mereka ala komunis sebaliknya kita hanya mengenakan cukai terhadap peningkatan kekayaan mereka. Mereka masih kaya.

Cukai GST pula tidak dapat tidak, perlu dilaksanakan. Ini bukanlah kerana 162 negara laksanakan, maka kita perlu laksanakan cukai GST. Jika begini logiknya, harus diingat bahawa Amerika Syarikat tidak ada GST.

Kita perlukan GST kerana ia adalah salah satu sumber pendapatan yang stabil dan berterusan kerana ia bergantung kepada perbelanjaan seseorang. Selagi mana orang ramai berbelanja, selagi itulah ada cukai (baca: pendapatan kepada kerajaan).

Tambahan pula sudah tiba masanya untuk kita kurangkan kebergantungan kepada dividen Petronas. Cukai GST adalah jawapan terbaik setakat ini. Cukai pendapatan dan cukai korporat juga akan diturunkan dengan pengenalan cukai GST.

Jika CGT bersifat pasif, GST pula bersifat reaktif. Kita perlukan kedua-dua cukai ini.

(Artikel ini adalah petikan dari buku Saring Sebelum Mereng)

Komen