Saya menyeru Ahli Parlimen Bachok, Sdr. Syahir Sulaiman, untuk menjelaskan jika ‘counteroffer’ Belanjawan 2026 Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Hamzah bin Zainudin, itu mempunyai ramuan-ramuan yang beliau inginkan bagi membetulkan asas ekonomi negara atau ia hanya retorik semata-mata. Terlebih dahulu, Syahir telah mendakwa kononnya belanjawan yang dibentang oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim “kurang berani” dalam merombak struktur ekonomi negara.
Namun sebaliknya, orang ramai masih belum dapat melihat perincian kebijakan ekonomi daripada Perikatan Nasional (PN) selaku Kerajaan Menanti. Rakyat dibiar ternanti-nanti, sehingga sudah sampai edisi keempat Belanjawan MADANI, tetapi Belanjawan Bayangan PN masih belum nampak bayangnya lagi.
Sementara PAS dan BERSATU sibuk bermain tarik tali soal ‘poster boy’ dan calon Perdana Menteri PN, Kerajaan MADANI telah pun menggerakkan pelbagai kebijakan ekonomi sejak hujung 2022 lagi.
Sebagai bandingan, Belanjawan MADANI Keempat ini meneruskan iltizam untuk menstruktur semula ekonomi negara menjadi lebih berdaya saing dan berdaya tahan dengan mengimbangi antara tanggungjawab fiskal dan keperluan rakyat. Pengurusan berhemat diteruskan demi kestabilan jangka panjang dan ini menyaksikan defisit menurun daripada 5.5% pada 2022 kepada 3.5% pada 2026, manakala kutipan hasil kerajaan Persekutuan diunjur meningkat kepada RM343.1 bilion.
Usaha mewujudkan peluang kerjaya dengan gaji bermaruah digerakkan dengan memacu sektor bernilai tinggi, teknologi baharu. dan industri hijau yang dapat menghasilkan limpahan kemakmuran buat rakyat Malaysia.
Menerusi pelbagai pelan strategik seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP), Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Pelan Strategik Semikonduktor Kebangsaan (NSS), setiap lapisan masyarakat dapat digembleng bagi merancakkan pembangunan industri berteknologi tinggi yang mampu mencipta peluang pekerjaan berkualiti tinggi.
Sebagai contoh, di bawah NSS, RM550 juta diperuntukkan bagi memperkuku ekosistem semikonduktor dan RM500 juta dana pinjaman disediakan menerusi BPMP untuk aktiviti R&D berimpak tinggi. Kerajaan turut memperkenalkan potongan cukai tambahan 50% diberikan kepada PMKS bagi latihan berkaitan AI dan keselamatan siber yang diiktiraf oleh MyMahir National AI Council for Industry (NAICI) yang diterajui bersama Talentcorp dan MyDigital.
Kesungguhan Kerajaan MADANI meningkatkan kerencaman ekonomi Malaysia juga dizahirkan dengan peruntukan rentas kementerian sebanyak RM5.9 bilion bagi mempergiat aktiviti Penyelidikan, Pembangunan, Pengkomersialan dan Inovasi (RDCI). Ikhtiar GEAR-uP turut ditambahnaik peningkatan pelaburan oleh syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) ke RM30 bilion pada 2026 (berbanding RM25 bilion pada 2025) meliputi projek strategik seperti pembangunan industri semikonduktor dan tenaga baharu, projek warisan negara, program wakaf dan modal teroka.
Jika dibandingkan semua ini, ucapan Hamzah dalam Dewan Rakyat semalam tidak lebih daripada cakap-cakap kosong tanpa asas ekonomi yang kukuh. Maka timbul persoalan: Adakah ucapan belanjawan Hamzah ini sehaluan dengan reformasi yang didambakan Syahir tempoh hari?
Selain itu, parti Hamzah, BERSATU, kini berhadapan dengan pergolakan terbesar sejak penubuhannya berdepan dengan pemecatan dan penggantungan beberapa pemimpin kanan termasuk dua orang ahli parlimen. Jika kemelut ini berterusan dan ‘menempangkan’ peranan PN sebagai Kerajaan Menanti, adakah PAS mengambil alih kepimpinan gabungan itu? Masa akan menentukan.

Iskandar Fareez merupakan Naib Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Kebangsaan dan Ketua DAPSY Bukit Bintang.