Zuraida: Nekad Atau Terlanjur?

Baru-baru ini Zuraida Kamaruddin, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyatakan di Dewan Rakyat, Kementerian beliau sedang berusaha memperkasakan kerajaan tempatan dengan memperkenalkan kembali pilihan raya kerajaan tempatan. Kata Zuraida, ini ‘amat penting untuk menunjukkan bahawa negara ini sebuah negara yang progresif, yang demokratik’, dan ‘sudah tiba masanya untuk rakyat menerima pilihan raya kerajaan tempatan.’

Untuk rekod, janji menganjurkan pilihan raya kerajaan tempatan termuat dalam manifesto Pakatan Harapan. Perikatan Nasional, untuk rekod juga; menemui peluang merebut kerajaan itu di tengah jalan lalu menebuk atap untuk merampas kedudukan.

Zuraida menjelaskan perihal pilihan raya kerajaan tempatan ketika menjawab soalan daripada Wong Hon Wai (DAP-Bukit Bendera) dan Che Alias Hamid (PN-Kemaman).

Namun demikian, tokoh dalam parti-parti yang bersyarikat dengan Perikatan Nasional telah segera memberi respon negatif. PAS dan UMNO senada menolak sebarang rancangan untuk memperkenalkan kembali pilihan raya kerajaan tempatan. Pada hari berikutnya, Noh Omar (Umno- Tanjung Karang) sebagai contoh telah membalas segera, ‘Saya nak tegaskan dalam dewan ini bahawa PAS dan Umno Selangor tolak pilihan raya (kerajaan) tempatan ini. Ini siapa punya manifesto. Ini manifesto PH, DAP ke siapa saya tidak tahu lah’.

Keberanian Zuraida membangkitkan perihal pilihan raya kerajaan tempatan ini, di tengah-tengah suasana politik yang rapuh dapat dikira bukan satu keterlanjuran atau keceluparan tidak sengaja.

Sebagai contoh, DAP menerusi Teresa Kok (Seputeh) mencabar agar Zuraida benar-benar komited menyempurnakan rancangan ke arah pilihan raya kerajaan tempatan ini. Manakala sebuah kumpulan belia yang ingin dikenali sebagai Undi Saksama turut menyokong cadangan untuk mengembalikan pilihan raya kerajaan tempatan.

Samada Zuraida tersalah cakap di Dewan Rakyat atau dituturkan dalam keadaan sedar, jika ucapan beliau itu tidak diuruskan dengan baik; ia malah dapat menjadi peluru yang sangat berkesan untuk kedua-dua belah pihak. Saya berpandangan, mana-mana pihak yang menyokong rancangan ke arah mengembalikan pilihan raya kerajaan tempatan ini boleh menarik undi kaum muda.

Mengapa? Dan bagaimana?

Tidaklah aneh PAS dan UMNO menolak pilihanraya kerajaan tempatan. Ini kerana menurut Ahmad Atory Hussain dalam ‘Kerajaan Tempatan: Teori dan Peranan di Malaysia’ (1997) terdapat ‘kurangnya pemahaman terhadap pentadbiran peringkat tempatan’ dalam kalangan masyarakat. Maka ketidakfahaman yang disentuh di atas mungkin sahaja turut dikongsi oleh PAS dan UMNO.

Saya juga tidak fikir PAS dapat mencerna Teori Badan Perantaraan dan Teori Utilitarianisme Turgot yang disuguhkan oleh Ahmad Atory dalam melihat perubahan pentadbiran tradisional kepada yang moden.

Di bawah kerajaan tempatan terdapat komponen seperti peranan penguasa tempatan, Majlis Perbandaran dan Dewan Bandaraya, atau Majlis Daerah iaitu dari segi peranan dan tugasnya. Tidak keterlaluan disebutkan pentadbiran kerajaan tempatan adalah satu pentadbiran awam yang jatuh langsung mengenai kehidupan individu serta masyarakat.

Kerajaan tempatan juga adalah satu pendekatan di mana berlakunya desentralisasi. Ia adalah satu cara untuk kerajaan pusat mengagihkan sesetengah kuasa dalam urusan pentadbiran kepada peringkat bawahan. Dalam hal ini ia boleh jadi kerajaan negeri, atau kerajaan tempatan. Pembahagian peranan ke peringkat lebih rendah adalah kemestian demi melicinkan keberkesanan sepanjang urusan pentadbiran kerajaan di samping memberi perkhidmatan terbaik buat masyarakat seluruhnya. Dalam banyak keadaan juga, desentralisasi ini menyegerakan proses pembuatan keputusan dan meluncurkan pelaksanaan polisi. Pelaksanaan begini juga akan memastikan kuasa politik tidak dibolot penuh oleh kerajaan pusat, yang mana katakan dalam konteks kita; Putrajaya, boleh menjadi terlalu berkuasa dalam urus tadbir terutama dalam proses pembuatan keputusan. Maka pilihanraya kerajaan tempatan adalah sesuatu yang positif untuk rakyat dari sudut pandang demokrasi.

Menurut Aurora Ndreu dalam makalah The Definition And Importance Of Local Governance (2016), tadbir urus tempatan tidak dapat dielakkan memandangkan individu dalam kalangan rakyat hidup dalam komuniti secara rapat. Sesama mereka mempunyai hubungan yang langsung dan dalam hal menyelesaikan masalah mereka, individu ini harus bekerjasama sebagai satu kumpulan untuk mencapai keputusan yang mereka inginkan. Sebagai contoh, individu dalam sesebuah kampung atau taman perumahan akan membuat keputusan bersama untuk mengupah pengawal keselamatan menjaga kawasan kediaman mereka. Jadi, kerajaan tempatan itu adalah mengenai pengurusan perkhidmatan awam dan perwakilan rakyat.

Tasneem Sikander dalam tulisannya A Theoretical Framework of Local Government (2015), pula menghujahkan ruang yang lebih besar untuk mencapai pertumbuhan ekonomi jika institusi kerajaan tempatan menyediakan penyertaan yang popular di peringkat kepimpinan tempatan. Ia juga membuka jalan ke arah pemahaman yang lebih baik antara warganegara dan pegawai kerajaan di samping meningkatkan kecekapan dan sikap responsif kerajaan.

Sudah tentu, penduduk sesuatu bandar akan lebih gembira jika dapat mengambil bahagian dalam pengurusan kawasan didiami oleh mereka. Ia adalah kerana hal ehwal pengurusan harus ditadbirkan oleh penduduk yang tinggal di kawasan itu sendiri.

Akan tetapi apakah cabaran sebenar pilihan raya kerajaan tempatan?

Idea untuk mengembalikan pilihan raya kerajaan tempatan ini bukanlah baru. Namun demikian cabaran perundangan, kekangan daripada kerajaan Persekutuan, keengganan Suruhanjaya Pilihan Raya untuk menguruskan PRKT dan faktor kewangan sering disebut-sebut sebagai alasan. Meskipun Selangor telah dikuasai oleh gabungan parti pembangkang sejak beberapa lama; kesepakatan antara ketiga-tiga parti komponen Pakatan Rakyat iaitu PAS-DAP-PKR menyulitkan sebarang usaha di Selangor.

Pilihan raya kerajaan tempatan telah lama ditiadakan sejak 1965. Salah satu sebab mengapa ia dimansuhkan suatu masa dahulu adalah kerana konfrontasi antara Malaysia dan Indonesia, di mana terdapat keperluan mengawal sentimen anti Malaysia dalam kalangan rakyat waktu itu. Dalam masa yang sama terdapat aneka masalah dalaman pihak berkuasa tempatan. Di samping merosotnya sokongan pengundi terhadap parti Perikatan (nama asal Barisan Nasional) dan juga suhu semangat perkauman.

Pemansuhan yang sudah berlalu beberapa dekad itu tentunya akan memberi kesan kepada pelbagai aspek di peringkat kerajaan tempatan seperti isu akauntabiliti dalam kalangan ahli majlis yang dilantik, ketelusan dan kecekapan pegawai, kekeliruan kerajaan persekutuan mengenai kuasa yang ada; dan campur tangan politik dalam hal ehwal kerajaan tempatan. Maka tidaklah mencengangkan PAS dan UMNO sangat berhati-hati menyahut ucapan Zuraida tersebut. Ketika ini, majlis-majlis tempatan di Malaysia tidak dipilih kerana ahli majlis dilantik oleh kerajaan negeri untuk tempoh tiga tahun (dengan pilihan untuk melantik semula) dan dalam kebanyakan kes datang dari gabungan pemerintah. Selalunya posisi kerajaan tempatan dilihat sebagai habuan atau hadiah politik dan bukan sangat mengenai kekuatan demokrasi, atau latihan kepimpinan buat anak muda.

Pilihan raya kerajaan tempatan juga tidak menggiurkan ramai tokoh dalam Pakatan Harapan. Isu pilihan raya tempatan sangat berpotensi untuk menjadikan gabungan yang sangat garing ini retak akibat banyaknya aktiviti berpolitik, selain boleh memburukkan ketegangan kaum. Bukan itu sahaja, keinginan terhadap perubahan di peringkat kerajaan tempatan sangat terhad buat masa ini. Hal ini misalnya disentuh oleh Kai Ostwald (2019) dalam makalah Local Elections, Decentralisation, and Institutional Reform.

Makanya keengganan PAS dan UMNO terhadap idea ini, termasuk sambutan kurang menggalakkan oleh Pakatan Harapan; dapat difahami. Phang Siew Nooi (2008) dalam Decentralisation or Recentralisation? Trends in Local Government in Malaysia, menyatakan kerajaan tempatan di Malaysia hanya menduduki peringkat ketiga dan terendah selepas kerajaan persekutuan dan negeri. Kerajaan tempatan dilihat sebagai satu tanggungjawab negeri, tetapi dalam masa sama; kerajaan persekutuan ikut menjalankan kuasa dan memiliki pengaruh besar ke atas kerajaan tempatan, terutama di Semenanjung Malaysia. Kerajaan tempatan juga dipandang enteng lantaran hanya memberikan satu peratus dari KDNK.

Khayalan terdapat 144 pihak berkuasa tempatan yang akan ditandingi dalam sebuah pilihan raya menyenakkan perut parti pemerintah. 144 pihak berkuasa tempatan ini dibahagikan kepada bandar-bandar (pusat pentadbiran dan komersial utama), majlis perbandaran (kawasan bandar lain), dan daerah (terutamanya kawasan luar bandar). Sekiranya berlaku, pilihan raya kerajaan tempatan akan memperkasakan kuasa eksekutif Datuk Bandar (bandar) dengan diawasi oleh suatu sistem jawatankuasa. Khayalan ini indah sekali.

Mengapakah isu kerajaan tempatan ini boleh mempengaruhi khayal dan fantasi anak muda?

Kesedaran politik luar biasa anak-anak muda hari ini terhadap amalan demokrasi yang tidak sihat, khusus setelah kerajaan Pakatan Harapan jatuh ekoran ditebuk oleh Perikatan Nasional (ironinya turut disertai Zuraida) akan menggalakkan semula pengamatan terhadap isu ini. Kemeluatan anggota masyarakat, khusus di bandar, oleh perangai politikus yang tidak amanah dan pengkhianatan segelintir ahli parlimen yang dipilih begitu membuak-buak dan tidak mustahil mendorong kemandirian politik tersendiri.

Dalam erti kata lain, di peringkat lokal, masyarakat yang jengkel dengan politik di peringkat persekutuan dan negeri, akan memilih untuk bertindak sendiri di peringkat tempatan yang lebih mikro. Masyarakat mulai memilih sendiri untuk menyediakan pagar komuniti, menyelenggara sampah dan barang buangan, mengawasi tetangga oleh penjenayah dan anak nakal, menyedia program melindungi komuniti dari haiwan liar seperti anjing dan monyet, atau usaha dan upaya sendiri untuk membaiki sistem perparitan yang mengakibatkan banjir kilat, dan gerakan bersama untuk mencantas pohon dan padang permainan. Isu-isu alam sekitar seperti pencemaran bau, gangguan air dan kesihatan juga akan menjadi trend semasa yang lebih mempengaruhi pengundi muda kelak. Itu belum lagi membawa masuk sama isu-isu kebajikan sosial seperti gelandangan, remaja liar dan kebanjiran migran; semua ini kelihatannya lebih baik ditangani oleh komuniti lokal dan bukan lagi parti politik. Ini kerana rakyat melihat parti politik memualkan dan tidak berminat kepada nasib pengundi.

Meskipun semua yang disebutkan itu ternyata agak remeh untuk ahli-ahli parlimen di Dewan Rakyat, ia bagaimanapun adalah isu langsung untuk ahli masyarakat. Gerak kerja independen ini lama-kelamaan semakin nyata dan jelas, di mana masyarakat di peringkat lokal semakin percaya – mereka tidak memerlukan ahli politik yang sembang lebih – dan kini memilih untuk bertindak sendiri.

Partisipasi semua di atas kebanyakan digerakkan oleh anak-anak muda atau generasi yang baru mendirikan rumahtangga dan kehidupan di kawasan bandar. Idea agar kerajaan tempatan dikawal dan dipilih oleh individu atau rakyat tempatan semakin membesar dan idea itu tidak semestinya dilihat bersekali dengan sikap partisan. Ini bermakna, rakyat di peringkat lokal mungkin sahaja memilih wakil ke kerajaan tempatan bukan atas nama parti. Akan tetapi mereka boleh memilih wakil mereka sendiri yang sudah lama berkhidmat dan sudah pun cukup dikenali kerana kerja mikro selama ini.

Sudah tentu pihak berkuasa tempatan yang lebih kreatif dan berkesan akan segera menarik minat penduduk. Sebagai contoh, pihak berkuasa tempatan yang mempunyai kewangan kukuh, kepemimpinan dengan visi jauh, perancangan strategik dan tindakan sistematik dengan sokongan mantap masyarakat; pasti akan lebih bersedia menghadapi cabaran dan masalah yang biasa mereka hadapi. Sebaliknya, pihak berkuasa tempatan yang lemah dalam pentadbiran kewangan dan bangkrap idea mungkin menghadapi masalah di kawasannya.

Sosial kapital di peringkat kejiranan akan menjadi lebih penting dan kukuh. Persatuan-persatuan penduduk, jawatankuasa masjid atau gereja, serta persatuan ibu-bapa guru jauh lebih dipercayai berbanding ahli politik tempatan. Mengapa misalnya kita perlu menagih perhatian seorang ahli parlimen khianat yang sibuk memperjuangkan blok sendiri, jikalau memang ada pemimpin di peringkat lokal yang jauh lebih efektif menyelesaikan hal yang terlihat remeh-temeh tetapi memberi kesan dalam hidup seharian?

Pengundi muda sudah mulai melihat ini. Sebagai contoh; mereka, pengundi muda di Kelantan, tahu misalnya kerajaan negeri PAS memerlukan satu dekad lagi untuk membekalkan air bersih buat mereka. Untuk apa menunggu sepuluh tahun lagi? Kerajaan PAS ditegakkan oleh pengundi luar Kelantan yang tinggal di ibu kota, yang saban pilihanraya memberikan mandat kepada parti tersebut. Mereka yang tinggal di bandar-bandar – di Kelantan – boleh menentukan nasib mereka sendiri apabila pilihan raya kerajaan tempatan berlangsung. Ini kerana masalah yang dihadapi adalah masalah mereka sendiri yang tiada kena mengena dengan pengundi luar kawasan. Mereka, pengundi luar kawasan hanya balik sekali-sekala dan tidak menderitai apa yang mereka rasa. Kebuntuan yang rakyat Kelantan sendiri hadapi dapat dilunasi dengan pilihan raya kerajaan tempatan.

Kajian Nur Hairani Abd Rahman, Khairiah Salwa Mokhtar dan Muhammad Asri Mohd Ali (2013) dalam sebuah artikel dengan tajuk Reviving the Local Government Election in Malaysia, ada menyebutkan satu-satunya parti yang mempunyai keyakinan dan kekuatan untuk masuk menyertai pilihan raya kerajaan tempatan adalah parti DAP. Parti Tindakan Demokratik kerap berusaha untuk memulihkan pilihan raya tempatan di Malaysia. Idea ini juga sentiasa ditentang oleh Barisan Nasional, dan kini ditolak Perikaatan Nasional dan Muafakat Nasional. Parti ini mempunyai barisan anak muda yang mempunyai banyak idea dan tenaga dan tidak mustahil dapat menjadi kuasa ketiga.

Seorang tokoh besar di peringkat persekutuan atau negara tidak mustahil datang dari bawah – yakni dari kerajaan tempatan – sebagai contoh antara pemimpin besar dunia yang datang dari kerajaan tempatan adalah Jokowi (Indonesia), Recep Erdogan (Turki), dan Mahmoud Ahmadinejad (Iran).

Perlahan-lahan idea pilihan raya kerajaan tempatan ini adalah satu ancaman besar. Ia adalah peluru yang balistik untuk mana-mana pihak yang mempunyai keberanian memainkan picunya. Untuk itu, atas nama kuasa ketiga (the third force), mana-mana pihak yang berani dan nekad untuk mengembalikan pilihan raya kerajaan tempatan haruslah diberi perhatian penuh.

Biarkan politikus tua bermain dengan tikus poli; anak muda akan buat kerja. Ini masa mereka, anak muda, yakni masa kita.

Komen