Alkisah Rundingan Terus – 2

Pendedahan Menteri Kewangan Perikatan Nasional (PN), setakat ini menyenaraikan 101 projek dengan nilai keseluruhan sebanyak RM6.61 bilion sebagai projek atau perolehan rundingan terus (direct nego) yang dibuat semasa kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Tetapi selepas pendedahan balas oleh mantan Menteri Kewangan PH, ini apa yang kita boleh rungkaikan secara mudah.

1) Projek dengan kos paling besar iaitu KVDT2 bernilai RM4.475 bilion adalah projek yang lulus secara rundingan terus di zaman Barisan Nasional (BN). Kerajaan PH mahu batalkan projek ini tetapi kontraktor memohon untuk dirunding semula dan PH bersetuju, mengambil kira risiko perundangan jika ia dibatalkan terus. Hasilnya, projek yang asalnya bernilai RM5.265 bilion di zaman BN berjaya dikurangkan kosnya sebanyak 15%.

2) Projek kedua paling tinggi kosnya ialah ‘pembekalan mukasurat biodata polycarbonate’ untuk Jabatan Imigresen oleh Datasonic Technologies, yang bernilai RM270 juta. Ini juga dikhabarkan telah diluluskan secara rundingan terus pada zaman BN dengan kos asal RM318.75 juta, tetapi dirunding semula dengan pengurangan kos sebanyak 15%. Harus juga diberi perhatian bahawa Datasonic Technologies turut terlibat dalam kes perbicaran rasuah melibatkan Zahid Hamidi yang pernah menjadi Menteri Dalam Negeri BN.

3) Kemudian, ada 4 acara di bawah MITI yang dikatakan lulus secara rundingan terus di zaman PH, tetapi yang kelakarnya semua 4 acara tersebut berlaku sebelum PRU14 lagi. Dalam erti kata lain, anjur program dulu tetapi kelulusan tender dan bayaran dibuat kemudian. Kos 4 acara ini sahaja adalah RM8.2 juta, dan 3 acara diberikan kepada syarikat yang bersangkut paut dengan Pemuda UMNO (Usaha Jana).

4) Bayaran penyiaran Piala Dunia oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia sebanyak RM29.9 juta adalah pendahuluan yang dibuat oleh kerajaan dan ianya telah diganti kembali dengan penajaan oleh Maxis (RM18 juta), AirAsia (RM12 juta) dan lain-lain (RM3.3 juta). Kesimpulannya, kerajaan siap buat keuntungan lagi untuk siaran Piala Dunia ini dan tidak sepatutnya kos penyiaran itu diambil kira.

5) Dari keseluruhan jumlah di atas tadi, dan juga beberapa projek lain yang aku tidak tulis di sini, kerajaan PH sebenarnya hanya membelanjakan RM352 juta untuk perolehan baru secara rundingan terus. Itu pun RM70 juta adalah dibayar kepada DBP untuk projek buku teks sekolah, manakala RM170 juta untuk pembinaan ‘stesen pemindahan pepejal’ di bawah KPKT. Perlu juga diberi perhatian, kebanyakan projek atau perolehan rundingan terus oleh PH diberikan kepada pelaksanan atau pembekal yang merupakan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti Telekom dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

6) Ada dua projek di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) yang dinafikan menteri terbabit. Salah satunya ialah ‘stesen pemindahan sisa pepejal’ di Kepong bernilai RM170 juta. Syarikat bernama Bumi Segar Indah, yang mendapat projek tersebut telah sub-con kepada Widad Group dengan bayaran RM120 juta, sekaligus menimbulkan persoalan ke mana baki wang RM50 juta dibelanjakan? Menteri KPKT PN yang nafi tidak tahu pernah melawat sendiri fasiliti tersebut pada tahun lepas sebagai Menteri KPKT PH.

7) Berbalik kepada poin nombor (5), RM352 juta projek rundingan terus PH adalah bersamaan dengan 0.07% dari jumlah keseluruhan RM477.379 bilion perolehan kerajaan. Ia adalah satu jumlah yang sangat kecil, bukannya 10% atau 1% malahan lebih kecil dari nilai 0.1% sekaligus membuktikan tekad kerajaan PH dahulu untuk mengamalkan tender terbuka secara meluas.

TAPI, PH JANJI TIDAK ADA RUNDINGAN TERUS?

8) Entah, tang mana yang PH janji? Kalau rujuk manifesto PRU14 pun, apa yang disebut adalah:

“Kami akan memastikan sistem tender terbuka digunakan dengan meluas dan telus, terutamanya untuk projek-projek besar”.

“Digunakan dengan meluas dan telus” bukannya digunakan sepenuhnya tanpa langsung tiada rundingan terus.PH tidak pernah mendakwa tidak boleh rundingan terus langsung.

9) Rundingan terus tidak menyalahi undang-undang pun. Ini Menteri Kewangan PN sendiri yang akui. Dan memang kerajaan berhak buat rundingan terus untuk perolehan tertentu atas 5 kriteria iaitu mendesak, penyeragaman, keselamatan, satu punca bekalan dan kontrak dengan syarikat Bumiputera.

10) Dalam senarai 101 projek yang Menteri Kewangan PN beri, ada banyak contoh untuk 5 kriteria tersebut:

i) Mendesak = buku teks
ii) Penyeragaman = biodata polycarbonate untuk passport
iii) Keselamatan = MRO untuk pesawat A400 TUDM
iv) Satu punca bekalan = hak siaran Piala Dunia
v) Kontrak Bumiputera = ink/toner mesin pencetak/faksimili JPJ Kelantan

Okey, yang nombor (v) tu aku main agak aje lah, dekat Kelantan kan mesti banyak syarikat Bumi.

Jadi pendedahan ‘direct nego’ 101 projek & RM6.61 bilion ini sebenarnya nak tembak siapa? Adakah tembak Menteri MITI yang dulu jadi Menteri MEA sampai beli buku harga RM21 ribu walaupun kat Internet, kita boleh baca free?

Bak kata pepatah, siapa yang makan cili dialah yang terasa pedasnya. Mungkin sekarang masa untuk Menteri Kewangan PN pula kongsikan senarai projek atau perolehan rundingan terus di bawah kerajaan BN dan juga kerajaan PN agar mudah untuk rakyat membuat perbandingan.

Ada berani?

Komen