Entah kenapa seluruh dada saya terbakar bila baca kenyataan mantan CEO kereta nasional ini. Tiga kereta pertama saya adalah Proton. Yang terakhir saya beli lebih 10 tahun dulu. Tapi luka dan trauma saya belum sembuh sampai sekarang.
Proton ialah syarikat paling lama hidup atas “tongkat perlindungan negara”. Hari ini, dia megah pula bercakap tentang rakyat yang “asyik tunggu handouts”. Kata-kata ini, satu ironi paling licik dan sumbel.
Sejak 1983, Proton dibesarkan oleh inkubator polisi paling selesa dalam seluruh sejarah industri automatif dunia. Tarif import kereta asing di Malaysia pernah mencecah lebih 100%, sebab gara-gara mau lindungi Proton. Yang terhegeh-hegeh hasilkan produk separuh masak.
Duti eksais, permit import (AP), dan pelbagai bentuk perlindungan pasaran diwujudkan supaya Proton boleh “survive” tanpa perlu bersaing di gelanggang terbuka. Rakyat Malaysia diseksa membeli kereta mahal selama puluhan tahun, demi mau pertahankan projek nasional yang kononnya sedang membina keupayaan teknologi tempatan.
Tapi lepas lebih 40 tahun, persoalan paling asas pun masih belum terjawab: di mana sudah kekuatan teknologi mandiri Proton?
Komponen-komponen kritikal masih bergantung teknologi luar. Mula-mula bertengek padu pada Mitsubishi dan Lotus, sebelum beralih cinta pada Geely pada 2017, apabila Zhejiang Geely Holding membeli 49.9% pegangan Proton. Ini semua bukan rahsia pun.
Proton membesar dalam ekosistem “handouts polisi”. Diberi perlindungan dasar yang secara tidak langsung memaksa seluruh rakyat marhaen jadi pelanggan wajib. Sebab kereta alternatif lain sangat mahal mencanak, akibat sistem tarif yang tinggi.
Kajian oleh pelbagai badan termasuk Bank Dunia dan ahli ekonomi tempatan berkali-kali menyanggah modus operandi ini. Bahawa dasar perlindungan automotif Malaysia yang ekstrim ini: meningkatkan kos kepada pengguna dan merencat daya saing industri.
Tapi CEO buat apa? Masih malas berfikir luar kotak. Masih tidak reti menggagaskan model operasi yang lebih inovatif, sustainable dan adil kepada rakyat Malaysia. Bila terlalu lama dilindungi, organisasi hilang upaya untuk bersaing secara organik. R&D jadi lembab. Inovasi makin lemau. Akhirnya Proton tersungkur, hilang reputasi sebagai kereta nasional negara.
Sebab itu ramai melihat kenyataan CEO ini seperti tepuk air di dulang, terpercik muka sendiri. Dia sendiri mengemis “handouts” yang sama, pada skala lebih gadang dan agung.
Bandingkan dengan Korea Selatan. Hyundai dan Kia juga pernah bermula dengan bantuan kerajaan. Tetapi bantuan itu cuma bersifat sementara. Mereka tetap agresif ke arah daya saing terbuka. Mereka melabur besar dalam R&D dan reka bentuk. Mereka bina teknologi sendiri, dan bersaing rancak di pasaran global.
Hyundai membelanjakan berbilion dolar setahun untuk penyelidikan: termasuk EV, hidrogen, bateri dan autonomous systems. Sedangkan Proton berbelanja jutaan ringgit untuk gaji para eksekutif dan majlis-majlis pelancaran glamour. Korea Selatan secara keseluruhan berbelanja sekitar 4.8% KDNK untuk R&D, antara yang tertinggi di dunia. Malaysia cuma 1% hingga 1.5% saja.
Itulah beza “protection for growth” dengan “protection for comfort”.
Saya panggil ini: budaya Protonisme. Mentaliti shortcut. Bikin kerja senang, tapi gaji mau mahsyuk. Kemaruk mau nampak macam negara berteknologi tinggi konon. Tapi tidak mau membina ekosistem mendasar secara sabar dan konsisten. Lebih suka beli dari luar, tampal logo, kemudian gigih jual naratif nasionalisme kepada rakyat.
Sebab itu bila mantan CEO Proton menempelak budaya “menunggu handouts”, hati saya libang libu. Selama 6 tahun mengemudi Proton, dia sendiri pun sama. What “added value” did he bring, dari segi berdiri atas kaki sendiri? Bukankah masih bergantung pada ihsan “handouts perlindungan polisi negara”?

Rem Dambul atau Profesor Madya Dr. Ramzah Dambul adalah seorang klimatologis asal Sabah. Beliau juga merupakan penulis buku antaranya Alien Menchari Chinta, Déjà Vu Cinta Pencari Katarsis dan Dari Cinta Kepada Cinta, selain pernah menjadi penyunting utama buku ‘Sabah Priority Issues: Setting the Course for Change’.









