Ketauhidan Dalam Persetubuhan

Setubuh. Se-tubuh. Satu tubuh. Kata kerja yang menggambarkan kelakuan intim, biasanya antara dua orang. Fiil ini lazimnya difahami sebagai kemasukan zakar ke dalam faraj bagi pasangan lain jenis, ataupun ke dalam dubur bagi pasangan sama jenis (lelaki). Persetubuhan, yakni percantuman fana badan yang terasing, adalah satu amalan yang mempunyai implikasi besar bagi manusia. Makanya, ia sangat terikat dengan perasaan malu, dan tidak anehlah anggota badan yang terlibat dalam kelakuan ini dipanggil oleh masyarakat Melayu sebagai kemaluan. Tetapi, apa sebenarnya yang menyebabkan manusia melakukan persetubuhan?

Menurut Erich Fromm dalam Art of Loving, manusia dalam kesunyian, dan tujuan hidupnya adalah untuk mengatasi kesunyian tersebut. Lantaran itu, manusia sentiasa mencari orang lain untuk mengurangkan kesunyiannya. Dia membina pertalian dengan orang ramai yang terjelma dalam pelbagai bentuk, seperti hubungan persahabatan, keluarga, dan romantis. Walau fokus saya tertumpu kepada hubungan romantis, saya tidak dapat membincangkannya tanpa menyentuh hubungan yang lain. Kerana, setiap hubungan percintaan tidak berdiri tunggal, bahkan saling berkait, termasuk perihal cinta akan Tuhan.

Dalam Islam, Tuhan itu satu. Selain tafsiran literal fahaman tersebut, Tuhan melambangkan kesatuan insan, kerana daripada-Nya kita datang dan kepada-Nya jua kita akan pulang. Justeru, kehidupan manusia di dunia selalu diibaratkan sebagai perjalanan, di mana pada awalnya kita terasing daripada Tuhan, dan sentiasa mendekati ajal yang akan kembalikan kita kepada-Nya. Dalam perjalanan ini, manusia juga sentiasa cuba mendekati Tuhan di dunia melalui amal soleh dan ibadat, sehingga wujudnya golongan mistik seperti sesetengah penganut Sufi dalam Islam yang meyakini kemampuannya untuk menyatukan diri dengan Tuhan secara sementara melalui ritus tertentu tanpa perlu mati dahulu.

Meskipun keinginan untuk mendekati ini merupakan naluri keberjadian, tidak semua orang menyedarinya. Dalam kejahilan tentang kecenderungannya sendiri, manusia membina hubungan dengan orang lain. Misalnya, lumrah seorang murid taska pada hari pertama persekolahannya adalah untuk berkawan dengan murid-murid lain. Jika ada murid yang tidak melakukan demikian, maka dia dianggap pelik oleh masyarakat. Itulah kebiasaan manusia yang merupakan spesies bersifat sosial. Dia sentiasa ingin mendekati sesuatu, jadi dia bermula dengan mendekati orang lain. Apabila baligh, dia pun mula merasa keinginan sebegini yang lebih kuat sehingga hubungan persahabatan sahaja tidak memadai baginya lagi.

Zaman keremajaan setelah mimpi basah atau haid pertama menjadi permulaan manusia mengalami keghairahan syahwat. Dia pun mula tertarik dengan orang lain, sama ada sama atau lain jantina. Biarpun masyarakat tempatan tidak terbuka tentang hal ini dan mengingatkan anak-anak muda untuk menjauhi perbuatan yang terkutuk, kita tidak boleh menafikan bahawa ia tetap berlaku. Sama ada hubungan sama atau lain jenis, kita hanya perlu merujuk kepada National Health and Morbidity Survey (NHMS) pada tahun 2022 yang menyatakan bahawa 7.6% daripada remaja di Malaysia telah melakukan hubungan seks. Kira-kira 32.8% daripada peratusan itu telah melakukan demikian sebelum mencapai usia 14 tahun. Jelaslah, anak muda punya rasa ingin tahu yang sangat tinggi dan hanya kerana tidak dididik secara informatif oleh orang dewasa dalam kehidupannya, dia mencuba sendiri bersama anak muda lain sepertinya.

Jadi, kenapa remaja, dan secara umumnya manusia, ingin bersetubuh? Jawapan saya mudah: untuk mengalami penyatuan dengan Tuhan seperti penganut Sufi tadi. Secara bawah sedar, manusia dijadikan dengan keinginan untuk kembali kepada Penciptanya kerana itulah asalnya. Manusia mahu kembali bersatu dengan Tuhan, tetapi dalam kekeliruannya, dia bersatu dengan manusia lain. Kesannya, kita dapat lihat ramai orang yang keterlaluan dalam mengidamkan hubungan romantis, walau belum bersedia untuk menanganinya, sehingga menjadikan pasangan segala. Hal ini dicerminkan oleh ketaksuban cinta yang mendominasi arus perdana seperti muzik. Keperitan terakam dalam lirik yang memuja pasangan hingga fenomena putus cinta mampu menggugat emosi seseorang dengan teruk.

Hanya kerana itu, ada yang enggan makan mahupun mandi, rela terperap di dalam kamar sebagai tanda perkabungan terhadap cinta yang sudah tiada.

Kehidupan di dunia adalah satu ujian yang harus dilalui supaya mengenal erti kesyukuran. Akan tetapi, mudah sangat syukur menjadi syirik. Daripada menyembah Tuhan, ramai orang pada hari ini menyembah cinta, meski tidak mengakuinya. Seperti contoh tadi, ramai yang sanggup makan diri, melakukan apa sahaja demi cinta. Pasangan dijadikan berhala sembahan. Hal ini berpunca daripada niat yang tidak betul dalam bercinta. Ramai orang berpasangan kerana ingin melarikan diri daripada kesunyiannya, bukan kerana ikhlas ingin mengongsikan kasih.

Akibatnya, ramai orang tidak belajar bercinta terlebih dahulu, tergesa-gesa menjalinkan hubungan ataupun berkahwin dan akhirnya, hanya menganiayai pasangan serta dirinya sendiri disebabkan kurang kematangan.

Sentimen ini dipegang oleh Fromm yang menekankan kepentingan bagi manusia untuk belajar suatu teori percintaan sebelum bertindak mencintai seseorang. Beliau berpendapat bahawa kita bukan patut memulakan hubungan dengan orang untuk melarikan diri daripada kesunyian, malah kerana menguasai kesunyian tersebut. Manusia perlu belajar membiasakan diri dengan kesunyian kerana itulah waktu untuknya bermeditasi, merenung segala hal agar mencapai kesedaran diri. Orang yang tidak suka akan kesunyian adalah orang yang tidak mahu berhadapan dengan hal-hal yang muncul dalam fikirannya, justeru tidak sedar diri dan belum cukup matang untuk mengadakan hubungan. Pada masa yang sama, kesunyian tidak bermakna keseorangan kerana Tuhan sentiasa ada dengan kita. Seperti yang ditekankan oleh Imam al-Ghazali dalam Kimiya-e Saadat, mengenali Tuhan bermula dengan mengenali diri sendiri. Orang Islam disyariatkan untuk sembahyang supaya meningkatkan kesedaran diri. Hanya dengan mencapai kesedaran diri ini dapat kita memulakan cinta dengan niat yang betul.

Imam al-Ghazali juga boleh dikatakan mempunyai pendirian yang mirip dengan Fromm mengenai keperluan teori percintaan kerana menerangkan hal perkahwinan seperti kelebihan, kekurangan, syarat, dan tugas seseorang terhadap pasangannya dalam tulisan masyhur beliau, Ihya Ulumuddin. Hal ini kerana cinta bukan sekadar perasaan, tetapi meliputi suatu praktis dalam masyarakat. Disebabkan manusia merasai cinta, terbentuknya adat dan cara meluahkan perasaan tersebut. Setiap tamadun menetapkan peraturan tersendiri bagi menangani hubungan percintaan. Makanya, kita memang tidak patut sewenangnya memulakan hubungan dengan seseorang tanpa usaha untuk melengkapkan diri dengan ilmu dan kemahiran yang diperlukan seperti cara berkomunikasi, bertolak ansur, dan memenuhi tanggungjawab terhadap orang lain. Walau bagaimanapun, saya tidak bermaksud yang kita perlu menjadikan cinta perkara rigid.

Cinta merupakan perasaan mentah dalam diri manusia yang mempunyai keliaran. Nescaya, kita harus menjinakkan dan melatihkannya supaya tidak terjerumus kepada kemudaratan. Hal ini bermula dengan mewujudkan pendidikan seks buat anak-anak di rumah dan di sekolah. Pendidikan ini pula bukan terbatas kepada pantang larang masyarakat, tetapi memberi ruang kepada anak muda untuk bertanyakan soalan bagi memenuhi rasa ingin tahunya. Kendatipun Tuhan berfirman agar kita menjauhi perbuatan zina, kita tidak disuruh untuk menjauhi perbincangan mendalam mengenainya. Kelakuan bersetubuh yang menyatukan sepasangan manusia berpotensi melambangkan keimanan kepada kesatuan Tuhan jika dilakukan dengan niat dan cara yang betul. Maka, saya berpendirian bahawa hal cinta yang sedang didambakan oleh masyarakat umum harus dimatangkan dengan membudayakan sikap intelektual terhadapnya. Wallahu A’lam.

Komen