Yang Tidak Layak Bernama Hamzah

HAMZAH bukan calang-calang orangnya. Beliau adalah seorang perancang yang hebat. Strategis yang sangat cekatan. Hamzah sedang perburuan di gurun jauh apabila dia pulang dan mendengar khabar yang Abu Jahal telah menghina baginda Nabi Muhammad saw. Bukan setakat mencemuh Rasulullah, Abu Jahal juga telah melakukan pelbagai aneka khianat sehingga menyulit dan menyakitkan.

Apa yang Hamzah lakukan sebaik mendengar itu? Hamzah ingin menegakkan keadilan. Hamzah menolak untuk bersekongkol dengan bangsawan dan kayangan seperti Abu Jahal. Hamzah tidak gentar jika bangsawan dan istana Quraisy menghunjamnya. Maka Hamzah menuju terus ke dalam Kaabah. Menurut riwayat, Abu Jahal sedang berada di dalam Kaabah. Betul, Abu Jahal sendiri pernah berada di dalam Kaabah yang suci. Barangkali dia sedang mengemas dan mencuci di dalam Kaabah. Ini tidak menghairankan kerana tatkala itu kaum kayangan Quraisy memegang kunci Kaabah dan mereka menguasai rumah Allah. Segala hal ehwal keagamaan dan haji misalnya di tangan kayangan ini. Penduduk Mekah kebanyakannya menurut saja titah kayangan Quraisy. Kecuali jumlah kecil murbawan, hamba dan rakyat biasa yang sekarang memberontak dan memilih untuk menjadi blok pembangkang bersama-sama anak saudara Hamzah, namanya Muhammad.

Jadi, Hamzah yang tidak boleh menerima penghinaan terhadap kaum kecil telah mencekak leher Abu Jahal di dalam Kaabah. Apa yang Hamzah lakukan? Hamzah telah memukul kepala Abu Jahal. Kuat sekali. Amat kuat mengenai tengah kepala Abu Jahal sehingga luka merekah. Darah bercucuran. Darah kayangan Abu Jahal yang jahil itu menitis di dalam Kaabah. Kata Hamzah, lebih kurang begini;

‘Jika aku bersama-sama dengan Muhammad dan agamanya adakah kau sekarang akan tetap menghinanya seperti apa yang kau hinakan? Jika kau berani, sila balas sekarang.’

Meluru penjilat Abu Jahal meluru ingin membalas perbuatan Hamzah.

Akan tetapi segera Abu Jahal menegah. Ini kerana Hamzah bukan calang. Hamzah adalah kebenaran. Hamzah adalah keadilan. Hamzah adalah singa untuk tauhid. Hamzah mengisytiharkan dirinya dia memeluk Islam di rumah Arqam Abi Arqam – markaz – atau semacam ibu pejabat pembangkang ketika itu, yang pemimpinnya adalah Rasulullah saw. Sejak itu gerakan kepembangkangan Nabi Muhammad saw menjadi kuat. Kayangan juga makin kuat menekan. Akan tetapi kerana pembangkang atau umat Islam ketika itu punya Hamzah, tidaklah mudah untuk melakukan sewenang-wenangnya. Ini kerana perburuan Hamzah adalah singa. Dia, Hamzah adalah singa.

Hamzah berhijrah ke Madinah. Hamzah ingin bersama-sama gerakan pembangkang kerana Hamzah melihat sendiri ketidakadilan kaum kayangan Quraisy. Mereka, kafir Quraisy bertindak semberono. Mereka menindas para hamba. Kaum kayangan Quraisy menidakkan hak kaum wanita. Mereka juga rasis terhadap kelompok non Arab atau bangsa Ajam sehingga ketuanan Quraisy menjadi doktrin Mekah. Tuhan kayangan Quraisy adalah Lata dan Uzza yang dipertahankan kerana alasan ia adalah tradisi. Meskipun mereka tahu tradisi itu salah dan cuai, tetapi rakyat biasa memilih untuk menyembah Lata dan Uzza itu kerana ia memberi keselamatan sementara. Lata dan Uzza adalah sistem yang selamat. Mereka takut diperbudakkan. Hamba amat takut kalau kayangan mulai mendengkikan mereka, maka kayangan akan merampas dan menabrak. Hamzah melihat semua kejahatan yang dilakukan kayangan Quraisy itu. Dia juga sedar anak saudaranya yang tidak begitu jauh beza umurnya adalah pemimpin yang adil dan ikhlas. Hamzah tahu, Muhammad harus dijaga dan dilindungi.

Maka Hamzah turun ke medan Uhud. Benar, medan Uhud yang diziarahi oleh jemaah umrah dan haji kita saban tahun. Di luar pagar bukit Uhud, mereka akan membaca doa untuk Hamzah. Tetapi doa itu kosong. Mereka tidak mengenal apa yang dilawan Hamzah. Mereka, haji dan hajah tidak memahami mengapa Hamzah berada di blok Muhammad. Hamzah di situ bukan kerana Muhammad itu saudaranya. Hamzah membangkang dan bersama Muhammad kerana Hamzah percaya apa yang dibawa Muhammad iaitu keadilan dan penentangan terhadap pencabulan hak asasi. Lihat sahaja bagaimana nasib hamba yang diganapathy dan diganasi. Hamba ini tidak diberi ruang untuk merdeka dan membuat keputusan. Kayangan sangat berkuasa. Hamzah melawan kayangan yang terdiri dari para kapitalis Quraisy, para feudalis Quraisy, para agamawan tradisi Lata dan Uzza Quraisy. Dia menentang mereka semua. Kerana kayangan itu mengakibatkan bencana. Kayangan membolot semua peluang niaga. Kayangan korup sekorup-korupnya. Ketika hamba seperti Bilal memakan sisa dalam tahanan, kaum wanita Quraisy memakan daging lembu dan roti air tangan Hendon.

Siapakah Hendon? Dia ialah wanita kayangan. Hendon adalah isteri Abu Sufyan, pembesar atau Perdana Menteri Mekah tatkala itu. Mungkin sebetulnya Hendon ini Wanita Pertama Mekah. Keturunan Hendon adalah serba kayangan. Bapanya adalah bangsawan Utbah bin Rabi’ah, musuh kuat Rasulullah saw. Anak Hendon ini adalah Muawiyah yang kemudian merampas kuasa dan mengkhianat Saidina Hasan (cucu Rasulullah saw) lantas memilih untuk mendirikan monarki pertama dalam sejarah Islam. Cucu Hendon ini nanti Yazid, raja yang membunuh Saidina Hussein iaitu penghulu pemuda di syurgawi.

Hendon mendendami Hamzah. Ini kerana dalam perang Badar, Hamzah membunuh bapanya  Utbah bin Rabi’ah. Manakala Saidina Ali dikatakan membunuh abang Utbah iaitu Shayba. Hamzah juga harus dinyatakan di sini, dimusuhi oleh Yahudi Banu Qaynuqa, sekutu politik kayangan Quraisy. Hendon menyatakan dia ingin supaya Hamzah dibunuh. Ini kerana Hamzah adalah halangan kepada kekuasaan Quraisy. Hamzah adalah perancang dan strategis Muhammad. Jika Hamzah tiada, Muhammad akan lemah. Begitulah kira-kira Hendon.

Maka Hendon mengupah Wahsyi ibn Harb. Ketika perang berlaku di Uhud itu, sasaran Wahsyi dan pusat perhatiannya adalah Hamzah. Hanya Hamzah.

Mengapa Wahsyi menerima upahan dan habuan Hendon? Demikianlah ada jiwa hamba yang akan sentiasa dihambakan, dan sanggup menurut apa sahaja perintah kayangan. Padahal jika Wahsyi merenung, perjuangan Muhammad dan Hamzah itu adalah perjuangan kaum murbawan dan kaum hamba sepertinya. Sepatutnya Wahsyi bersama Hamzah, bukan membunuh Hamzah. Akan tetapi, demikianlah manusia. Ada jahil dan kebebalan bersarang dalam jiwa hamba. Mereka menjilat kekayaan kayangan meski mendapat upah sesen dua (lebih dahsyat ada yang tidak dapat apa pun!) dan tidak menggunakan akal.

Maka Wahsyi melanggar Hamzah. Syahid Hamzah. Bukan setakat Hamzah syahid gugur tergeletak di medan Uhud. Ketika Hamzah syahid itu tentera Islam yang baru menang sekejap sedang mamai dan mabuk harta rampasan (ghanimah) lalu turun dari posisi masing-masing dan mulai tamak. Hamzah bertempik agar mereka komited dan terus mempertahankan kubu, bukan ikut tergila-gilakan sisa dunia. Hamzah menjerit-jerit agar tentera pembangkang berdisiplin dan mengingatkan bahawa kemenangan itu sementara, malah belum pun menang. Hamzah dihendap Wahsyi ketika itulah. Saat itulah Wahsyi menerpa dan menetak Hamzah. Wahsyi anjing kayangan itu.

Bukan sekadar Hamzah dipukul, jasad Hamzah dipotong dan jantung Hamzah direntap keluar. Jantung itu diberikan kepada Hendon yang dengan penuh kayangan membaham jantung Hamzah yang masih panas. Jika Hendon di dapur mungkin saja ia akan memasak daging Hamzah itu. Hendon memamah dan menggerigit injap jantung Hamzah. Demikian Hamzah dibenci kaum kayangan Quraisy. Hamzah dilucuti, disiat dan Hendon membawa hati Hamzah pulang ke Mekah.

Di Uhud, Hamzah dikebumikan bersama-sama Abdullah ibn Jahsh. Hamzah terbunuh pada hari raya. Betul, pada hari raya. Pada 3 syawal tahun 3 hijrah. Hamzah larut di usia 59 tahun. Larut Hamzah bersama kebenaran, bukan bersama pengkhianatan. Larut Hamzah adalah demi Allah, perjuangan suci.

Menurut baginda Rasulullah, Hamzah dimandikan jenazahnya oleh malaikat. Maka itulah, demikian kuatnya Hamzah dalam ingatan Fatimah Zahra, puteri Nabi ini sering mengunjungi pusara Hamzah. Fatimah tentu tahu, cucu pembunuh dan pencipta makar untuk Hamzah iaitu Hendon akan kelak membunuh juga anaknya Hussein di Karbala.

Jabir dalam sebuah hadis sahih meriwayatkan bahawa Rasulullah saw bersabda;

“Penghulu para syuhada pada hari kebangkitan adalah Hamzah ibn ‘Abdil Muttalib dan seorang lelaki lain yang bangkit menentang pemerintah zalim, menganjurkan yang makruf dan mencegah kebatilan dan terbunuh kerananya.” (al-Majrūḥīn li-Ibn Ḥibbān 1/15)

Siapa berani menafikan yang lelaki bersama Hamzah, yang bangkit sebagai ketua para syuhada itu tidak syak lagi adalah Saidina Hussein. Korban Karbala itu Hussein yang melawan kebejatan, kebobrokan, kebatilan, kemungkaran dan kepalsuan raja Yazid, cucunya Hendon pembunuh Hamzah.

Jemaah haji dan umrah kita sering menziarahi Uhud dan berdoa di makamnya Hamzah. Bukan main berdedai menghurung Uhud. Selepas itu mereka akan bergambar dan membelek ole-ole dijual Badwi sambil berhati-hati jangan terpijak tahi unta. Ramai-ramai bas penziarah Hamzah itu kemudian akan berangkat ke pasar kurma untuk berbelanja.

Mereka pun larut lalu terlupa apakah sumbangan dan jasa Hamzah. Tahukah mereka perlawanan Hamzah melawan kayangan? Tahukah mereka tanpa sedar, mereka kadang-kala berada di blok Hendon, atau lebih dahsyat menjadi tukang angguk dan tukang ampu seperti Wahsyi. Tahukah mereka, sebaik melangkah jauh dari kubur Hamzah mereka sudah menjadi Wahsyi, iaitu juak dan pembuntut kayangan. Alangkah malunya!

Siapakah yang mendengar teriak Hamzah di Badar dan Uhud? Dia melawan pengkhianat sepertinya Abu Jahal meski dia perlu berkelahi di dalam Kaabah. Itu Hamzah. Itulah Hamzah. Hamzah yang larut dalam keadilan perjuangan Muhammad.

Tetapi, siapakah yang menamakan anaknya Hamzah tetapi berjiwa Wahsyi?

Akan tetapi, siapakah yang membawa nama Hamzah tetapi memakai mahkota Hendon?

Komen