“Lupa mereka jalan raya-lebuh raya, bangunan-bangunan, rumah-rumah, sayur-sayuran, ternakan di ladang, produk-produk perabot dan lain-lainnya itu kerja kami.”
Salam sejahtera.
Tuan, puan.
Pernahkah tuan, puan terfikir mengapa rakyat Malaysia sangat bertenang saat sepelusuk jalanan termasuk di Amerika, Eropah, Skandinavia dan belahan dunia lain terbakar tatkala George Floyd, lelaki kulit hitam menemui kematiaannya di lutut seorang penguasa?
Saya kira ada jawapannya.
Cuba lihat cara kita melayani pelarian Rohingya yang baru-baru ini tersadai dalam bot meminta perlindungan. Cuba kita dengar kenyataan Menteri bernama Ismail Sabri berkenaan pekerja asing. Dan jangan lupa mendengar sorak sorai rakyat Malaysia tatkala pihak penguasa menangkap beratus-ratus warga imigran di Selangor Mansion beberapa bulan lalu.
Walaupun babak-babak ini ada yang berlaku selepas berminggu-minggu protes #Blacklivesmatter, tetapi ia menzahirkan rupa serta sifat sebenar kebanyakan kita yang tidak sensitif dengan isu-isu rasisme, anti-imigran dan xenophobia.
Ini bukan tuduhan melulu.
Bahkan, berterima kasihlah kepada COVID-19 kerana membenarkan ketimpangan yang selama ini hijabnya terkabur.
Pandemik yang sedang menyerang dunia membuktikan betapa rapuhnya aturan hidup manusia. Ia juga membuka wajah sebenar kebusukan perkauman dan semangat kebangsaan yang melampau.
Keadaan kes warga tempatan semasa menunjukkan pertambahan kebaikan. Kita semua pastinya menarik nafas lega setiap hari pabila melihat statistik terbaru KKM. Namun, kes-kes melibatkan pekerja asing ternyata merungsingkan. Saban hari, kes dari kalangan warga ini semakin bertambah.
Bagaimana sebenarnya cara paling efektif menangani situasi ini?
Menangkap beratus-ratus pekerja asing dan pelarian sebagaimana yang berlaku pada 1 Mei lalu di Masjid India, Kuala Lumpur? Melarang pekerja asing Muslim dari bersembahyang Jumaat? Melarang pekerja asing membeli barangan keperluan di pasar? Menghantar pasukan polis bagi menyiasat Al Jazeera? Menempatkan mereka di rumah masing-masing seperti ‘saranan’ para nasionalis netizen? Atau seperti tuit terkini Dr. Hisham, Pengarah Kesihatan;
“The best solution is to deport the illegal undocumented migrants as soon as possible. I am sure you will agree to this.”
Segera reputasi mantap Dr Hisham selama mengendalikan situasi cemas pandemik tercalar dengan saranan sependek itu.
Mungkinkah Dr Hisham terlupa bahawan dalam melawan pandemik ialah bukan semata-mata tentang ‘kita’? Bahkan melibatkan seluruh umat manusia di muka bumi?
Adakah menghantar pulang ke negara asal akan mematikan korona Tuan Doktor?
Barangkali kita tidak perasan, dikebanyakan negara, isu dan hak berkaitan warga asing sering dipinggir pembuat-pembuat dasar.
Singapura sudah menghantar signal merah. Sebagai pencatat rekod terbanyak kes COVID-19 di kalangan pekerja asing di rantau Asia Tenggara, kegagalan merawat kesemua pekerja asing hanya akan mengakibatkan keparahan yang maha dahsyat.
Walaupun kes korona di Malaysia pada saat ini terkawal, kita wajib bimbang, gelombang terbaru bakal merosakkan segalanya dek kerana ketidakseriusan kita mempertahankan pekerja asing.
Seperti yang dinyatakan Khazanah Research Insittute (KRI) dalam kertas laporannya bertajuk COVID-19: We Must Protect Foreign Workers pada 5 Jun 2020 lepas, sebanyak 14,187 pekerja asing disaring ujian kovid pada 25 April tahun ini. Seramai 676 darinya disahkan positif.
Apakah usaha ini mencukupi?
Belum tuan, puan.
Ini kerana bilangan tersebut cuma mewakili kurang dari 1% dari jumlah 2.2 miliyun pekerja asing yang berdokumen sah. Itu baru kita bercakap pasal yang datang secara halal. Belum lagi 4 juta pendatang haram seperti yang dilaporkan media dengki Malaysia – Al-Jazeera.
Tambahan pula, KRI menyatakan;
“Since May, there seems to be a rise in the new cases among foreign worlers in Malaysia. On 1 June, the MOH announced that out of the total 35,811 non-citizens tested for the virus, 2, 014 were tested positive, constituting 25.6% of total cases.”
Walaupun data tersebut tidak menjelaskan angka sebenar, besar kemungkinannya ia merepresentasi pekerja asing disebabkan usaha Kementerian Kesihatan menggiatkan ujian ke atas mereka.
Menguruskan pekerja asing tidak sesederhana menghantar mereka pulang. Ia tidak semudah mengarahkan pasukan polis menyiasat laporan Al Jazeera. Ia tidak akan dibereskan lewat menangkap pekerja asing berketurunan Bangladesh yang diwawancara Al Jazeera.
Menurut KRI dalam kertas yang sama, menjaga kebajikan, membantu dan mempertahankan pekerja asing bukan sahaja beerti meraikan kemanusiaan, tetapi ia adalah bahagian-bahagian yang tersangatlah wajar.
Pertama adalah kerana pekerja asing berkepentingan dalam urusan ekonomi Malaysia.
Labour Force Survey melaporkan melalui Jabatan Statistik Negara (DOS) mengatakan Malaysia bergantung berat kepada pekerja asing. Mereka mewakili 14% hingga 16% jumlah pekerja di dalam negara sejak 2010. Dan jangan terkejut tuan puan, peratusan tersebut termasuklah samada yang berdokumen lengkap atau tidak. Manakala 60% industri agrikultur dan kilang menggunakan tenaga kerja pekerja asing. Ini diakui dalam laporan National Employment Returns (NER) pada tahun 2018.
Barang mesti diingat, secara tipikalnya, pekerja asing diupah untuk mengerjakan pekerjaan-pekerjaan kotor, bahaya dan sukar seperti di kilang, membina MRT, bangunan dan rumah. Berdasarkan survey yang dibuat Malaysian Employers Federation (MEF) melibatkan 101 majikan, 78% kompeni mengatakan ‘shortage of local workers to fill vacancies’ adalah penyebab mereka merekrut pekerja asing.
Bayaran upah yang murah kepada pekerja asing sebenarnya ‘membantu’ syarikat mengurangkan kos produksi dan memaksimakan pengeluaran. Pekerja asing juga adalah kontributor kepada kenaikan permintaan barangan dimana mereka berbelanja dalam pasaran tempatan.
Kedua, mengabaikan kebajikan pekerja asing akan meningkatkan ketidakstabilan kesihatan awam dan ekonomi lokal.
KRI mengatakan kegagalan membendung risiko terdedah kepada bahaya kovid yang dihadapi pekerja asing hanya akan memburukan sistem layan kesihatan dan memanjangkan tempoh berkurung. Ini juga akan menyakitkan warga tempatan.
Umum mengetahui kondisi hidup pekerja asing – keadaan rumah yang mereka diami, , amalan penjarakan sosial yang rapuh, kebersihan diri dan aktiviti luar mereka yang terdedah – ini semua akan mewujudkan lebih banyak kluster.
Mereka juga terhalang dari mendapatkan akses kesihatan walaupun sebelum pandemik. Lebih-lebih lagi bagi yang tiada dokumen lengkap, mereka lebih gusar ditangkap penguasa dari menjalani rawatan.
Ketiga, ialah peluang meletakkan kemanusiaan di aras paling tinggi. Agama kamu, bangsa kamu, warna kulitmu – semuanya tidak mampu menandingi makam kemanusiaan.
Dalam masa masa yang sukar begini, taraf kewarganegaraan, warna bangsa, jalur agama berdokumen halal atau haram semuanya bukan untuk didebatkan.
Yang utama adalah kepedulian menjaga satu sama lain. Kita tidak mahu menyelesaikan kesukaran dengan mengambil jalan fasisme.
Apakah tergamak kita membiarkan seorang bukan wargangera yang halal ditendang ke dalam laut hanya kerana kita merasa ruang dalam kapal kita layari sedikit sendat?
Sungguhpun KRI, di akhir kertas laporannya menggariskan beberapa solusi seperti, menggiatkan ujian saringan kepada pekerja imigran, menggesa segala bentuk serbuan imigresen dihentikan kerana menyukarkan usaha-usaha menghampiri dan merawat pekerja asing, merelokasi tempat tinggal pekerja bagi meminimakan risiko sehinggalah menawarkan kesempatan ‘melengkapkan’ dokumen-dokumen serta memudahkan urusan menghalalkan status pekerja asing, namun bagi kalian sebagai orang awam, satu-satunya solusi yang boleh dikerjakan ialah menukar cara pemikiran.
Dengan itu, segala daki-daki xenophobia, kebusukan semangat perkauman dan penting diri, serta sifat nasionalis longkang akan lekas dilunturkan.
Kita mesti berfikir secara rasional, menghayati konsep belas kasih dan menghentikan analogi bodoh seperti ‘awak sajalah yang bela pekerja asing di rumah awak sendiri’.
Pandemik bukanlah punca segala kesengsaraan hari-hari manusia.
Malah pandemik hadir bagi menelanjangi sistem yang selama ini sudah buruk. Ia membenarkan segalanya yang terhijab sebelum ini. Ketidakadilan sosial, kesenjangan kelas, ketidaksamarataan ekonomi, rasisme, kebencian adalah udara yang kita hirup dan hembus.
Kita tidak menafikan segala usaha dan upaya yang bermunculan saat sistem itu terserlah kegagalan sejak hari pertama korona merusuh.
Namun apa yang meresahkan, semakin kita menghampiri jalan hujungnya, semakin kita menemukan kepulihan, semakin menebal pula kehendak mengesampingkan warga yang banyak curah baktinya kepada tanah air ini.
Seorang slackers duaplohpatjam, penulis 3 buah buku terbitan penerbit ‘kiri borjuis’ Thukul Cetak dan pengendali Tengkorak Hang Podcast. Penggemar semangkuk laksa dan bukan lelaki Melayu bertengkolok kebanggaan semua.