Saudara dan saudari sekalian,
Salah guna kuasa tetap salah guna kuasa. Baik dari sekadar menghantar mesej untuk berkenalan sehinggalah ke tahap minta tengok payudara bila tahu perempuan tersebut tidak memakai bra.
Apa yang berlaku dalam tiga hari cuti panjang hujung minggu ini adalah contoh klasik mentaliti kita di Malaysia apabila berdepan isu salah guna kuasa dan juga jenayah gangguan seksual. Khusus apabila ia melibatkan pihak berkuasa.
Yang pertama, mentaliti ‘benda kecil tak perlu perbesar’. Ini berlaku dalam kes salahguna nombor telefon untuk tujuan berkenalan.
Bukan sedikit yang bercakap, “eleh dia nak mengorat aje pun yang kau nak repot kenapa, nanti dia kena tatatertib, pencen tak ada kau boleh tidur malam selesa?”
Sejujurnya saya tidak faham pemikiran sebegini. Pedulikan sajalah tentang pencen si pelaku salah. Berjuta lagi rakyat Malaysia lain yang kerjanya tidak ada pencen. Itu belum dikira KWSP yang sudah dikeluarkan RM10,000 untuk i-Sinar.
Mentaliti ‘benda kecil tak perlu perbesar’ inilah sumpahan yang sekian lama melanda rakyat Malaysia. Dari isu sekecil malas nak pulangkan troli di pasar raya, hinggalah kes Najib Razak songlap duit 1MDB.
“Alah, letak je troli situ nanti ada Bangla kutip”. Ini yang ramai buat di pasar raya. Masalahnya bukan kau seorang, tapi ada lagi 100 orang yang buat perangai sama. Sudahnya troli bersepah di susur gajah, orang lain nak lalu pun tidak boleh. Semuanya berharap pada pekerja Bangladesh untuk kutip troli dan pulangkan ke tempat asal. Kemudian kita sibuk bertanya, “eh kenapa ramai sangat pekerja asing kat Malaysia ni eh?”
Atau dalam kes 1MDB.
“Memanglah Najib kantoi ambil duit 1MDB, tapi pada masa sama dia bagi juga ke rakyat macam-macam, lebih kurang macam Robin Hood la”.
Ini bukan sedikit yang berfikiran demikian. Robin Hood atuk kau.
Mentaliti ‘benda kecil tak perlu perbesar’ ini sebenarnya adalah sikap menormalisasikan kesalahan kecil. Yang kita lupa ialah adanya peribahasa, sikit-sikit lama-lama jadi bukit boleh sahaja digunakan dalam hal ini. Kesalahan kecil pada permulaan, boleh sahaja menjadi kesalahan besar di hujungnya.
Kita fikir mudah sajalah, kalau polis menjaga sekatan jalan raya tidak boleh menahan diri dari salah guna kuasa untuk mengorat makwe dahi licin yang lalu di situ, apa yang buat dia boleh tahan diri dari dirasuah oleh penjenayah besar satu hari nanti?
Ini untuk insiden yang pertama.
Yang kedua pula, hal nak tengok payudara kerana perempuan itu tidak pakai bra.
Ini satu lagi mentaliti kita iaitu ‘dah kau buat camtu, memang kena lah’. Atau dalam frasa mudahnya, victim blaming atau salahkan mangsa.
Ya, bukan sedikit juga yang bila terbaca kisah nak tengok payudara ini, soalan pertama yang dia timbulkan ialah, “apasal tak pakai bra?”
Andai kita terlupa, tidak memakai bra sambil memandu kereta bukan satu kesalahan. Tetapi menahan pemandu kereta di sekatan jalan raya dan selepas itu minta tengok payudara, itu kesalahan berat.
Tapi ramai juga yang pejam mata hal minta tengok payudara, sebaliknya sibuk mempertikai kenapa tak pakai bra. Insiden ini sebenarnya boleh kita jadikan litmus test untuk menilai persepsi orang ramai dalam kes rogol.
Kenapa?
Sebab dalam kebanyakan kes rogol mentaliti yang sama diguna pakai. “Dah kau buat camtu, memang kena lah”.
Mentaliti yang ramai guna untuk salahkan kenapa mangsa rogol berpakaian seksi, kenapa mangsa rogol ikut kawan lelakinya, kenapa mangsa rogol tidak lari dan pelbagai alasan menyalahkan mangsa lagi.
Maka untuk mereka yang lebih sibuk persoalkan kenapa tak pakai bra berbanding kenapa gatal nak tengok payudara, anda sudah gagal litmus test sebenarnya. Orang macam anda adalah jenis yang berkemungkinan besar akan victim blaming mangsa gangguan seksual atau mangsa rogol lain.
Dua insiden di atas ini terjadi akibat polis yang tiada integriti, profesionalisme dan etika. Tapi tidak dinafikan juga, sedikit sebanyak ia dibantu oleh sikap masyarakat sendiri. Sikap menormalisasikan kesalahan kecil dan sikap menyalahkan mangsa. Bukan sedikit yang gagal melihat yang salah tetap salah, tetapi sebaliknya bertapi-tapi mencari alasan untuk menutup mata pada salah guna kuasa dan jenayah gangguan seksual. Mereka ini ibarat sudah hilang kompas moral. Masyarakat yang hilang kompas moral hanya akan membiakkan lebih ramai perasuah, pesalah laku, kleptokrat dan sebagainya. Maka tidaklah menghairankan kenapa Malaysia kita berada di dalam situasi hari ini.
Justeru sudara dan sudari sekalian, yang masih ada sekelumit perasaan nak kata ‘benda kecil tak perlu perbesar’ atau ‘dah kau buat camtu, memang kena lah’ harapnya fikirlah kembali dengan waras.
Yang salah tetap salah, janganlah kita bertapi-tapi.
Lucius Maximus adalah seorang penulis dengan tiga buku setakat ini, Cerita Piala Dunia 2010, Cerita Malaysia Tidak Ke Piala Dunia dan Maaf Aku Bukan Lagi Leon Trotsky Kamu Semua. Beliau aktif berkicau di Twitter dalam isu-isu yang mendesak.