Baru-baru ini, Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor telah meluluskan Rang Undang-undang Pindaan Perlembagaan untuk pelantikan lima ADUN lantikan menjadikan jumlah wakil rakyat meningkat kepada 61 orang. Pelantikan lima ADUN ini menjadi sandaran untuk parti Barisan Nasional (BN) yang mengepalai kerajaan negeri Johor dalam memastikan parti itu mempunyai sokongan yang cukup dalam DUN.
Namun, tindakan itu mendapat kecaman dari sekutu BN di Johor, terutama dari komponen Pakatan Harapan (PH) seperti PKR dan DAP. Dalam hal ini, DAP dilihat lebih lantang bersuara mengecam tindakan BN yang dlilihat menghakis semangat demokrasi dan boleh digunakan untuk menekan rakan sekutu sekiranya berlaku perselisihan.
Namun selang beberapa hari, kita dikhabarkan pula bagaimana empat orang Senator baharu telak dilantik ke dalam Dewan Negara dari parti DAP sendiri. Dari empat individu tersebut, tiga darinya adalah dari kalangan calon DAP yang kalah dalam pilihan raya masing-masing. Sekaligus ini menimbulkan persoalan adakah pelantikan Senator dibuat atas faktor “kasihan” atau “saguhati” kepada pemimpin yang tewas?
Bantahan DAP Terhadap ADUN Lantikan Johor
Isu pelantikan lima ADUN lantikan di Johor sebenarnya membuka satu lagi episod pertikaian politik antara DAP dan UMNO. Timbalan Pengerusi DAP Kebangsaan, Nga Kor Ming menyifatkan keputusan DUN Johor meluluskan pindaan bagi mewujudkan lima ADUN lantikan sebagai tindakan tidak demokratik, malah didakwa bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan. Menurut laporan RUU itu diluluskan selepas mendapat sokongan 40 ADUN manakala 16 menentang, sekali gus membolehkan bilangan ADUN Johor bertambah kepada 61 orang.
Dari sudut prinsip demokrasi, bantahan DAP mempunyai asas politik. Seorang ADUN lazimnya mendapat mandat melalui pilihan raya. Mereka bertanding, berkempen, dipilih oleh pengundi dan akhirnya memegang tanggungjawab terhadap kawasan tertentu. Maka apabila seseorang dilantik sebagai ADUN tanpa melalui peti undi, timbul persoalan besar tentang akauntabiliti, mandat rakyat dan kesaksamaan politik.
Hujah DAP adalah ADUN lantikan tidak mempunyai kawasan untuk diwakili tetapi tetap boleh berbahas, mengundi dan menerima kemudahan seperti wakil rakyat lain. Dalam logik demokrasi pilihan raya, perkara ini boleh dilihat sebagai pencairan mandat rakyat. Jika lima individu boleh masuk ke dewan melalui lantikan, maka garis antara wakil rakyat yang dipilih dan tokoh politik yang diberi kedudukan menjadi semakin kabur.
Lebih serius, DAP menggambarkan pelantikan ini sebagai “pintu belakang” untuk mendapatkan jawatan. Ia bukan sekadar kritikan prosedur, tetapi dakwaan bahawa ada pihak mahu menggunakan kuasa perundangan negeri untuk membuka laluan kepada individu tertentu tanpa melalui pilihan raya.
Namun persoalannya: adakah DAP benar-benar sedang mempertahankan prinsip, atau sekadar mempertahankan kepentingan politik apabila keputusan itu berlaku di negeri yang tidak dikuasainya?
Empat Senator DAP Dan Percanggahan Prinsip
Di sinilah isu menjadi lebih rumit. Pada masa yang hampir sama, empat pemimpin DAP dilaporkan mengangkat sumpah sebagai Senator di Dewan Negara. Mereka termasuk Pengerusi DAP Sabah, Datuk Phoong Jin Zhe; Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Umar Bagharib Ali; serta pemimpin DAP dari Sarawak dan Perak.
Pelantikan Senator sememangnya sah di sisi Perlembagaan. Dewan Negara sendiri mengandungi ahli yang dipilih oleh Dewan Undangan Negeri dan ahli yang dilantik di peringkat Persekutuan oleh Yang di-Pertuan Agong. Tetapi dari sudut moral politik, DAP sukar mengelak daripada soalan yang sama: jika wakil rakyat mesti dipilih rakyat, mengapa pelantikan Senator parti sendiri tidak pula dianggap “pintu belakang”?
Seorang Senator sememangnya tidak dipilih secara langsung oleh rakyat. Namun ada peruntukan Perlembagaan yang membolehkan Senator dipilih melalui proses pilihan raya sama seperti memilih wakil rakyat untuk DUN atau Parlimen. Malahan idea awal penubuhan Dewan Negara sebagai upper house adalah untuk membolehkan setiap negeri dalam Persekutuan diwakili oleh Senator yang akan menjaga kepentingan negeri dan sebagai check and balance terhadap kuasa kerajaan Persekutuan.
Seorang Senator boleh mengambil bahagian dalam proses perundangan negara, membahas rang undang-undang dan menjadi sebahagian daripada struktur kuasa legislatif. Malah dalam sejarah politik Malaysia, jawatan Senator sering digunakan sebagai laluan untuk melantik seseorang ke jawatan kerajaan, termasuk menteri atau timbalan menteri.
Justeru bantahan DAP terhadap ADUN lantikan Johor kelihatan selektif apabila parti yang sama menerima pelantikan empat pemimpinnya ke Dewan Negara. Bezanya cuma satu: di Johor, pelantikan itu menguntungkan kerajaan negeri yang diketuai UMNO-BN; di Dewan Negara, pelantikan itu menguntungkan DAP.
Inilah titik yang melemahkan hujah DAP. Parti itu boleh berhujah bahawa ADUN lantikan dan Senator lantikan adalah dua situasi berbeza. Dari sudut teknikal, benar. Tetapi dari sudut prinsip demokrasi yang dilaungkan sendiri oleh DAP, kedua-duanya tetap berkongsi satu persamaan penting: kedua-duanya bukan hasil pilihan raya langsung oleh rakyat.
Sindiran Ketua Pemuda UMNO
Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Saleh tidak melepaskan peluang untuk menyindir DAP dalam dua situasi tersebut. Akmal menyifatkan pendirian Nga Kor Ming dalam isu ADUN lantikan Johor sebagai hipokrit dan mempersoalkan bagaimana DAP boleh membantah pelantikan ADUN di Johor tetapi dalam masa yang sama menerima pelantikan Senator parti sendiri, majoritinya dari mereka yang kalah bertanding pilihan raya.
Kritikan ini mudah melekat kerana ia menyerang titik paling lemah DAP: jurang antara retorik reformasi dan realiti perebutan jawatan. DAP mahu dilihat sebagai parti yang berprinsip, anti-pintu belakang dan menjunjung mandat rakyat. Tetapi apabila pemimpinnya sendiri memperoleh kedudukan melalui mekanisme lantikan, parti itu kelihatan terlalu selesa dengan sistem yang dikritiknya.
Pemimpin UMNO Johor turut berhujah bahawa pindaan di Johor dibuat melalui proses sah dalam DUN, dibahas dan diluluskan dengan sokongan lebih dua pertiga. Dari sudut ini, UMNO cuba mematahkan naratif “pintu belakang” DAP dengan menyatakan bahawa proses itu berlaku secara terbuka melalui institusi perundangan negeri.
Lebih menarik, isu ini berlaku ketika DAP dijangka mengadakan kongres khas pada Julai nanti untuk memutuskan sama ada pemimpin parti itu perlu melepaskan jawatan dalam kerajaan atau kekal memegang kedudukan sedia ada.
Di sinilah kontradiksi dalam DAP semakin ketara. Di satu sudut, parti itu memberi bayangan seolah-olah sedang menilai semula kedudukan dalam kerajaan atas nama prinsip reformasi. Di sudut lain pula, pemimpinnya terus menerima jawatan baharu dalam struktur kerajaan, termasuk melalui Dewan Negara.
Akhirnya, isu ADUN lantikan Johor dan Senator lantikan DAP bukan sekadar pertikaian undang-undang. Ia cermin kepada politik dua wajah: prinsip dilaungkan apabila tidak menguntungkan, tetapi dilenturkan apabila jawatan tersedia.
Dan apabila prinsip digunakan secara terpilih, ia berhenti menjadi prinsip. Ia menjadi alat politik.

Adleen Arleena seorang penyelidik di sebuah agensi sosial serantau. Liberal, demokrat dan sekularis.









